[Dalam Pasu] Cara Saya Tanam Pokok Kacang Bendi 🌱

Pengenalan

Siapalah yang tak kenal sayur kacang bendi. Celur buat ulam sahaja pun dah sedap, lagi-lagi dengan nasi kandar. Satu lagi masakan bendi yang saya sangat suka adalah asam pedas bendi.

Asam pedas pakai bendi “tua” sikit pun tak apa.

Jujurnya, selalunya saya air fry sahaja bendi tu. Saya hanya tanam “sepasang” pokok bendi (dalam pasu 8 inci) dan hampir setiap hari saya kena petik. Malas nak masak lauk canggih, air fry saja lah.

Kunyit sikit, minyak sikit.

Untunglah kita yang tinggal dalam Asia Tenggara kerana pokok bendi sangat senang ditanam di sini. Saya rasa pokok bendi lebih senang daripada pokok terung – tetapi saya lebih suka terung.

Boleh dikatakan bendi adalah pokok perennial (hidup lebih 2 tahun), asalkan kita rajin petik buahnya. Bendi saya dalam pasu dah berumur setahun lebih pun masih banyak berbuah, tidak seperti terung atau tomato (umur dalam 10 bulan, hasil mula berkurangan).

Tahukah anda bahawa bendi ini adalah saudara kepada bunga raya (dan rozel)? Pada mulanya saya pelik, tapi apabila tengok pokok bendi berbunga, oh logik jugak. Rupa bunga lebih kurang.

Bunga bendi. Nampak macam bunga raya kan?

Gambar Semangat

Sebelum belajar cara tanam pokok kacang bendi ni, mari tengok gambar hasil dulu sebagai motivasi.

Pokok bendi berbuah banyak sekaligus.
Saiz macam ni dah boleh dipetik.
Beza warna bendi lembut (kiri) dan bendi keras.
*Terung grown seperately.


Semai Benih

Seperti pokok tomato, terung, cili, sawi dan sebagainya…bendi ada banyak jenis. Ada jenis montel, ada warna merah, putih pun ada.

Tapi selalunya yang kita nampak di pasaraya dan kedai makan yang jenis hijau panjang tu lah. Kacang bendi jenis hijau panjang itu lah yang saya demonstrasikan dalam artikel ni.

Jadi, untuk tanaman pokok kacang bendi ni…saya sangat suka benih keluaran Baba Smart Grow. Dalam sepaket dapat berpuluh-puluh jugak lah. Sekali semai mungkin perlu 3-6 benih sahaja.

Pokok kacang bendi ni, daripada pengalaman saya lah, purata benih bercambah memang sangat bagus. Oleh itu, kita tidak perlukan banyak benih semasa semai…bukan macam benih daun sup, contohnya.

Untuk kebanyakan orang, saya sarankan dua sahaja pokok kacang bendi. Nak dapat dua pokok kacang bendi, dua benih sahaja pun dah cukup. Tetapi just to be safe, semai lah 3-6 benih bendi.

Benih bendi besar berbanding tanaman sayur berbuah lain.

Benih yang diperlukan sedikit sahaja kan. Ini bermaksud kita tidak perlukan dulang semaian (seed tray) seperti sawi. Saya suka pakai pasu plastik semaian (yang kecik tu) dan dulang/piring cetek.

Ada benih cepat, ada benih lambat.

Nak semai terus dalam pasu besar atau tanah kebun pun boleh, itu betul. Cuma teknik semai macam ni mengurangkan risiko anak benih dimakan siput atau biji benih dilarikan serangga/burung/hantu.

Letakkan tanah semaian atau kompos dalam pasu semaian. Untuk semai kacang bendi ni, pakai lah tanah campuran jenama apa pun. Saya suka pakai tanah semaian jenis Baba Seedling Mix.

(Contoh tanah semaian) Pakai sarang telur pun boleh.

Peat moss dan coco coir pun boleh, tetapi anda kena campur baja kompos. Bahan-bahan tu tiada nutrien, boleh terbantut anak bendi. Sebab itu saya suka beli sahaja tanah semaian sebab sudah ada baja.

Cucukkan benih masuk dalam tanah. Kita nak benih tu merempat kegelapan bawah paras tanah. Ini menaikkan lagi purata percambahan benih kacang bendi ni.

Selepas itu, isikan dulang atau piring cetek dengan air. Ini adalah teknik siram-dari-bawah yang memastikan tanah semaian sentiasa lembap. Tidak perlu kita siram secara manual tiap-tiap hari.

Tanah semaian perlu lembap sebagai salah satu signal kepada benih kacang bendi untuk mula bercambah. Biarkan sahaja dalam 3-5 hari, nanti nampak la dia “bangun” keluar.

Semasa semai, kita boleh letakkan di mana-mana sahaja. Tidak perlu matahari. Selepas anak benih sudah keluar, sila alih ke tingkap timur atau barat, atau kawasan luar yang menerima matahari pagi sahaja.

Tinggi lampai sebab nak kejar matahari (tingkap timur).

Jangan letak anak benih di tempat matahari terik kerana anak benih boleh “terkejut”. Bayangkan anak baru nak masuk tadika terus kena belajar algebra.

Kalau dulang/piring dah kering, isi balik ya air. Kita nak air sentiasa ada dalam tu. Tidak perlu risau pasal benih lemas, tanah semaian hanya serap yang perlu sahaja.

Selepas lebih kurang dua minggu apabila benih dah tinggi macam panjang jari telunjuk kita, boleh lah alih ke “real world“.

Biasakan dulu dengan matahari terik. Kita tengok mana yang tahan.

Pada tahap ni, kita boleh letak pasu semaian di kawasan yang dapat cahaya matahari penuh. Contohnya, saya letak di kawasan yang menerima matahari dari pukul 10 hingga 4.30 petang.

Oh ya, boleh sahaja terus pindah-tanam kalau nak. Pastikan tanam waktu pagi atau senja. Saya suka biarkan dulu seminggu.

Kalau boleh, letak pasu semaian dalam dulang/piring dan isi air seperti sebelumnya. Kalau tak boleh (contohnya tanah tak rata), boleh sahaja tetapi pastikan siram setiap hari.

Akhirnya selepas dalam seminggu, daripada 3-6 anak pokok bendi tersebut, boleh pilih 2 sahaja yang nampak “kuat”. Sebenarnya…saya tak tahu pun apa dimaksudkan dengan “kuat”, pilih sahaja lah anak pokok bendi yang mencuri hati.

Saya pilih kiri dan kanan.

Menggunakan cara ini, jumlah masa semai sehingga pindah-tanam adalah 2 hingga 3 minggu. Lambat sedikit, tetapi selamat.


Tanam (Pindah-Tanam)

Alamak, bahagian semai benih pun saya dah melalut panjang. Mari kita ke bahagian seterusnya iaitu pindah-tanam (transplant).

Nak pindah-tanam ke tanah kebun boleh, tanam dalam pasu pun boleh, dalam polybag pun boleh. Saya suka tanam dalam pasu. Pokok bendi, ni daripada pengalaman saya, tidak perlukan pasu yang besar berbanding (contoh) timun dan tomato.

Pasu selebar 8 inci pun sudah cukup. Lagi besar lagi bagus, tiada masalah. Walaupun saya tanam dalam pasu 8 inci, pokok-pokok bendi saya berbuah lebat sehingga tak termakan. Tinggi pun mencecah 6-7 kaki!

Kalau pakai pasu, pakai tanah campuran dalam guni tu. Kalau nak pakai tanah kebun sikit boleh, tapi campur dalam 30-50% sahaja dalam tanah campuran. Tanah kebun lambat laun boleh mampat dan melemaskan akar pokok kacang bendi.

Contohnya tanah 8-in-1 ni. Dalam belas ringgit seguni.

Pindah-tanam senang sahaja. Ambil pasu semaian, tekan sedikit dasar dia atas tanah untuk ukur lubang, dan gali. Kemudian keluarkan anak pokok kacang bendi dari pasu semaian bersama tanah semaian. Tak perlu leraikan, jangan kacau akar dia.

Lupa tangkap gambar akar anak bendi…tengok je lah contoh akar anak sawi.

Pindah-tanam waktu pagi atau senja kalau boleh.

Selepas dah tanam tu, tepuk-tepuk sikit tanah sekeliling bagi mampat. Letakkan satu batang di belakang pokok sebagai penyokong, tak kisah la potongan buluh ke, chopstick ke, batang besi buruk ke, ranting lurus ke. Jangan lupa untuk ikat.

Tanam dalam sedikit pun tak apa.

Bendi tidak perlu penyokong yang tinggi dan besar. Agak-agak sokong sampai setinggi dua jari telunjuk sahaja. Selepas ketinggian tu, batang pokok bendi boleh kata dah cukup tebal dan kukuh.

Taburkan baja kompos sekeliling anak pokok bendi yang dah ditanam tadi. Ini berfungsi sebagai baja yang tidak terlalu kuat. Anak lagi kan. Pada saya, elakkan dahulu baja NPK. Tunggu besar lagi.

Contoh kompos sekeliling anak timun.

Kalau boleh, letakkan sabut kelapa atau serpihan kayu kisar sebagai sungkupan (mulch) atas baja kompos. Mulch membantu stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan air siraman tersejat.

Contoh sabut kelapa (coco coir) sekeliling pokok terung.

Ingat, pokok perlukan air untuk fotosintesis. Kalau tanah kering semasa siang, “kebulur” lah dia.

Cakap pasal air, jangan lupa siram! Siram sekeliling untuk pastikan nutrien dari baja kompos tadi turun meresap masuk dalam tanah.

Untuk siraman kali pertama ni, banjir sedikit pun tak apa. Kita nak akar anak pokok bendi tu nampak yang rumah baru dia ni cukup syarat untuk menaikkan kelajuan tumbesaran.

Ini anak pokok bunga matahari, tapi siram macam ni lah lebih kurang.

Oh ya, sila sembur neem spray ya. Sembur sekali dua sahaja. Kita sembur awal-awal untuk halau serangga/ulat/hantu yang suka makan daun anak pokok yang masih kecil.

Lepas pindah-tanam, terus sembur. Contoh dengan anak sawi.

Matahari

Perihal cahaya matahari untuk pokok kacang bendi senang sahaja. Matahari penuh. No excuses. Jangan pakai shade cloth.

Nak tunjuk beza teduh (kiri) dengan matahari terik (kanan).

Sebab itu untuk beginner, saya sarankan tanam pokok kacang bendi dalam pasu 8 inci. Boleh alih-alih pasu ke kawasan yang dapat cahaya matahari yang optimum.

Matahari penuh bukanlah bermaksud seharian dari pagi sampai senja kena matahari. 6 jam cahaya matahari sudah cukup untuk penuhkan keperluan.

Pokok-pokok bendi saya sebenarnya terlindung daripada cahaya matahari dari subuh hingga 10 pagi. Diteduhkan oleh atap.

Dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi dapat lah matahari pagi (cahaya lembut). Selepas itu cahaya terik sampai 4.30 petang, kemudian teduh semula (tembok batu punya pasal).

Oleh itu, saya rasa kalau rumah anda ada kawasan menghadap barat yang dapat matahari dari tengahari sampai 5-6 petang pun boleh.

Saya agak sahaja, tetapi 4 jam pun mungkin boleh kalau cukup terik, tetapi mungkin kurang lebat hasil bendi. Bendi berbuah banyak-banyak sangat pun tak termakan jugak kan.


Siram

Pokok kacang bendi ni…tidak lah perlu jaga sangat siraman. Tengok buah bendi pun logik kan, kandungan air kurang berbanding timun (contoh). 2-3 hari sekali pun saya tengok daun masih ok lagi.

Namun begitu, pada saya, siram sahaja sekali sehari, lebih-lebih lagi yang ditanam dalam pasu. Kalau siram pakai paip getah, kira dalam 10-20 saat pun dah cukup. Bergantung pada kekuatan air lah kan.

Kalau air “lembut” mungkin perlu 30-60 saat.

Saya suka pakai teknik micro-drip irrigation. Teknik ni lebih kurang sahaja dengan fertigasi, cuma tak perlu pam dan baja cecair. Air yang pokok dapat hanyalah air paip biasa.

Tempat keluar air (saya panggil mata air) diletakkan di pangkal pokok bendi. Adjust mata air tu sehingga yang keluar cuma titisan air sahaja macam paip sinki tak tutup ketat. Nama pun drip kan.

Letak berdekatan dengan akar.

Saya bukak kepala paip yang bersambung dengan micro-drip irrigation tu dan biarkan sahaja dalam setengah jam. Nak lagi senang, pakai garden timer. Automatik terus.

Jumlah masa drip bergantung pada jenis-jenis tanaman yang anda ada. Kalau tanam bendi sahaja, saya rasa 3 minit pun dah cukup.

Tak nampak apa-apa, tapi sebenarnya tengah siram.

Contohnya saya siram bermacam jenis tanaman sekaligus menggunakan micro-drip irrigation. Dalam sedozen lebih pasu untuk kawasan yang saya letak pokok bendi.

Jadi jumlah air saya siram mengikut tanaman yang perlu paling banyak air di kawasan tersebut, iaitu pokok bunga air mata pengantin dalam pasu besar.

Setakat ini memang terlebih air saya bagi pokok bendi dalam pasu. Tiada masalah pun sebab pasu ada lubang – air lebihan mengalir keluar. Ini satu lagi kelebihan pokok kacang bendi dalam pasu.


Baja

Untuk senangkan cerita, kita boleh bahagikan jenis baja kepada dua: organik dan kimia buatan.

Kalau beginner, bulan pertama selepas pindah-tanam, gunakan baja organik ringan seperti kompos sawit atau daun kering sahaja.

Ini untuk kurangkan risiko anak pokok kacang bendi mati akibat terlebih baja. Just to be safe sahaja untuk first timer.

Contohnya kompos sawit keluaran Unigrow. Letakkan tebal-tebal sekeliling pokok. Topup seminggu atau dua minggu sekali.

Daun kering kita boleh mintak dari pekerja majlis perbandaran kalau kebetulan kita lalu masa dia tengah sapu. Tegur sapa elok-elok.

Masuk bulan kedua selepas pindah-tanam, boleh pakai baja yang kuat sedikit. Waktu ni batang pokok bendi pun dah tebal sedikit dan mungkin dah mula berbunga.

Setakat ini, baja organik “kuat” yang paling mujarab sekali untuk pokok bendi (yang saya pernah pakai lah) adalah tahi kambing. Tahi kambing fresh, atau yang dah reput jadi kompos.

Contoh rupa kompos tahi kambing.

Elakkan tahi ayam dan lembu fresh. Yang dah diproses atau dah jadi kompos tak apa. Kalau anda bela ikan boleh siram air ikan semasa tukar air. Larutan tahi ikan berkhasiat tau. Kiranya aquaponic la tu.

Untuk baja kimia, saya berani cadangkan baja NPK tabur sahaja untuk beginner. Baja serbuk, baja AB, itu semua cuba selepas dah berjaya besarkan pokok bendi gunakan baja NPK tabur.

Contoh baja NPK seimbang. Bawah tu sawi.

Baja kimia buatan ini kita kena pandai budget. Kalau terlebih, pokok boleh melecur dan kadang-kadang mati. Start small dulu.

Oleh itu, kalau nak baja kimia, saya sarankan cari baja NPK seimbang dahulu iaitu 10:10:10 atau 15:15:15.

Awal-awal letak dalam setengah cubit sahaja dulu. Jarakkan sedikit dari akar.

Separuh dari ni dah cukup. Pokok bendi ni dah setahun, jadi boleh baja lebih.

Apabila dah mula berbunga, boleh lah letak secubit mesra. Jadual pun lebih kurang sahaja, seminggu atau dua minggu sekali. Kalau boleh gunakan kombinasi kompos/daun + NPK.

Kita setakat tanam pokok kacang bendi di rumah ni…tidak perlu teliti sangat perihal baja. Ladang lain lah kan.

Buat santai-santai sahaja sebab macam saya pernah cakap, bendi berbuah dengan lebat sekali sampai tak termakan oleh kita.


Perosak/Penyakit

Bendi moden yang ada sekarang ni boleh kata susah nak sakit. Bukan nak kata bebas penyakit/perosak, cuma kita tak perlu kawal lebih-lebih macam pokok tomato.

Ini mungkin angkara belalang. Saya lupa sembur neem spray.

Pada saya, jangan guna kimia buatan. Gunakan kaedah organik sahaja. Kita tanam kat rumah je, bukan ladang.

Salah satunya adalah tanaman lain berdekatan bendi. Nak senangkan cerita, ada dua iaitu tanaman berbau kuat dan pokok bunga.

Contoh pokok bunga zinnia.

Contoh tanaman berbau adalah selasih dan pudina. Sila tanam pudina dalam pasu ya, nanti merebak dengan tak terkawal pulak.

Contoh pokok bunga senang adalah bunga butang, bunga matahari, zinnia dan vinca. Fungsi pokok bunga adalah untuk menarik serangga untuk makan perosak dan juga tolong pendebungaan.

Seperti tanaman-tanaman lain, saya sembur neem spray setiap minggu. Atas daun, bawah daun. Ini boleh mencegah perosak kecil seperti aphid dan juga belalang/ulat makan daun.

Untuk beginner, beli sahaja yang dah siap dibancuh.

Untuk mengurangkan risiko fungus, elakkan daripada letak pasu di kawasan yang kurang peredaran udara macam sudut tembok batu atau berdekatan teduhan pokok besar. Letak tempat berangin.

Seperti terung, daun pokok bendi saya banyak menampakkan tanda-tanda penyakit semasa musim hujan. Namun begitu, jumlah hasil tidak terganggu sangat pun.

Apabila batang pokok dah tebal, masalah lintah dan siput nampaknya minimal walaupun pada musim hujan. Mungkin dah tak sedap kot pada dia. Cuma perlu jaga-jaga masa peringkat anak pokok lah sebab masih lembut lagi. Sebab tu saya suka semai dalam rumah dulu – siput (dan tupai) suka makan anak pokok bendi.


Potong/Pangkas

Anda pun tahu rupa pokok bendi kan. Tinggi. Ketinggian pokok bendi convenient jugak, kita senang nak petik hasil.

Namun begitu, kalau tinggi sangat, tumbang pulak kan. Penyokong pun kalau tinggi-tinggi pun tak stabil jugak.

Tujuan potong/pangkas adalah untuk keluarkan cabang supaya pokok bendi lebih stabil. Secara teorinya hasil bendi pun jadi lebih…tapi bab itu saya tak kisah sangat. Tak termakan.

Lepas pangkas, keluar cabang macam ni lah. Stabil sikit pokok bendi.

Bab potong pangkas ni, pada saya ikut masing-masing nak buat bila. Saya selalu buat apabila tinggi pokok bendi dah sampai paras bahu.

Pangkas batang utama pokok bendi dalam 1/3 daripada jumlah ketinggian asal. Pastikan ada daun di bawah paras pangkasan. Ada dalam 3-4 daun yang tinggal pun dah cukup.

Apa akan jadi? Selepas seminggu dua, kita boleh nampak pokok bendi keluarkan cabang baru di bawah paras pangkasan. Pokok kacang bendi pun boleh kata lebih stabil berbanding sebelumnya.


Tuai Hasil

Kacang bendi ni selalunya dalam umur 2 bulan sudah berbunga. Saya pun tak ingat, tapi mungkin dalam seminggu selepas bunga kembang, kita boleh petik kacang bendi pakai gunting/sekateur.

Bendi tu warna hijau muda, cuma masalah lighting sikit.

Nak tengok bila boleh petik bendi, pada saya, tengok warna. Kalau nampak kacang bendi berwarna hijau muda dan lebih kurang besar tapak tangan, boleh la petik. Nampak pendek sedikit, tapi lembut.

Ini nak jadi “tua” dah, tapi masih sesuai lagi untuk asam pedas.

Apabila dah hijau pekat sedikit, bendi mula jadi keras. Kena celur/rebus/masak lama sikit. Saya kurang suka yang dah hijau pekat, tekstur yang mematikan mood nak makan.

Nampak tak beza warna? Belah kiri lembut dan sedap, belah kanan keras.


Kesimpulan

Pokok bendi senang ditanam. Pasu 8 inci atau lebih. Tanam 2 pokok bendi sahaja pun dah terlebih cukup untuk satu rumah.

…saya tak ada idea dah nak tulis apa kat sini.

Terima kasih sudi membaca!