10 Tanaman Separuh Teduh: Kangkung, Daun Sup, Bayam Brazil, dll

Pengenalan

Perihal Matahari

Jom ulangkaji kejap. Untuk tanaman, kesemuanya perlukan matahari, air, dan nutrien. Cuma lain pokok, lain keperluan lah kan.

Air dan nutrien kita boleh kawal. Matahari tak boleh kawal.

Nak senangkan cerita…
separuh teduh” seeloknya kawasan yang dapat matahari pagi (timur) yang terlindung daripada matahari petang (barat). Dapat tengahari sikit tak apa.

Sebab tu saya galakkan beginner untuk tanam dalam pasu supaya boleh alih-alih cari kawasan yang sesuai jumlah cahaya matahari.

Pokok buah seperti mangga dan limau memang nak matahari lama-lama. Sama seperti kebanyakan pokok bunga, lagi banyak dapat cahaya matahari, lagi meriah lah pertunjukan bunga dia.

Sayur berdaun (seperti sawi) dan berbuah (seperti tomato) mungkin boleh kurang sikit matahari. Malahan bunga tomato akan gugur kalau banyak sangat matahari (masalah suhu, bukan cahaya).

Tak semua kawasan sekeliling rumah kita dapat matahari sepenuhnya. Contohnya pada waktu pagi dapat matahari, tetapi petang tak dapat sebab terhalang oleh dinding rumah.

Kita semua tahu kan, matahari pagi pancar dari timur, dan matahari petang pancar dari barat. Mungkin dalam pukul 11:30 pagi hingga 1:30 petang, matahari terpacak tegak atas kepala kita.

Apa yang saya nak cakap adalah selain waktu tengahari, pancaran matahari adalah senget. Matahari bukan macam lampu siling kan.

Kita kat garisan Khatulistiwa (tengah bumi) memang ketara lah nampak “kesengetan” pancaran matahari ni.

Disebabkan pancaran matahari adalah “senget”, nak tanam pokok cili dalam rumah pun boleh! Asalkan letak di tingkap menghadap barat (barat daya atau barat laut).

Di rumah saya ada kawasan yang dapat matahari dari 11 pagi hingga 3:30 petang sahaja. Ini masih boleh dapat tanam sawi/cili/tomato sebab matahari tengahari dan petang terik, kira cukup makan lah.

Ada juga kawasan yang hanya dapat matahari dari 8 pagi hingga 11:30 pagi sahaja. Matahari pagi adalah matahari lembut. Di sini lebih elok letak tanaman separuh teduh (saya letak kangkung).

Kalau nak tanam di kawasan baru, hari cuti boleh perhatikan pergerakan cahaya matahari dulu kat situ. Pukul 9, pukul 11, pukul 1, pukul 3, pukul 5, pukul 7.

Tengok cahaya matahari tu terkena kat mana. Sehari dua dah boleh nampak pattern dah.

Ok lah mari teruskan.

Kangkung

Kalau tanya saya “nak cuba berkebun, tanam apa ya”, saya akan jawab “kangkung” tanpa fikir panjang. Kangkung adalah antara tanaman sayur paling senang sekali.

Kangkung lah yang buat saya ketagih dengan hobi bercucuk tanam ni. Nak pakai keratan kangkung yang beli dari pasaraya pun boleh. Cucuk sahaja dalam media semaian seperti Baba Seedling Soil.

Untuk cara tanam kangkung ni…saya lebih suka semai dari benih.

Cucuk je benih kat tanah mana-mana, nanti nampak lah keluar kotiledon dia dalam 3-4 hari. Kadang-kadang seminggu baru keluar.

Lepas tu ikut lah nak pindah-tanam dalam container seperti pasu (lagi besar lagi bagus) atau garden bed. Kangkung ni menjalar, dan selepas beberapa bulan akan merebak dengan agresif.

Nak tanam kat kawasan tanah pun boleh je. Walaupun merebak dengan cepat, kangkung senang untuk kawal.

Kalau cabut semua pokok kangkung termasuk akar, dia akur dan tak tumbuh balik dah. Kangkung tak degil macam pegaga dan pudina.

Bayam Brazil

Dulu pernah viral pasal bayam brazil. Pada saya memang patut pun viral, sebab sangat senang cara tanam bayam brazil ni.

Nak biakkan bayam brazil mudah sangat, tanam keratan je.

Saya pernah terbiarkan keratan bayam brazil selama 3 hari. Kering layu dah. Terlupa nak tanam. Saya try cucuk, dalam 1-2 hari terus segar balik seperti asal.

Untuk biakkan, cucuk keratan dalam seed tray berisi tanah campuran kompos. Letak dalam multipurpose tray berisi air supaya tanah sentiasa serap air dari bawah. Pakai pasu pun boleh.

Dalam seminggu dua keluar lah akar dan boleh pindah-tanam. Tanah halaman ke, pasu/polybag ke, garden bed ke, ikut lah.

Bayam brazil elok tanam dalam pasu cetek yang lebar. Nak lagi banyak, boleh gunakan menara vertical gardening. Saya kurang suka buat macam tu sebab buruk nak buat micro-drip irrigation.

Bayam brazil (atas) bersama ketumbar jawa.

Ketumbar Jawa

Herba kegemaran saya. Ketumbar jawa ni rasa ketumbar biasa, cuma lebih kuat rasa dia. Satu daun dah cukup untuk sedapkan masakan.

Hampir setiap masakan saya letakkan daun ketumbar jawa (carik-carik). Malas nak masak, buat nasik goreng pakai telur, serbuk cili, bawang putih, dan daun ketumbar jawa pun dah sedap.

Daun ketumbar jawa makin besar dan lebat kalau tanam kat tempat yang dapat matahari pagi dan terteduh semasa petang.

Nak biakkan pakai benih pun boleh. Tetapi pada saya lebih mudah kalau beli 1 pasu ketumbar jawa dari nursery atau online dan bahagikan akar.

Lepas dah tanam, lama-kelamaan pokok ketumbar jawa akan keluarkan anak kecil baru di tepi. Boleh cabut sahaja anak dia (sekali dengan akar) dan tanam kat tempat lain.

Kalau pokok ketumbar jawa keluar satu batang tinggi macam nak berbunga, sila potong batang bunga tu cepat-cepat.

Kalau biarkan ketumbar jawa berbunga (tak lawa pun), nanti dia jadi kurang subur sebab banyak fokuskan tenaga untuk buat benih.

Daun Sup

Kebanyakan tanaman lain dalam artikel ni, kita biakkan guna keratan. Daun sup, saya lebih suka mulakan dari benih.

Pada saya, tidak berbaloi pakai seed tray. Semai terus benih dalam pasu berisi tanah campuran kompos dan siram.

Selepas 2-3 minggu, “nipiskan” jumlah pokok daun sup. Buang yang pendek atau kecil. Biarkan yang besar dan tinggi sahaja dalam pasu.

Kalau tak buang pokok pendek/kecil, nanti berebut nutrien dan air. Nanti semua jadi lambat membesar. Jadi kena “kejam” sikit.

Daun sup ni sensitif sikit dengan matahari petang. Oleh itu, letak menghadap timur sahaja kalau boleh. Kalau dah tak boleh elak matahari petang dari barat, gunakan shade cloth.

Kesum

Saya suka tanam daun kesum untuk masak asam pedas.

Daun kesum pun sangat senang untuk biakkan. Beli saja daun kesum dari pasaraya dan ambik keratan sepanjang lebih kurang ibu jari.

Cucukkan dalam potting mix kemudian letak pasu di tepi tingkap timur. Atau pun letak di bawah pokok besar.

Kalau boleh, pakai teknik siram-dari-bawah. Letakkan pasu dalam dulang dan isi air dalam dulang supaya terserap dari bawah.

Selasih

Daun selasih saya suka gunakan dalam masakan berkuah, contohnya spaghetti bolognese. Selasih adalah sejenis basil, oleh itu sedap je buat jadi ramuan untuk masak sos pasta.

Dalam Bahasa Inggeris kita panggil “Thai basil”. Saya pernah buat pesto pakai selasih (sepatutnya basil biasa), sedap.

Pokok selasih pun lebih kurang daun kesum kalau nak biakkan. Cucuk keratan dalam tanah terus.

Keratan pokok selasih lah saya rasa antara paling senang sekali. Tak perlu pasu atau tanah special apa-apa.

Saya suka potong sahaja batang selasih yang sedia ada dan cucuk di tanah mana-mana. Memang daun akan nampak layu.

Kita siram saja keratan yang dah tanam tu tiap-tiap hari, dia akan jadi pokok selasih yang baru. Mungkin seminggu, mungkin dua.

Saya suka tanam selasih merata-rata di kebun (kongsi pasu pokok lain, atau atas tanah). Bagus untuk halau serangga perosak.

Pokok selasih pun lebih kurang macam ketumbar jawa, potong bunga dia cepat-cepat untuk kurangkan risiko pokok mati.

Halia

Masakan kita memang banyak pakai halia kan. Sambal pun kadang-kadang pakai halia.

Kadang-kadang kalau perut kembung pun boleh buat teh halia. Halia Bentong saya rasa paling untung kita tanam. Senang je cari di pasaraya.

Pada saya, halia ini “lambat” sedikit. Berbulan-bulan baru nampak hasil. Jadi saya sarankan tanam di kawasan yang kita tak selalu lalu supaya kita tak geram tengok kenapa tak tumbuh-tumbuh.

Daun Kucai & Bawang

Saya suka tabur daun kucai yang dah potong kecik-kecik sebagai garnish pada masakan yang dah siap.

Kucai pun keluarga daun bawang jugak. Pada saya, untuk long-term, lebih bagus tanam daun kucai daripada tanam bawang besar untuk daun.

Tetapi untuk projek nak cepat hasil dapat daun bawang, boleh cuba tanam bawang besar dulu. Tanam terus bawang tu dalam tu. Bawang Bombay boleh, bawang merah kecik tu pun boleh, bawang putih pun boleh. Pasu/polybag boleh, tanah pun boleh.

Kadang-kadang kalau nampak bawang yang dah keluar daun kat pasaraya, saya beli dan tanam.

Saya juga suka belah dua bawang sebelum tanam. Nampak macam cepat sikit keluar daun. Tapi nak tanam sebijik terus pun boleh.

Pudina/Mint

Pudina adalah mint. Tak kisah lah peppermint ke spearmint ke, saya panggil pudina je. Catnip pun kira sejenis mint.

Pudina ni saya suka tambah dalam air teh 0. Jadi berangin, syok bila teguk. Perah pulak limau dalam tu, dan tambah ais.

Saya juga suka letak pudina dalam masakan. Selain tu, bau pokok pudina tolong halau serangga perosak.

Saya nak cakap awal-awal:

POKOK PUDINA TANAM DALAM PASU SAHAJA!

Beli 1 pasu kecil pudina dari nursery atau online pun dah cukup untuk sepanjang hayat kita. Nak biakkan, pakai keratan dari situ.

Pudina pun senang sangat, macam selasih. Ambik sahaja keratan sepanjang ibu jari dan cucuk terus keratan dalam pasu.

Dalam beberapa minggu, penuh lah pasu tu kalau siram tiap-tiap hari. Kalau hari hujan tak perlu lah siram kan.

Pokok pudina merebak dengan agresif. Senang untuk hilang kawalan, jadi TANAM DALAM PASU SAHAJA!

Seperti pokok pegaga, kalau dah “terlepas” kat kawasan tanah mana-mana, anggap sajalah pudina sudah conquer kawasan tu.

Daun Salad

Ini saya kurang minat sebab kurang makan…jadi maaf tak ada gambar.

Daun salad atau lettuce ni saya cadangkan semai benih keluaran Green World. Ini kerana tak semua jenis daun salad boleh ditanam di negara kita. Cari benih tempatan.

Ada jenis Butterhead, Loose Leaf, Green Galaxy (yang biasa buat ulam rasanya).

Cara semai dan penjagaan lebih kurang sahaja dengan sayur sawi. Boleh rujuk artikel tu. Bezanya cuma kurangkan matahari – sebenarnya masalah suhu, bukan cahaya matahari tu sendiri.

Bonus: Tanaman Hiasan

Lantana

Nak tunjuk saya tanam bunga lantana bersama halia.

Ini pokok bunga kegemaran saya. Bunga kecil-kecil tetapi banyak bergugus gitu, dan ada kombinasi warna yang menarik. Contohnya bunga kombinasi warna oren-pink macam gambar atas.

Yang kita banyak buat hiasan adalah jenis lantana camara. Kat nursery saya tengok murah sahaja, dalam RM8-10.

Walaupun jenis berbunga banyak, tetapi saya nampak pokok lantana lebih suka duduk bawah teduhan pokok besar.

Kalau letak di tempat panas sangat, mungkin akan layu dan mati. Kalau kita letak di tempat separuh teduh, lama-kelamaan batang dia akan jadi kayu dan jadi sangat senang untuk dijaga.

Keladi

Ini memang obvious kan, semua orang tahu. Keladi hiasan ada banyak jenis seperti caladium, anthurium, aglaonema…apa lagi ntah.

Kalau nak jenis ada “bunga” boleh cari anthurium. Aglaonema tu adalah keladi hiasan yang daun berwarna-warni tu.

Sunset Bell

Antara pokok bunga yang banyak keluar bunga di tempat separuh teduh adalah Sunset Bell, Hydrangea (Bunga Siti Zubaidah), Impatiens, dan beberapa jenis pokok Begonia.

Pada saya, Sunset Bell adalah paling senang sekali.

Malangnya nak mencari pokok bunga Sunset bell ni ikut nasib. Tengok nursery ada stok ke tak, atau pun tengok keluarga/sahabat yang ada boleh la mintak sikit (1 keratan pun ok).

Dapat beli satu pasu kecil pun dah cukup. Nak biakkan senang saja, cucuk terus keratan dalam tanah. Malas buang daun pun takpe.

Lama-kelamaan berlambak-lambak keluar sampai tak tahu nak buat apa dan terpaksa buang…atau pun bagi orang lah.

Ati-Ati (Coleus)

Pokok ati-ati pun adalah antara pokok “bunga” separuh teduh kegemaran saya. Bunga dia macam padi je, tidaklah besar macam bunga raya ke bunga matahari ke.

Ati-ati pun daun dan batang berwarna-warni macam keladi hiasan.

Ada orang kata bunga ati-ati ni kena potong supaya pokok hidup lama, tetapi saya biarkan saja dan setakat ni tiada masalah pun.

Kawasan matahari pagi/lewat petang sahaja paling senang.

Tapi sebenarnya pokok ati-ati ini saya letak di kawasan yang dapat cahaya terik tengahari dan petang, cuma letak bumbung shade cloth halang 70% matahari. Subur je.

Nak biakkan pun sangat-sangat senang, macam sunset bell jugak. Pakai keratan. Ambik keratan dalam panjang jari telunjuk, dan cucuk dalam tanah dalam pasu semaian kecil.

Kalau boleh, pakai teknik siram-dari-bawah. Pasu kita cucuk keratan tu letak dalam dulang dan isikan air dalam dulang.

Pothos & Monstera

Dua-dua ni lebih kurang sahaja. Rupa macam pokok tiruan.

Pothos ni daun kecil berbanding monstera. Kalau nak pokok kecik, pilih pothos. Kalau nak pokok besar, boleh cari monstera.

Jenis monstera yang popular (deliciosa) daun berlubang atau “terbelah” secara semulajadi. Sangat menarik buat hiasan di dapur atau letak kat porch rumah berdekatan pintu masuk.

Kedua-duanya menjalar, tapi kita boleh pacakkan “menara” (rupa macam tiang cakar kucing…ala untuk cat tree tu) untuk dia panjat. Jadi nampak macam pokok kayu.

Nak biakkan senang sangat, potong keratan dan biarkan dalam air sampai keluar akar.

Yang best pasal pothos/monstera ni adalah…takde tanah pun takpe!

Letak permanent dalam balang berisi air pun dia ok je. Kalau boleh, pakai air akuarium/kolam ikan sebab larutan najis ikan adalah baja.

Saya juga gemar letak keratan pothos dalam filter sangkut kat akuarium untuk bersihkan air ikan laga. Secara kasarnya, akar dia akan serap larutan najis dan lebihan makanan ikan sebagai baja – maksudnya tak perlu tukar air selalu.

Peace Lily

Peace lily ni antara yang paling tak kisah pasal matahari. Letak dalam bilik gelap pun dia masih akan hidup, tapi mungkin tak ada bunga.

Nak biakkan senang sahaja, bahagi akar. Mungkin setiap 6 bulan kena bahagi akar sebab pasu penuh sangat.

Pokok peace lily ni pun kira pokok teduh yang berbunga seperti Sunset Bell di atas. Bunga dia putih bentuk jagung macam keladi Agleonema.

Memang betul peace lily boleh bersihkan udara, tetapi jumlah udara yang dibersihkan tu sangat kecil.

Hydrangea (Bunga Siti Zubaidah)

Pokok bunga hydrangea ini pada saya adalah susah sedikit untuk beginner. Boleh cuba pokok ati-ati dulu.

Bila dah biasa jaga pokok ati-ati, saya rasa boleh saja jaga pokok hydrangea. Susah sikittt saja banding ati-ati.

Hydrangea ini berasal dari kawasan empat musim. Maksudnya UV index (kekuatan matahari) yang rendah berbanding UV index kita di kawasan Khatulistiwa ni.

Oleh itu, letak di kawasan yang dapat matahari pagi sahaja dan siram air yang banyak. Baja organik sahaja seperti tahi kambing.

Nak biakkan lebih kurang sahaja, pakai keratan. Guna teknik siram-dari-bawah macam pokok ati-ati.

Selamat Mencuba

Sebagai penutup, saya nak cakap pasal penjagaan.

Cara penjagaan tanaman-tanaman di bawah lebih kurang sama saja, jadi saya nak tulis sekali sahaja kat sini.

Siram setiap hari. Kalau boleh pakai micro-drip irrigation dengan garden timer, takyah nak bersusah siram satu-satu.

Untuk cegah serangga perosak, sembur neem spray setiap hujung minggu. Waktu pagi atau lewat petang sahaja ya.

Baja 2 minggu sekali. Gilirkan baja kompos dengan baja NPK tabur.

Contohnya minggu 1 letak baja kompos tebal-tebal, kemudian minggu 3 taburkan baja NPK seimbang (seperti 15:15:15). Kemudian minggu 5 baja kompos semula, and so on.