[Dalam Pasu] 🍆 Cara Saya Tanam Pokok Terung

Pengenalan

Terung. Nampak sambal terung di kedai nasi campur, memang saya tidak teragak-agak untuk cedok letak dalam pinggan. Memang antara lauk kegemaran saya.

Kalau masak di rumah, saya amat gemar letakkan potongan terung dengan sos bolognese San Remo bersama daging kisar Ramly. Boleh rujuk artikel resepi spaghetti bolognese.

Dulu saya bantai campak alang-alang ada terung lebih. Tak expect sedap pun, tapi lepas cuba makan, rasa sesuai sangat terung dalam kuah bolognese (atau ragu kalau nak rasa macam orang Itali).


Kelebihan besar tanam terung di rumah adalah pokok terung ini boleh membuahkan hasil dengan lama. Lebih-lebih lagi jika tanam di atas tanah. Saya pernah 2 tahun lebih terung berbuah banyak sebelum pokok “pencen”…tetapi itu tanam direct kat tanah kebun.

Jika tanam dalam pasu mungkin boleh dapat hasil konsisten sehingga 1 tahun sebelum pokok jadi “penat lelah” – tetapi pembajaan dan penyiraman kena lebih jaga sedikit. Ini lebih kepada masalah saiz pasu, bukan masalah pokok.

Kita panggil pokok tahan lama macam terung ni perennial – maksudnya hidup beberapa tahun. Namun begitu, selalunya kita tanam semula setiap tahun sebab pokok tak keluarkan hasil sangat dah selepas “pencen”.

Gambar Semangat

Sebelum kita mulakan dengan cara-cara menanam pokok terung ni…mari saya tunjuk dulu gambar hasil. Boleh cetuskan semangat sedikit untuk anda jadikan matlamat.

Yang panjang sekali tu berukuran lebih 1 kaki!
10 inci. Maaf measuring tape dah karat (selalu celup dalam akuarium).

Kesemua gambar ini merupakan gambar hasil tuaian daripada pokok terung yang saya tanam dalam pasu! Tak perlu ada kebun, asalkan ada kawasan yang dapat matahari penuh.

Hasil tuaian semakin pendek sebab makin banyak buah sepokok.
Contoh bunga terung yang sedang kembang.

Semai Benih

Terung ada banyak jenis. Panjang ada, bulat ada. Terung jenis warna kuning macam pisang pun ada.

Selalunya yang kita banyak nampak di pasaraya adalah jenis panjang dan bulat yang berwarna ungu lah. Saya suka tanam jenis ungu panjang kerana sebiji sahaja pun dah cukup untuk buat masak.

Untuk jenis terung panjang, saya gemar semai benih keluaran jenama Baba Smart Grow. Kalau anda tak jumpa, boleh juga gunakan keluaran Green World. Dua itu sahaja yang saya berani recommend buat masa sekarang.

Seperti sawi dan tomato, saya gemar gunakan teknik semaian modular. Maksudnya bukan tabur terus benih – kita gunakan seed tray, sarang telur, atau pasu kecil khas untuk semaian.

Yang penting, benih berasingan dalam ruang masing-masing. Saya juga sarankan guna teknik siram-dari-bawah untuk semaian.

Ini bermaksud dulang atau piring adalah diperlukan. Kalau guna sarang telur plastik, pastikan lubang ditebuk supaya air boleh diserap ke dalam media semaian.

Nampak tak air?

Untuk tanah/media semaian, saya sarankan guna Baba Smart Grow. Atau cari sahaja tanah campuran kompos mana-mana.

Selalunya media semaian sudah ada nutrien yang datang dari baja kompos. Nutrien daripada kompos selalunya tidak terlalu “kasar” sehingga boleh memudaratkan anak benih.

Tanam (Pindah-Tanam)

Selalunya dalam dua minggu selepas semai, anak pokok terung dah keluarkan dalam 3-4 daun “sebenar” (bukan kotiledon).

Sarang telur plastik pun boleh. Pastikan tebuk lubang kat bawah ye.

Ini bermaksud kita sudah boleh pindahkan modul anak benih ke dalam pasu (atau tanah). Tak semestinya kita perlu letak ke pasu besar terus, pasu plastik 4 inci pun boleh untuk sementara.

Untuk pasu, saya sarankan pilih yang berukuran 1 kaki lebar dan 1 kaki tinggi. Lagi besar lagi bagus. Tetapi minimum 1 kaki lah. Pokok terung ini sederhana besar jadi kita perlu sediakan ruang untuk akar.

Pakai tanah campuran, jangan pakai tanah rumah dalam pasu. Kemungkinan boleh jadi mampat dan lemaskan akar pokok.

Keluarkan dari kotak semaian (contohnya sarang telur plastik) bersama tanah semaian sekali. Jangan kacau akar dia, tak perlu leraikan tanah semaian.

Cucuk lubang dalam tanah pasu (atau tanah) agak-agak muat dan tanam. Tekankan sedikit tanah sekeliling selepas tanam. Pastikan kita tidak nampak akar terkeluar dari tanah.

Dia terdongak tengok langit sedikit tak apa. Nanti dia betul sendiri.

Letakkan batang penyokong terus di belakang anak pokok dan ikat menggunakan twist tie. Penyokong boleh gunakan potongan buluh, batang besi lebih, batang paip.

Contoh. Ini anak pokok bendi, saya lupa tangkap gambar yang terung punya.

Kadang-kadang saya malas, pakai sahaja keratan batang buluh Jepun. Ini berisiko, anak pokok buluh Jepun boleh tumbuh.

Selepas itu, terus lah letakkan baja kompos sekeliling anak pokok terung tersebut. Kalau tak ada baja kompos, letak secubitttt sahaja baja NPK dan jauh sedikit dari anak pokok terung.

Letak kompos sekeliling anak pokok. Ini timun, tapi sama je cara.

Saya juga galakkan letak sungkupan (mulch) sekeliling anak pokok terung selepas letak kompos. Contohnya daun kering atau sabut kelapa (coco coir). Boleh jugak letak hasil potong rumput.

Contoh mulch pakai coco coir. Ini anak pokok bunga matahari.

Mulch boleh tolong stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan tanah jadi kering. Kurang risiko untuk anak pokok tu “terkejut”. Selain itu, bila mulch tu mereput, dia akan jadi baja organik.

Anak pokok terung, 2 minggu selepas pindah.

Matahari

Daripada segi keperluan matahari, terung ini ringkas sahaja. Matahari penuh. Tak boleh separuh matahari dan dah tentu tak boleh tanam di tempat teduh.

Sebab itu saya suka tanam dalam pasu. Kita boleh alih-alih pokok terung untuk cari kawasan yang optimum untuk pokok terung.

Matahari penuh tidaklah bermaksud dari Subuh sampai Maghrib, tidak. Cuma 6 jam sudah cukup. Lagi lama lagi bagus, dan lagi terik lagi bagus. Saya maksudkan “terik” sebagai matahari dalam lingkungan 11.30 pagi hingga 4.30 petang…agak-agak sahaja.

Saya letakkan pasu pokok terung di kawasan yang dapat matahari dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Jadi dapat lah dalam cahaya matahari lembut dalam 2 jam lebih dan cahaya terik dalam 3 jam lebih.

Jadi kalau ada kawasan yang cahaya matahari yang sedikit terhalang oleh atap seperti saya, tiada masalah pun. Sebelum pukul 10 dan selepas pukul 4, pokok terung saya duduk berteduh. Lebat sahaja berbuah, cuma tak boleh banding yang dapat matahari seharian lah.

Siram

Pastikan selepas pindah-tanam, terus siram ya. Siram banyak-banyak sedikit. Kita nak beritahu akar pokok terung, “ini rumah baru awak, tak perlu stress dan teruskan membesar ya love you”.

Pastikan siram sebelum atau semasa pokok terung terima cahaya matahari. Seeloknya pagi atau tengahari. Saya siram pukul 11 pagi. Sekali sehari sahaja.

Halakan kat pangkal.

Kenapa? Tujuan air antaranya adalah untuk membantu proses fotosintesis pokok terung. Kalau tanah kering semasa pokok dapat cahaya matahari, rugi lah kan. Susah lah dia nak fotosintesis.

Untuk pokok terung yang dalam pasu, saya gemar gunakan teknik micro-drip irrigation. Cara ini memanglah jenuh sikit nak memasang pada awalnya, tetapi sangat mudah untuk siram setiap hari.

Pakai micro-drip lagi senang.

Pusingkan kepala paip dan siram berdozen pokok sekaligus! Mulakan timer pada phone dan sambil tu buat la kerja lain.

Letakkan satu mata air dalam setiap pasu berdekatan dengan batang pokok terung. Saya biarkan air mengalir dalam 20 hingga 30 minit. Nak lagi senang, automatic timer pun ada dijual.

Nak siram secara manual pun boleh. Ikut atas orang. Pastikan sembur air dalam pasu sekurang-kurangnya setengah minit hingga seminit lebih.

Yang penting adalah tanah mempunyai air untuk diberikan kepada pokok terung sebelum/semasa pokok dapat cahaya matahari.

Baja

Baja ini, atas orang. Ada yang suka 100% organik (seperti kompos), ada yang kimia sahaja (seperti NPK), ada yang campur. Saya campur (kompos sehingga berbunga, kemudian NPK dan tahi kambing setiap 2 minggu).

Kalau anda baru pertama kali tanam pokok terung, saya sarankan gunakan kompos dan tahi kambing sahaja sehingga pokok pencen.

Contohnya ini tahi kambing yang dicampur dengan kompos sawit.

Letakkan sejumlah 1 balang kecil (yang buat isi kuih tu) sekeliling pokok seminggu sekali. Biar sampai tertutup tanah tu, boleh buat sebagai sungkupan/mulch.

Bukan apa, cuma nak mengelakkan daripada terlebih nutrien sehingga pokok boleh “melecur”. Baja kompos dan tahi kambing ini bersifat pemaaf sedikit, lebih pun tak apa.

Kalau rasa yakin, boleh guna kompos/tahi kambing sehingga pokok terung berbunga sahaja. Saya anggarkan dalam dua bulan lah selepas semai mengikut pengalaman.

Maaf, gambar timun lagi. Macam ni lah lebih kurang untuk tabur baja NPK.

Selepas dah nampak 2-4 bunga dan nampak bunga tu dah kembang, boleh lah letakkan sedikit NPK seimbang. Kalau NPK 15:15:15, sedikittt sahaja, dalam setengah cubit.

Bergantung pada nombor NPK tu jugak. Kalau 10:10:10 boleh lah letak secubit. Untuk pokok terung, pakai NPK yang semua nombor sama sahaja, senang cerita.

Setiap dua minggu, boleh letak dalam secubit dua baja NPK seimbang. Pokok pun makin besar dan makin banyak buah kan.

Saya agak-agak sahaja. Setakat ini, yang paling menjadi untuk saya adalah campuran secubit baja NPK 15:15:15 bersama sebalang sederhana tahi kambing, setiap 2 minggu. Hasil anda mungkin lain.

Oh ya, boleh juga sembur chitosan kadang-kadang sebagai penggalak. Saya tak buat pun.

Perosak/Penyakit

Dah nama pun pokok, mesti lah ada perosak dan penyakit kan. Namun begitu, untuk pokok terung, saya tidak berapa risau sangat.

Kalau nak kurangkan risiko, letakkan di kawasan yang banyak dapat matahari dan mempunyai peredaran udara yang bagus (contohnya bukan di sudut dinding batu).

Seperti biasa, semburkan sahaja neem spray setiap minggu sebagai pencegahan organik. Itu sahaja saya buat. Kita tanam di rumah sahaja, tak perlulah racun kimia buatan.

Sila sembur pada waktu pagi atau lewat petang sahaja ya. Kandungan minyak neem boleh “goreng” daun kalau kena matahari terik.

Memang akan ada serangga seperti belalang yang makan daun sedikit, walaupun sudah disembur neem. Tetapi tidaklah merosakkan macam, contohnya, kumbang yang makan daun pokok timun.

Selalunya, pokok terung saya akan dapat penyakit semasa musim hujan. Fungus dan virus akan (contohnya) naik bertebaran dari tanah akibat pukulan air hujan. Serangga pembawa penyakit seperti aphid pun boleh kata lebih banyak apabila persekitaran basah memanjang.

Oleh itu, semasa musim hujan, boleh semai semula untuk ganti pokok terung. Pada saya, tidak berbaloi lawan kuasa musim hujan. Ganti sahaja pokok terung dengan batch seterusnya.

Contoh penyakit akibat musim hujan.

Saya tidak pernah lagi mengalami masalah siput/lintah/etc tetapi tabur sahaja racun siput seminggu sekali kalau nak. Saya tak buat pun untuk pokok terung walaupun musim hujan.

Potong/Pangkas

Rimbun sangat ni. Kena buang daun sikit supaya terung besar.

Pokok terung ini boleh membesar sampai setinggi manusia. Tinggi sangat nanti tumbang pulak, batang pokok kurus sahaja. Tidak lah selalu, mungkin 2 bulan sekali pun dah cukup.

Cabang bahagian bawah boleh buang.

Selain itu, kita perlu buang sedikit cabang supaya tidak terlalu banyak nutrien dari baja diambil untuk tumbesaran batang dan daun sahaja.

Kita perlu kawal “belanjawan” nutrien supaya nutrien banyak disalurkan kepada bunga dan tumbesaran buah terung. Banyak mana nak potong, nak potong stail macamana, itu terpulang lah.

Cuba dan bantai sahaja. Pastikan ada daun yang tinggal cukup untuk teduhkan buah terung (supaya terung tak sunburn). Jangan buat semua daun macam pokok mulberi, susah nak fotosintesis nanti.

Daun belah atas boleh teduhkan buah terung.

Saya potong sikit-sikit sahaja. Contohnya cabang yang meliar sangat, saya pangkas. Kalau rasa lebar sangat sampai nak tumbang, saya trim sikit. Daun bawah yang tak kena matahari, saya buang.

Cabang yang dah dipangkas boleh dibuat baja dan mulch. Mungkin potong kecil-kecil dan letakkan sekeliling akar pokok. Saya campak sahaja di tanah untuk buat baja pokok buah.

Tuai Hasil

Selalunya dalam 2 bulan selepas semai, bunga akan muncul. Apabila kita nampak bunga tu kembang, kita boleh expect terung boleh dituai dalam masa seminggu.

Kelopak bunga gugur maksudnya akan berbuah.

Ya, terung perlukan masa seminggu lebih sahaja untuk dituai selepas berbunga. Lebih kurang macam timun walaupun bukan bersaudara.

Untuk beberapa buah pertama, saya nampak kebanyakan saiz terung agak panjang. Ini kerana nutrien daripada baja tidak lagi “direbut” kerana daun pun sikit dan pokok pun pendek lagi.

Ini dalam 2 hari selepas bunga gugur. Memang putih awalnye.

Selepas pokok semakin tinggi dan lebar, hasil terung yang seterusnya akan jadi pendek sedikit. Masih panjang, cuma tak sepanjang hasil dulu.

Aduh blur pulak.

Saiz terung bergantung pada corak pembajaan kita juga. Contohnya untuk corak pembajaan saya, hasil seterusnya menjadi sedikit pendek dan gemuk.

Dalam 4 hari dah boleh nampak bentuk dia.

Saya pernah dapat terung yang jadi melengkung macam boomerang. Nak kata sebab jaring (ini sebab timun saya melengkung), saya tak pakai jaring.

Mungkin sebab saya terlupa baja dan kurang siram waktu tu. Mungkin sebab lain. Tapi itu lah yang saya nampak.

Kadang-kadang ada terung yang berbuah di luar kawasan “payung” daun. Ini boleh menyebabkan sunburn. Pada saya tiada masalah pun, isi dalam tidak terjejas pun. Cuma buruk lah sedikit.

Daripada pengalaman saya, terung dalam pasu 1 kaki akan mula mendatangkan hasil yang menggalakkan dalam lingkungan umur 3 hingga 8 bulan. Kalau tanam dalam tanah boleh lama sikit.

Saya suka potong halfway dari batang.

Umur 4-6 bulan boleh kata tak termakan. Setiap 2 hari boleh petik dalam 2-3 terung sepokok. Itu baja 2 minggu sekali lah.

Pokok terung dalam pasu selepas 7-8 bulan hasil akan berkurangan sedikit demi sedikit tak kira lah baja terjaga pun. Pada umur setahun, mungkin elok cabut sahaja dan ganti pokok baru.

Kesimpulan

Kalau boleh tanam 1 pokok sahaja, saya akan tanam pokok terung. Ini kerana pokok terung sangat senang dijaga, boleh ditanam dalam pasu, kurang penyakit dan perosak, dan berbuah banyak kali.

Selain itu, pokok terung sangat sesuai di tanam dalam iklim khatulistiwa kita. Nak masak pun banyak cara dan sesuai dimasukkan dalam banyak jenis kuah.

Anda pun boleh detect yang saya dah tak ada idea nak tulis apa kan. Ok lah, sampai di sini saja. Selamat menanam!