Cara Tanam Sayur Sawi Dalam Pasu

Tanam Sawi Dalam Pasu, Polibag, atau Kawasan Tanah.

(dalam proses penulisan)

Pengenalan

Kadangkala dipanggil bok choy, kadangkala dipanggil pak choi – dua-dua tu sama saja maknanya (“sayur putih” dalam Kantonis). Boleh dikatakan hampir semua orang kenal dengan sayur sawi. Pergi kedai nasi campur, kadang-kadang ada masakan sawi kuah sos tiram. Dalam nasi/mi/kueytiaw/mihun goreng pun selalu ada sawi.

(placeholder gambar)

Saya sangat suka sayur sawi sebab rasa macam wasabi (memang sayur yang bersaudara pun). Biji daripada beberapa jenis sawi juga digunakan untuk buat sos mustard, yang warna kuning tu. Kalau rendam biji benih sawi dalam air, semerbaklah bau mustard dia.

(placeholder gambar)

Alamak, baru teks pengenalan tapi dah berjela panjangnya. Tak perlulah saya senaraikan semua kelebihan dan bahan berkhasiat yang ada dalam sayur sawi tetapi secara anekdot, sejak banyakkan makan sayur, saya lebih banyak tenaga, stress lebih terkawal, dan…err…pergerakan usus pun lancar.

3 Contoh Jenis Sawi

Seperti mana yang kita boleh tengok di pasaraya dan pasar tani, ada pelbagai jenis sawi sampai rambang mata.

Di bawah saya letak tiga paket sahaja sebagai contoh permulaan. Alasan saya adalah untuk tidak bagi awak overthinking, sebenarnya sebab kebetulan paket ini ada dalam laci semasa saya tulis.

Saya pun confuse nama-nama sawi ni – saya pergi pasaraya ni tulis lain, pergi pasaraya sana tulis lain. Jadi saya letak sahaja nama yang tertulis atas paket.

Dwarf Pak Choy

(placeholder gambar)

Sawi paling terkenal sekali, saya rasa. Semua gambar dalam artikel ini adalah gambar sawi ini. Dalam masa bawah 30 hari kita sudah boleh petik. Pada pendapat saya, kalau tiada pengalaman berkebun sawi, mulakan dengan yang ini. Cadangan sahaja.

Komatsuna

(placeholder gambar)

Sawi Hong Kong

(placeholder gambar)

Gambar Semangat

Di bawah saya letakkan sedikit gambar hasil sebagai pencetus semangat awak. Kalau lihat, sawi saya kurus – ini kerana saya pemalas dan sengaja baja sekali dua sahaja. Saya terangkan di bahagian Baja nanti.

Saya ingin selitkan kelebihan tanam sawi di rumah ini: kita boleh keluar dari dapur dan petik daun ikut keperluan sahaja. Kita tidak perlu cabut seluruh sawi termasuk akar seperti yang dijual di pasar.

Dalam 3 hingga 4 minggu pun sudah boleh petik daun, tapi kecil lah. Pada saya ini bukanlah masalah kalau tanam sawi dengan banyak.

Saya selalu tanam sawi dalam 30+ pasu kecil (sekaligus dengan sayur lain). Sayur sawi yang kecil tetapi banyak adalah kegemaran saya (celur/masak dulu!), rasanya lebih kesawian – mungkin perasaan saya sahaja.


Asas Penanaman Sawi

Semai Benih

Untuk benih, saya secara peribadi suka benih sayuran keluaran Green World dan Baba Smart Grow. Benih sawi boleh disemai secara:

  • Modul (berasingan) dalam kotak semaian (seed tray atau sarang telur)
  • Tabur dalam pasu, piring, bekas tapau plastik terpakai, dan sebagainya
  • Tabur atas kapas muka atau tisu dapur. Pastikan sentiasa basah!
  • Tabur terus atas tanah – tidak berapa digalakkan. Semut boleh curi. Berdaun sikit, siput/lintah/kumbang/tupai makan.

Saya paling suka cara modul sebab boleh biarkan sahaja selama seminggu dua (siram tiap-tiap hari lah) sebelum pemindahan ke dalam pasu atau tanah.

Pada awalnya memang usaha lebih sedikit, tetapi disebabkan kita tanam berpuluh-puluh (atau beratus!) sekaligus, boleh kata cara ini lebih efisyen/efektif berbanding cara lain.

Media semaian boleh pakai campuran kompos + sabut kelapa, atau beli sahaja media semaian. Saya terus pakai tanah campuran kompos dalam guni sahaja, senang.

Kegemaran saya adalah tanah Baba Yasa-i. Tanah ini pada saya sebagai tanah semaian adalah berbaloi. Sebagai tanah dalam pasu saya rasa macam sedikit mahal kalau nak tanam banyak.

(placeholder gambar)

Untuk sawi baby, saya gemar gunakan teknik multisowing – saya panggil “semai sekawan” sebab comel sikit. Daun/batang jelas lebih kecil berbanding sawi pasar tetapi keseluruhannya hasil lebih banyak.

Untuk sawi jenis sederhana/besar, boleh sahaja letak 2-4 biji dalam satu lubang sekaligus. Biarkan anak benih berebut nutrien, air dan cahaya matahari. Selepas dalam seminggu dua, selalunya dah boleh nampak satu anak benih yang paling kuat. Kita kena kejam sikit dan buang yang dah “kalah” (kecil, terbantut, tumbang, dan sebagainya).

Kalau baru pertama kali nak tanam sawi (bagus, ibu jari naik 👍), saya sarankan rendahkan sedikit harapan. Sasarkan dalam 33% sahaja daripada jumlah kotak semaian. Contohnya kalau seed tray ada 50 kotak, sasarkan 17 sahaja yang akan menjadi sehingga boleh makan. Masih banyak tu. Kalau lebih, bonus!

(placeholder gambar)

Untuk permulaan, sepaket benih tidaklah perlu disemai semua sekaligus. 50 modul sudah cukup – tak sampai separuh paket. Kita ingin bina tabiat, mulakan dengan langkah kecil dahulu.

Boleh semai setiap 3, 4 minggu ikut kesesuaian masa. Bila semai setiap beberapa minggu, bekalan sawi di rumah sentiasa ada kalau kita cubit daun setakat perlu untuk masakan.

(placeholder gambar)

Tanam Dalam Apa?

Kalau tanam dalam kawasan tanah rumah terus boleh saja. Kalau boleh buat batas (berdinding atau tak), tetapi tak ada pun tak apa.

Kalau tanam sawi kecil, jarakkan antara setiap sawi dalam saiz penumbuk. Sawi sederhana/besar jarakkan dalam saiz seluruh tangan terbuka (tapak dan jari).

Saiz tangan lain-lain, tetapi agak-agak sahaja.

(placeholder gambar)

Bagi yang baru mula, saya lebih suka cadangkan tanam dalam pasu plastik (pasu tanah liat pun boleh, cuma berat lah). Boleh alih-alih mencari tempat optimum untuk cahaya matahari.

(placeholder gambar)

Media tanaman (saya akan panggil “tanah” walaupun bukan tanah) ada banyak. Kalau nak tanam dalam pasu, elakkan letak 100% tanah yang digali di rumah (kalau mampat sangat, akar boleh lemas).

Saya cadangkan tanah 8-in-1, 6-in-1, Veggiemix ataupun Baba Yasa-i. Kalau tulis 20+ liter, maksudnya saiz guni. Selalunya saya guna 1 guni untuk ~50 pasu 4 inci, secara kasarnya.

(placeholder gambar)

Kalau nak jimat, bolehlah campur sedikit tanah rumah, dalam 1/3. Tanah rumah selalunya lebih banyak nutrien. Saya pemalas cepat penat, jadi saya terus pakai tanah beli.

Saya gemar gunakan pasu 4-6 inci kerana boleh eksperimen berasingan. Boleh juga pakai pasu plastik panjang ataupun planter box. Seeloknya tanam 2 modul sawi dalam 1 planter box, tetapi saya tanam 3 tiada masalah pun cuma kecil sedikit daun/batang.

(placeholder gambar)

Boleh juga tanam dalam polibag. Saya kurang gemar polibag kerana tidak kukuh, tapi saya tanam sahaja sepohon dua dalam polibag sebagai bukti boleh tanam sawi dalam polibag.

(placeholder gambar)

Cahaya Matahari

Separa-Teduh

Secara umumnya, sayur sawi tidak terlampau memilih. Hanya 3 hingga 4 jam matahari sehari sudah cukup. Kalau duduk di apartment, tak perlu fikir dah. Letak sahaja pasu di balkoni.

(placeholder gambar)

Pada hari cuti, bolehlah perhatikan pergerakan cahaya matahari di rumah. Bagi yang baru bermula, saya akan terangkan dengan lebih lanjut tentang cahaya matahari nanti, jadi follow lah ya.

Seeloknya, beri sedikit teduhan daripada cahaya matahari. Ini masalah suhu, bukan cahaya. Matahari penuh (pagi sehingga petang) mungkin terlampau panas dan mencepatkan sawi mati.

Saya selalunya letak di kawasan yang hanya dapat matahari pagi dan tengahari, iaitu dari pukul 8:30AM sehingga 12:30PM (agak-agak saja, bukanlah tepat betul). Ada juga saya letak di kawasan yang dapat cahaya 8:30AM sehingga 3:00PM, dan juga 1:30PM hingga 5:00PM.

(placeholder gambar)

Matahari Penuh

Oleh kerana masalah matahari penuh adalah masalah suhu, boleh juga letakkan di bawah satu lapis kain teduhan 50% berwarna hitam, atau jaring penghalang serangga berwarna putih.

(placeholder gambar)

Daripada pengalaman saya, kombinasi matahari penuh + jaring serangga menampakkan hasil yang paling optimum. Kain putih tidak tapis sangat cahaya, cuma haba.

Berbaloi atau tidak usaha/wang lebih untuk buat/beli rangka jaring serangga itu, terpulang kepada individu. Untuk saya, tidaklah berbaloi sangat sampai perlu terus pasang pada tanaman pertama.

(placeholder gambar)

Ada juga kain teduhan 70% yang saya selalu nampak berwarna hijau – pada saya kain 70% itu tapis cahaya matahari dengan terlampau banyak, tetapi boleh sahaja kalau nak cuba. Saya agak sawi akan lambat membesar, tetapi agak sahaja tak pernah cuba.

Siram

Sebenarnya tidak berapa elok kalau sawi disiram dari atas daun. Tapi selama ni saya siram dari atas, tiada masalah pun kerana sawi tu saya letak di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang elok.

(placeholder gambar)

Kalau guna bekas penyiram air, seeloknya tujukan air pada bahagian permukaan tanah, bawah daun. Air dari bekas penyiram tradisional mungkin kasar sedikit semasa peringkat anak sawi, jadi hati-hati sikit.

Kalau boleh, letak pasu-pasu (atau polibag) sawi berdekatan dengan getah paip air. Boleh letakkan kepala penyembur air dan gunakan mode Flat. Air dari sini lebih halus berbanding bekas penyiram air – kurang risiko anak sawi merajuk patah semangat dan terbaring hiba.

(placeholder gambar)

Tidak perlu siram satu-satu – biar sahaja “hujan” dalam agak-agak seminit. Guna kepala penyembur adalah kegemaran saya kalau tiada micro-drip irrigation.

Siram waktu pagi atau petang, semasa matahari masih ada. Tengahari pun boleh, tetapi siram lama sedikit sebab banyak akan tersejat. Jangan siram pada waktu malam, kemungkinan akan datang penyakit akibat kelembapan tinggi.

Nak siram secara manual setiap hari jenuh juga. Kebelakangan ini, saya sarankan beli sahaja watering timer. Watering timer ini secara automatik akan keluarkan air melalui micro-drip irrigation.

(placeholder gambar)

Dengan timer ini, kita jimat masa sedikit (lama-lama jadi bukit). Boleh letakkan mata air antara dua sawi kalau pakai pasu panjang. Nampak susah, tapi sebenarnya senang sahaja – gunting, cucuk, gunting, cucuk, kemudian perhatikan tahap pengeluaran mata air.

(placeholder gambar)

Kalau ada kawasan rata, boleh juga susun pasu dalam multipurpose tray dan biarkan air berkumpul setinggi dalam kuku jari kelingking. Air akan meresap sikit-sikit ke dalam pasu sawi dari bawah.

(placeholder gambar)

Teknik “siram-dari-bawah” ini silalah buat di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik – kita nak air lebihan tersejat. Pada musim hujan, perlulah terbalikkan (atau alih) multipurpose tray tu supaya tidak bertakung.

Kawal Perosak

Kebanyakan luahan perasaan oleh rakan-rakan berkenaan tanaman sawi adalah “habis kena makan semua…penat aku tanam…&*!@ lah”.

(placeholder gambar)

Ada macam-macam cara untuk cegah perosak (termasuk tanam pokok lain! Itu artikel lain pula ya), tetapi apa yang saya rasa paling senang adalah pakai neem oil spray (dan chitosan, kalau nak).

(placeholder gambar)

Janganlah guna racun sembur yang bukan organik. Ekosistem kebun rosak satu hal, tetapi ayah saya mempunyai hujung paru-paru yang rosak akibat racun semburan kimia buatan.

Tidbit: Neem tree bermaksud pokok mambu dalam BM.

Serangga/Ulat

Pastikan sembur agak-agak terkena permukaan daun seminggu sekali. Kalau kawasan baru sembur, kemungkinan besar ada juga beberapa daun sawi yang masih akan terkorban jadi ratahan. Redha sajalah dan tunggu daun seterusnya.

(placeholder gambar)

Di bawah saya tunjukkan kesan mulakan semburan ketika sawi berusia 2 minggu. Kawasan saya tanam sawi di bawah adalah terbiar dan tidak disembur neem selama 3 bulan (!) – jadikanlah iktibar ya.

(placeholder gambar)

Jadikan tabiat sembur neem spray seminggu sekali sampai bila-bila. Sebenarnya boleh jarakkan kepada dua/tiga minggu sekali selepas sebulan, tetapi pada saya tidak perlu rumitkan jadual.

(placeholder gambar)

Pagi, lewat petang, atau malam sahaja! Nanti tergoreng pramatang pulak anak sawi tu akibat kandungan neem oil.

Kalau boleh, terus mula gunakan neem spray selepas tanam benih. Ukur dengan mata kawasan sebesar skrin komputer riba, picit tiga kali psst psst psst, ulang sehingga seluruh kawasan disembur.

Untuk yang baru berkebun, saya sarankan beli sahaja yang sudah tercampur. Contohnya neem oil spray jenama Serbajadi dan Mr Ganick (Baba).

(placeholder gambar)

Satu lagi yang saya boleh cadangkan adalah semburan yang mempunyai kandungan chitosan. Semburan chitosan boleh mengawal fungus – bagus juga untuk iklim tropika kita ni. Boleh juga gunakan sebagai baja tambahan. Sembur serentak dengan neem spray.

(placeholder gambar)

Siput/Lintah

Taburkan racun siput di sekeliling kawasan tanaman. Itu cara paling senang. Sebagai pencegahan, taburkan sahaja seminggu sekali semasa sembur neem.

(placeholder gambar)

Sekiranya baru hujan, cubalah tabur secepat mungkin kerana siput dan lintah suka pergi kawasan basah.

(placeholder gambar)

Kalau rajin, bolehlah keluar masa malam dan angkat satu-satu siput yang kita nampak (saya malas). Satu lagi cara adalah tampal pita tembaga sekeliling pasu – ini saya tidak pernah cuba lagi.

Baja

Sawi adalah tumbuhan yang pelahap. Sayur berdaun selalunya perlukan banyak nitrogen, ataupun N dalam NPK.

Kalau masih baru mula menanam, saya sarankan: Kompos, kompos, kompos. Kita letaklah kompos banyak mana pun, sawi tidak akan melecur. Saya sangat suka produk kompos yang dihasilkan oleh Unigrow.

10kg kompos boleh baja seratus dua sawi. Saya cadangkan beli 36kg terus kerana kompos tidak akan “basi” dan boleh dikatakan baja universal, mana-mana tanaman boleh letak.

Kalau awak tidak tahu, kompos adalah baja yang dihasilkan oleh proses reputan jangka panjang bahan-bahan organik seperti daun mati, ranting kayu, kertas, dll. Kita boleh buat sendiri, tapi lama lah. Berbulan-bulan.

Jadual bajaan seeloknya seminggu sekali, tapi saya tak buat pun. Kalau nak gemuk-gemuk seperti sawi pasar, rajin-rajinlah membaja setiap minggu. Kalau tanam atas tanah subur, mungkin boleh setiap 2 minggu. Boleh juga semburkan chitosan sebagai penggalak.

Selalunya saya letak satu lapisan kompos Unigrow yang tebal sekeliling anak sawi semasa pemindahan (dalam 2 minggu selepas semai). 2 minggu kemudian, saya letakkan pula secubit baja NPK 15:15:15 (jauh sedikit dari akar!). Itu sahaja.

PERHATIAN: Kalau ingin buat “teknik” baja malas seperti saya, perlu tahu bahawa daun dan batang sawi lebih kurus berbanding sawi pasar. Kalau nak yang gemuk-gemuk, binalah tabiat membaja seminggu sekali pada hari cuti (sekaligus neem dan chitosan).

Nak guna tahi? Tahi kambing (termasuk biri-biri), atau kompos tahi kambing. Tahi ayam dan lembu fresh ada risiko melecur, tapi boleh saja beli yang dah diproses.

Tahi manusia dan kucing boleh bawa penyakit, tak perlulah. Kalau ada kucing berak dalam pasu, cuba buang tahi tu.

Bila dah berpengalaman, barulah cuba 100% gunakan baja kimia contohnya baja NPK dan baja AB. Ini cadangan saya sahaja, kalau terus nak pakai boleh sahaja.

Kalau NPK 15:15:15, letak secubit dua sahaja. Tabur dalam barisan halus berhampiran dinding pasu, jauh sedikit dari kawasan akar, kita taknak sawi tu melecur.

(placeholder gambar)

Untuk sayur-sayuran, saya masih paling suka baja kompos sampai sekarang, dan kemungkinan besar sampai bila-bila. Tak perlulah yang canggih-canggih.

Tuai Hasil

Secara umumnya sawi boleh dipetik daunnya seawal 20+ hari sehingga berbunga/berbenih. Sepohon sawi kita boleh petik daunnya banyak kali. Tidak perlu cabut akar.

(placeholder gambar)

Caranya adalah “cubit” daun-daun bahagian bawah dahulu. Dengan mencubit daun bawah, sawi-sawi akan masih terus membesar dan mengeluarkan daun yang lain.

Ini bermaksud kita boleh tuai daun dari sawi-sawi kita sedikit demi sedikit. Satu sawi mungkin boleh petik 3 daun sahaja pada satu masa, tetapi kalau petik 10 sawi? Cukup je.

(placeholder gambar)

Pengalaman peribadi saya adalah petik daun sedikit demi sedikit dalam tempoh sebulan (hari ke-30 hingga hari ke-60). Selepas hampir botak, saya cabut dengan akar dan gantikan dengan modul anak sawi yang baru. Batang tu buat masak dengan sos tiram dan bawang putih.

(placeholder gambar)

Kesimpulan

Sawi adalah sayur yang boleh dikatakan beginner-friendly. Tidaklah begitu rumit untuk ditanam dan dijaga kalau mengharapkan hasil yang realistik.

Kalau nak sawi gemuk berkualiti pasaran:

  • sebiji benih setiap kotak
  • pindah selepas seminggu
  • baja tinggi nitrogen seminggu sekali, kalau boleh pakai baja cecair
  • sembur chitosan
  • gunakan jaring penghalang serangga
  • matahari penuh, mungkin perlukan 50% kain teduhan
  • siram 2-3 kali sehari

Tetapi untuk kebun rumah makan sendiri, pada saya buat secara santai sahaja. Rasa sawi masih sama. Tak perlu tambah stress, lagi-lagi yang baru mula.

Sawi kurus tetapi santai:

  • 3-5 benih sekotak
  • pindah sedikit selepas seminggu, sedikit selepas 2 minggu, sedikit selepas 3 minggu
  • baja 2-3 minggu sekali gunakan baja organik atau NPK seimbang
  • semburan neem oil seminggu sekali, chitosan optional
  • jaring serangga optional
  • minimum matahari 4 jam, tidak perlu kain teduhan
  • siram sekali sehari waktu pagi atau petang

Sebolehnya cahaya matahari nak banyak, tetapi 3 hingga 4 jam pun sawi boleh keluarkan daun yang boleh dimakan, cuma kecil.

Pada saya, untuk kebun di rumah, tanam beberapa dozen sawi sekaligus dan petik daun sedikit demi sedikit. Di samping itu tanamlah sayur lain seperti kailan, kangkung, timun, dan tomato ceri.

Tetapi kebun adalah seni peribadi masing-masing. Kita semua ada cara tersendiri. Yang penting, cuba dan usaha. Kalau tidak menjadi, kenalpasti kesilapan dan cuba lagi. Selamat bercucuk tanam!