[Dalam Pasu] πŸŒΆοΈπŸ… Cara Saya Tanam Pokok Cili & Tomato

Pengenalan

Artikel ni saya sekalikan sahaja cara tanam pokok cili/lada dan cara tanam pokok tomato.

Tomato ceri + cili padi kampung hijau.

Tanam salah satu pun ok, saya cuma nak promote tanam berjiran.

Cili dan tomato sebenarnya sekeluarga “Nightshade”. Antara pokok Nightshade yang lain termasuk terung, lada benggala (capsicum), dan ubi kentang.

Saya suka tanam pokok cili dengan pokok tomato berjiran (pasu lain-lain lah) kerana:

  • keperluan lebih kurang sama sahaja
  • boleh kongsi struktur penyokong (jaring)
  • lebih banyak bunga untuk tarik lebah
Baru lepas petik. Nak tambah dalam bolognese.

Tak perlu ada kawasan tanah atau kebun pun.

Malahan saya lebih galakkan kebanyakan orang untuk tanam pokok cili dan tomato dalam pasu.

Pokok cili pakai pasu plastik 4-6 inci pun boleh. Tomato kena pasu besar.

Antara kelebihan tanam dalam pasu:

  • Boleh alih-alih untuk cari lokasi sesuai (matahari cukup, senang dapat air, dekat dengan dapur, sesuai dengan dekor, etc).
  • Kalau musim banjir, kurang risiko pokok mati lemas – pasu kan tinggi berbanding tanah
  • Kawal saiz pokok dan kawal penyakit dari tanah rumah (contohnya nematode yang rosakkan akar)
Akar pokok tomato rosak angkara root knot nematode dalam tanah kebun.

Cili/Lada

Hubungan orang kita dengan cili memang bagai aur dengan tebing. Boleh kata tiap-tiap hari makan. Kebanyakan lauk mesti ada letak cili.

Dalam spaghetti bolognese pun saya letak cili untuk tambah oomph.

Cili mungkin kita dah banyak kenal kan. Cili kampung, cili padi/bara, cili besar, cili solok. Yang bukan tempatan termasuk jalapeno (tak pedas langsung) dan habanero (lagi pedas dari cili padi).

Ini cili padi putih. Saya suka guna untuk nasik goreng.

Cili jenis perhiasan pun ada. Berwarna-warni buah dia.

Nak tanam jenis apa, ikut suka anda lah. Saya sendiri pun dah tak keep track dah pasal jenis pokok cili yang ditanam.

Yang ni cili padi kampung. Podas.

Asalkan dapat rasa pedas dia tu kan. Saya suka cili padi.

Oleh sebab permintaan (demand) yang sentiasa tinggi, harga cili boleh kata “mahal” jugak la. Apatah lagi lepas pandemik ni, makin melambung pulak harga saya tengok.

Nasi lebihan semalam, goreng dengan cili dan telur pun dah sedap. Tambah sos tiram sikit ke, perasa nasik goreng sikit ke.

Dah jimat RM5-8 kat situ berbanding makan luar. Sikit-sikit jadi bukit. Tomyam tapau hambar? Ha petik cili tambah lagi pedas dia.

Tomato

Tanam tomato sendiri lebih sedap dan manis berbanding tomato supermarket. Ini kerana kita boleh biarkan tomato “masak” lebih sikit kat pokok sebelum tuai (tunggu seminggu selepas jadi merah).

Kita biarkan merah seminggu kat pokok, jadi manis macam anggur.

Tomato pun besar ada, kecil ada, panjang ada. Bentuk labu (orang panggil beefsteak) pun ada ! Bila masak bukan setakat berwarna merah – oren, kuning dan ungu pun ada.

Saya ringkaskan sahaja secara kasar – kita boleh bahagikan kepada dua kategori:

  • Determinate (saya panggil “terhad” dalam BM)
  • Indeterminate (saya panggil “tak terhad” dalam BM)

Determinate. Untuk senang ingat, anggap determinate ini sebagai pokok menegak. Selalunya buah tomato jenis besar.

Tak masak lagi. Jenis besar selalunya tinggi 5-6 kaki sahaja. Sesuai untuk apartment.
  • Selalunya buah tomato jenis besar (macam letak dalam burger, sandwich, nasik ayam)
  • Tinggi maksimum hanyalah sekitar 5 kaki (tidak perlukan struktur penyokong yang tinggi)
  • Selalunya akan mati sendiri selepas habis satu “musim” berbuah (macam timun lah)

Indeterminate pula boleh anggap sebagai pokok menjalar (tapi kita tegakkan pakai jaring). Selalunya buah tomato jenis kecil.

Tomato kecil selalunya pokok menjalar sampai 10+ kaki. Perlu penyokong seperti jaring. Sesuai untuk rumah landed.
  • Selalunya buah tomato jenis kecil (seperti tomato ceri)
  • Tiada tinggi maksimum (selalunya saya biarkan sehingga 8 hingga 10 kaki sebelum trim)
  • Boleh berbunga/berbuah banyak kali tanpa “musim”

Secara teorinya, tomato indeterminate (macam tomato ceri) tidak akan mati sendiri tetapi dalam pengalaman saya, hasil menurun.

Setiap 6 bulan elok kita prepare pokok baru untuk ganti. Pakai keratan dari pokok asal (saya tunjuk kat bawah-bawah nanti).

Saya kurang suka tanam tomato besar sebab perosak suka masuk dalam buah dan bertelur. Tapi ini kat kebun saya (banyak pokok dan bahan reput), mungkin anda tanam kat rumah anda ok saja.

Kalau flat/condo/apartment mungkin lebih sesuai tanam tomato jenis besar sebab pokok tomato jenis tu hanya 5-6 kaki sahaja.

Gambar Semangat

Seperti biasa, saya sertakan sedikit gambar pokok cili dan tomato untuk beri sedikit semangat.

Nak lebat camni kena selalu potong dahan. Belakang tu pokok tomato.
Pokok cili ni saya biarkan tinggi. Sebab tu ada jaring (kongsi dengan pokok tomato).
Hasil petik cili padi hijau.
Sebahagian hasil dari sepokok tomato ceri.
Contoh jaring untuk pokok tomato.
2-3 pokok cili dah cukup untuk rumah.

Semai Benih

Kedua-dua pokok cili dan tomato ada banyak jenis.

Contoh benih cili keluaran Mango Garden.

Memang berbuku-buku kalau nak kenali semua jenis pokok cili dan tomato. Jadi saya ringkaskan saja lah.

Secara peribadinya, saya suka tanam cili padi/api/bara yang jenis cluster. Cili pedas kecil yang berbuah tegak dan banyak sekaligus.

Benih cili keluaran Baba Smart Grow saya suka.

Untuk tomato, kegemaran saya adalah tomato ceriSakura“.

Kegemaran saya. Benih Green World nombor 318.

Ini hanyalah tomato ceri biasa yang berwarna merah apabila masak. Boleh tahan manis dia dan selalunya lebat juga berbuah.

Untuk kedua-dua pokok cili dan tomato, saya suka benih keluaran Green World dan Baba Smart Grow. Mango Garden pun ok.

Kadang-kadang, cili kering dari pasaraya pun saya biarkan je atas tanah. Kalau nasib baik, ada la anak pokok cili yang keluar.

Teknik “campak” ni kadar percambahan sangat rendah. Ikut nasib.

Pokok tomato, saya tidak galakkan untuk guna benih dari buah tomato yang dibeli, sebab kebanyakannya adalah jenis hybrid (kacukan). Kita tak tahu jenis apa yang akan tumbuh nanti.

Saya sarankan pakai paket benih sahaja dulu untuk pastikan yang tumbuh tu adalah jenis pokok cili dan tomato yang kita nak.

Kalau tengok rupa benih tomato dan cili, kita boleh nampak logik kan yang diorang (dan terung) ni sekeluarga. Kecil comel je.

Benih cili rupa lebih kurang saja dengan benih tomato.

Nak semai, saya suka pakai cara seed tray. Tabur terus pun boleh, tapi banyak risiko.

Letakkan seed tray dalam multipurpose tray dan isi air.

Pakai kapas muka pun boleh, tapi sila pindah dalam pasu kecil berisi kompos lepas keluar kotiledon.

1-2 benih tomato/cili dalam setiap kotak seed tray. Itu benih tomato.

Berbanding bendi dan timun, saya suka semaikan saja banyak-banyak walaupun hanya nak 3-5 saja.

Boleh pakai 50% coco peat/coir (sabut kelapa) + 50% kompos. Simple saja, tak perlu rumitkan.

Nak senang, beli je seedling mix.

100% coco peat/coir sahaja tidak digalakkan sebab tiada nutrien…kecuali kalau letak baja cecair, tapi saya tak galakkan cara tu untuk beginner.

Jangan pakai tanah rumah sebab mampat sangat. Ada juga risiko penyakit dan perosak seperti semut (dia gi bawak lari benih kang).

Atau pun kalau nak senang, beli saja media semaian seperti Baba Seedling Mix. Nak pakai tanah campuran kompos pun boleh.

Yang penting, ada kompos untuk nutrien.

Contohnya kalau seed tray ada 40 kotak, semai saja 20+ benih cili belah kiri dan 20+ benih tomato belah kanan. Sekotak tersesat 2-3 benih pun tak apa lah.

Benih cili keluar lambat sikit. Dalam seminggu.

Semai lebih bukan sebab masalah kadar percambahan. Setakat ni memang boleh kata benih dari paket yang saya beli, memang sekurang-kurangnya 80% bercambah.

Lebihan anak-anak benih pokok cili dan tomato yang tidak terpilih untuk kita pindah tanam boleh simpan sebagai backup.

Kalau anak pokok dalam pasu mati, ganti dengan anak pokok backup.

Berbanding anak pokok lain, saya tengok anak pokok cili dan tomato ni macam manja sikit. Terlebih matahari sikit, terlebih baja sikit, terkena perosak sikit, boleh merajuk dan mati terus.

Lepas dah matang, senang saja nak jaga. Cuma peringkat bulan pertama ni saya tengok cerewet sikit berbanding, contohnya, anak pokok terung.

Boleh juga pakai pasu semaian kecik camni. Teknik sama, siram-dari-bawah – letak pasu dalam dulang dan isi air dalam dulang.

Tanam (Pindah-Tanam)

Tanah

Saya galakkan 100% tanah beli (seeloknya, potting mix) untuk tanam pokok cili dan pokok tomato dalam pasu. Yang dalam guni tu.

Contoh tanah beli (Baba Yasa-i Vege Soil)

Jangan campur tanah di kawasan rumah supaya kurang risiko dapat perosak akar. Saya juga tidak galakkan tanam atas tanah untuk beginner kerana susah nak kawal environment dia.

Saya suka pakai tanah 8-dalam-1 atau tanah campuran kompos. Baba Yasa-i Vege Soil pun bagus tapi mahal sikit.

Antara “tanah” kegemaran saya.

Benda boleh buat senang, kita buat cara senang.

Cili

Saya suka pindah-tanam bila anak pokok cili/tomato dah ada 2-3 daun betul (bukan kotiledon).

Nak tunggu seminggu lagi pun boleh.

Nampak beza kotiledon (panjang tajam) dengan daun betul?

Anak pokok cili/tomato boleh pindahkan ke pasu plastik 4-6 inci (macam kat nursery) atau ke pasu besar terus.

Saya sarankan, untuk beginner, pakai pasu 4-6 inci dulu. Plastik ke, tanah liat ke, sabut kelapa ke, polybag ke, tak kisah lah.

Anak pokok cili dalam pasu 8 inci, dan pokok cili dah berbuah dalam pasu 4 inci.

Kelebihan pindah ke pasu kecik dulu:

  • Saiz pokok cili terkawal (rimbun kalau selalu cubit)
  • Cepat sikit berbuah
  • Senang alih untuk cari tempat optimum (matahari ngam-ngam, senang siram, dekat nak petik, etc)
  • Kos tanah murah sebab sikit je perlu

Kekurangan pindah ke pasu kecik dulu:

  • Pokok cili pendek (kalau nak tinggi, boleh upgrade pasu)
  • Risiko terlebih letak baja
  • Air siraman cepat kering (kena siram tiap hari)
  • Kurang stabil (tersepak, kucing langgar, etc)

Keluarkan dari seed tray atau pasu semaian dan jangan leraikan akar. Tanam sekali dengan tanah asal.

Maaf ini pasu besar, tapi sama je cara. Nampak kan tak terlerai pun tanah asal.

Lepas tanam, kalau boleh letakkan sabut kelapa (coco coir/peat) dan kompos sekeliling anak pokok cili. Daun kering pun boleh.

Lepas tu siram lama-lama sikit. Siap!

Tanam dalam sikit pun tak apa. Letakkan kompos sekeliling anak pokok cili.

Pada saya, tidak perlu letak support (contoh batang buluh) lagi. Bila dah berbuah baru letak.

3-4 bulan kemudian boleh alih ke pasu besar sikit, macam 8-12 inci.

Contoh pokok cili asal pasu 4 inci pindah ke pasu 8 inci. Umur 5-6 bulan kot.

Tomato

Anak pokok tomato pun lebih kurang je.

Tunggu ada 2-3 daun sebenar. Bila termasuk kotiledon, jadi nampak 4-5 daun lah yang dah keluar.

Macam ni dah boleh pindah-tanam, atau biarkan je tinggi.
Kita tanam dalam pasu 4-6 inci dulu untuk bagi tinggi cepat.

Kita nak anak pokok tomato tinggi 6+ inci dulu sebelum pindah ke pasu besar. Boleh je tinggal dalam seed tray, tapi lambat sikit.

Bila dah tinggi lebih kurang tangan kita, boleh la pindah pasu besar.

Pokok tomato akan keluarkan akar daripada batang dalam tanah. Maksudnya:

Lagi dalam kita tanam anak pokok tomato, lagi lebat pokok tomato akan berbuah.

Pasu dalam 8-10 inci pun dah boleh. Tapi seeloknya 12 inci (1 kaki/30 cm).
Seluruh batang anak pokok tomato dalam gambar ni, letak bawah paras tanah.

Cucuk lubang dalam tanah pakai paip atau batang besi. Susah sikit kalau nak pakai penyodok biasa tu.

Tanam anak pokok tomato dalam-dalam, sampai dahan pertama. Itu saya cuba letak daun bunga marigold (taik ayam) untuk kawal nematode, tak wajib pun.
Dari tinggi lampai tadi, nampak pendek semula sebab tanam dalam-dalam.

Kalau tak ada jaring lagi, boleh letakkan batang penyokong seperti buluh atau batang besi.

Tu anak pokok bunga matahari, tapi letak batang penyokong camtu lah.

Kemudian seperti biasa, letakkan sabut kelapa dan kompos sekeliling. Siram lama sikit. Siap!

Jangan beri pasu contact dengan tanah. Ada perosak dalam tanah yang sangat suka makan akar pokok tomato.

Seeloknya gunakan piring untuk alas pasu kalau nak letak di kawasan tanah. Asalkan perosak dalam tanah tak boleh masuk dari bawah.

Kalau boleh, letak atas kawasan simen/tile (yang dapat pancaran matahari). Balkoni apartment pun ok.

Penyokong

Saya suka pakai penyokong yang simple sahaja.

Pokok cili, kalau anda nak buat pendek (selalu trim), tak perlu penyokong pun. Batang pokok cili dah cukup kukuh.

Untuk pokok tomato buah besar, boleh pakai “tomato cage“. Cari setinggi yang boleh.

Kalau pokok cili tinggi sederhana macam paras lutut, pakai buluh atau batang besi pun dah cukup. Nak pakai tomato cage pun boleh.

Contoh anak pokok cili dalam tomato cage.
Sangkar tomato macam ni kat Mr DIY pun ada jual.

Untuk pokok cili tinggi dan pokok tomato ceri, boleh pakai jaring nylon (“nylon netting“) yang untuk pokok timun tu. Boleh cari di Lazada atau Shopee.

Ada juga cara lain (contohnya pakai tali), tapi saya paling suka jaring sebab versatile.

Boleh sokong sekaligus pokok cili dan pokok tomato (dan timun, tembikai, terung, etc). Selain tu boleh sokong pokok bunga penarik lebah seperti bunga air mata pengantin.

Bunga air mata pengantin ajak lebah kelulut datang. Maksudnya lebih senang berbuah sebab kelulut tolong pollinate bunga cili dan tomato.

Saya buat sahaja struktur menegak pakai besi slotted angle. Kemudian pasang jaring pakai cable tie.

Nak gantung saja jaring tepi rumah pun boleh. Lagi senang.

Tarik tegang sikit pastu ikat pakai cable tie.
Contoh buah tomato bersandar kat jaring nylon jenis tebal sikit.

Pokok tomato ceri tak pandai memanjat sendiri. Kita kena ikat pokok tomato kat penyokong supaya dia sentiasa tegak.

Atau pun boleh pakai tomato clip. Guna untuk pokok cili pun boleh.

Boleh klip kat jaring macam ni setiap 2-3 kotak jaring. Pokok cili tak perlu klip banyak.

Matahari

Matahari kita terik, bukan macam negara 4 musim. Untuk diorang memang la kena matahari full day.

Untuk pokok cili dan pokok tomato, keperluan matahari untuk kita di Malaysia dan Asia Tenggara ni macam tak masuk akal sikit.

Separuh matahari sahaja. Maksudnya 4-6 jam matahari. Kalau boleh, lebih banyak matahari pagi (timur) berbanding matahari petang.

Contohnya, pokok cili dan tomato saya terletak di kawasan yang dapat matahari pada pukul 10 pagi hingga 3 petang sahaja.

Contoh cahaya matahari pagi.

Kalau letak kat balkoni apartment/condo yang dapat matahari, senang lah. Memang takkan dapat matahari sepanjang hari kan.

Pokok cili kita boleh letak pasu indoors. Pastikan letak tepi tingkap yang dapat matahari petang (dari barat). Matahari pagi untuk indoors sudah tertapis banyak dan mungkin tidak cukup kuat.

Masa mula-mula dulu saya fikir, pokok cili kan pedas…mesti lah nak panas-panas kan.

Tapi lepas letak pokok cili di kawasan matahari terik, daun jadi berkedut! Pokok pun cepat mati sebab stress.

Pokok tomato pulak, bunga banyak gugur sebab panas sangat. Lepas pindah ke kawasan kurang terik sikit, eh lebat buah.

Daun pokok cili kedut mungkin bermaksud terik sangat. Tak mudarat pun.
Nak daun cantik boleh letak berdekatan pokok besar atau shade cloth 50%.

Kalau hanya boleh letak pokok kat luar rumah di kawasan yang:

  • dapat matahari seharian atau tengahari hingga petang, dan
  • nampak pokok kurang sihat contohnya daun kedut/kuning, bunga gugur, nampak layu walaupun tersiram, etc…

Macamana?

Boleh cuba pakai shade cloth yang halang 50% cahaya matahari.

Kalau masalah bunga gugur, boleh cuba shade cloth 50%.

Ini bukan petua semata-mata, memang ada research study pasal ni di Texas (iklim lebih kurang panas macam kita).

Pastikan shade cloth 30% hingga 50% saja ya, 70% terlalu teduh.

Cubit/Trim/Buang Daun

Pokok Cili

Pokok cili ni…ikut citarasa masing-masing lah. Nak pokok tinggi atau pokok pendek. Tapi kedua-duanya saya akan “cubit” semasa peringkat anak pokok dah tinggi dalam 4-6 inci.

Maksudnya buang hujung dahan pokok cili. Pastikan masih ada daun yang tinggal kat pokok.

“Cubit” dan buang hujung anak pokok cili. Gunting pun boleh.

Tujuan “cubit” hujung anak pokok cili adalah supaya anak pokok cepat keluarkan cabang.

Kalau tak buat cabang awal-awal, pokok cili kurang stabil.

Hasil sekali cubit. Makin banyak cubit, makin rendang.

Kalau nak pokok cili pendek dan rendang (dan harap-harap cili yang lebih banyak), amalkan “cubit” atau trim pokok cili setiap 2-3 minggu.

Rendang dan pendek sebab selalu kena trim.

Untuk pokok cili yang saya plan untuk buat tinggi, saya cubit sekali dua sahaja semasa peringkat anak pokok.

Bila batang pokok cili dah nampak tebal dan berkayu sikit, kita boleh trim dengan lebih agresif. Bab trim-trim ni, pokok cili lasak sikit.

Ikut suka lah nak trim camne, asalkan ada daun tinggal kat pokok.

Pokok cili tinggi sila buang daun dan dahan belah bawah.

Hujung dahan yang kita potong, selalunya akan keluar cabang. Cabang-cabang ni buat pokok cili kita lebih stabil dan nampak “cantik” sikit.

Pokok Tomato

Untuk pokok tomato, sila buang daun dalam bahagian separuh bawah pokok untuk:

  • kurangkan risiko penyakit yang datang dari tanah
  • galakkan nutrien pergi ke bunga dan buah

Selain tu, bila pokok tomato dah mula berbuah, kita boleh potong beberapa dahan 45 darjah yang berlebihan.

Contoh dahan 45 darjah kat pokok tomato. Boleh potong dan tanam balik.

Keratan dahan 45 darjah tu kita boleh tanam dalam pasu lain untuk jadi pokok tomato yang baru.

Dahan 45 darjah ni memang lah keluarkan bunga dan buah, tetapi kalau banyak sangat, nanti akan berebut nutrien.

Kalau berebut nutrien, kualiti buah tomato akan turun (lebih kecil, kurang manis). Pada saya, buang dalam separuh dah ok.

Ada juga yang buang semua dahan 45 darjah tu. Kita panggil “single stem system”. Pada saya, itu lebih sesuai untuk petani tomato. Tidak berbaloi untuk pokok tomato di rumah.

Siram

Sehari sekali.

Kalau boleh, siram sebelum pokok kena pancaran matahari.

Kalau tanah kering (lebih-lebih lagi dalam pasu) semasa dapat matahari, pokok susah nak buat fotosintesis.

Kalau siram secara manual, halakan air pada pangkal pokok. Kita nak kurangkan risiko kena fungus.

Contoh (anak pokok bunga matahari).

Untuk kurangkan air tersejat, letak sabut kelapa (coco coir/peat) sekeliling pokok. Kita panggil ni sungkupan (mulch).

Pada saya, lebih senang pakai micro-drip irrigation. Nak lagi senang, pakai garden timer.

Contoh micro-drip kat anak pokok cili.

Ini bukan fertigasi. Tidak perlu pam atau tangki simpanan air.

Sambungkan sahaja ke kepala paip.

Bukak air kat kepala paip, dan serentak terus tersiram. Biarkan dalam 10 minit pun dah cukup.

Satu lagi contoh micro-drip kat pokok cili.

Saya bantai biar 30 minit (pakai timer) pun ok sebab air lebihan akan mengalir keluar dari pasu.

Baja

Jadual pembajaan senang sahaja. Setiap 2 minggu.

Mula-mula pakai baja kompos (bahan organik reput) sahaja.

Corak pembajaan di bawah adalah untuk kurangkan risiko pokok mati, itu saja. Untuk beginner, ikut di bawah dulu.

Bila dah berpengalaman, boleh je terus pakai baja NPK tabur atau baja cecair kimia buatan (seperti AB).

Semasa peringkat anak pokok, pakai baja kompos dan daun kering sahaja. Teruskan macam ni sampai dah nampak bunga keluar.

Bila pokok cili dah mula keluar bunga macam ni, boleh tukar ke NPK tabur.

Selepas dah berbunga, ada banyak pilihan. Saya paling suka gilir-gilirkan baja tahi kambing dan NPK tabur.

Contohnya 1 haribulan saya letak tahi kambing tebal-tebal sekeliling pokok. Lepas tu 15 haribulan pulak saya taburkan secubit mesra baja NPK tabur.

Baja NPK tabur ni…untuk beginner, saya sarankan pakai NPK yang seimbang dulu seperti 15:15:15.

Sebenarnya untuk pokok cili dan pokok tomato, seeloknya cari nombor NPK yang tinggi huruf P dan K untuk fokuskan nutrien kat bunga/buah cili dan tomato.

Apabila dah berbuah, boleh tambah sedikit liquid fertilizer setiap 2 minggu. Ini untuk banyakkan lagi buah cili dan tomato.

Untuk beginner, elok guna yang organic untuk kurangkan risiko pokok cili dan tomato mati akibat terlebih nutrien.

Organic liquid fertilizer ni kena larutkan dalam air dulu, jangan curah terus ya. Saya sarankan dua jenis:

  1. Fish emulsion atau hydrolysed fish fertilizer
  2. Seaweed/Kelp fertilizer

Boleh sembur atau curah sahaja sekeliling pokok. Sama saja setiap 2 minggu. Nak stop baja NPK tabur dan kompos pun boleh.

Selain tu, sisa siang ikan boleh tanam tepi pokok. Tanam dalam sikit, nanti ada pulak haiwan gali.

Pendebungaan

Pokok cili dan pokok tomato, seperti sayur berbuah yang lain, ada kedua-dua bunga jantan dan betina. Dalam bunga ada “serbuk” debunga atau pollen.

Maksudnya ada satu pokok pun dah cukup untuk debunga ziarah-menziarah supaya keluar buah. Ini kita panggil pendebungaan atau pollination.

Contoh gambar bunga tomato yang akan jadi buah tomato.

Selalunya angin atau serangga yang akan tolong “goyangkan” bunga cili dan tomato supaya debunga berterbangan.

Kita panggil serangga tu “pollinators” – lebah kelulut dan rama-rama contohnya. Lebah kelulut tidak menyengat, takyah risau.

Ini boleh timbulkan masalah untuk kebun baru atau di kawasan perumahan atau balkoni condo/apartment, sebab kadang-kadang:

  • Angin terhalang oleh tembok batu, bangunan, etc
  • Populasi pollinators kurang sebab kurang/takde bunga

Cara galakkan pendebungaan yang paling senang dan hands-off adalah tanam bunga untuk tarik lebah kelulut dan rama-rama.

Oleh itu, mungkin kita masuk campur sedikit.

Tidaklah perlu buat teliti sampai kena pakai berus kat bunga. Kita menanam kat rumah untuk makan sendiri-sendiri je.

Untuk tanaman pokok cili dan pokok tomato di rumah, saya suka 3 cara “manual” untuk pendebungaan yang mudah:

  1. Tepuk-tepuk pokok (manja-manja je)
  2. Pakai berus gigi eletrik untuk urut pokok
  3. Goyang-goyangkan pokok

Tujuannya adalah untuk buat debunga berterbangan.

Kalau bunga “tertutup” macam ni, maksudnya akan jadi buah.

Seminggu sekali pun dah cukup. Tapi kalau boleh, tiap-tiap kali lalu kebun buat lah. Kira sampai 10 saat. Lama sikit pun boleh.

Daripada pengalaman saya, cara “manual” lebih lebat berbuah berbanding cara tanam bunga. Tetapi pada saya, hasil lebih tu tidaklah berbaloi sangat sebab banyak yang tak terpetik.

Jadi, pada pendapat saya, elok lah tanam bunga sahaja untuk menarik serangga pollinator. Jimat masa dan tenaga kita.

Kalau boleh, tanam bunga yang banyak nektar (bahan buat madu) ya.

Yang jenis memanjat, saya cadangkan dua yang mudah:

  1. Bunga air mata pengantin (Antigonon)
  2. Thunbergia
Bunga air mata pengantin (pink) dengan thunbergia (purple putih)

Sila tanam dalam pasu dan lapik dengan piring supaya tidak tersebar dengan tidak terkawal. Pokok bunga memanjat boleh kongsi jaring dengan pokok cili dan tomato.

Antara bunga tidak memanjat yang mudah ditanam dalam pasu:

  • Gomphrena (bunga butang) dan celosia
  • Vinca (kemunting cina)
  • Zinnia
  • Ixora (bunga jarum)
  • Lantana (tahi ayam)
  • Marigold (tahi ayam jugak)
Contoh bunga vinca sebelah pokok cili pendek.

Bunga tidak memanjat takde lah tersebar sangat. Terpulang nak tanam dalam pasu atau tanah.

Bunga Lantana Camara. Bau dia boleh halau perosak sikit.

Beli saja dari nursery, tak perlulah bazir masa untuk semai benih.

Kawalan Perosak

Ha, perosak pokok tomato dan pokok cili yang paling menyakitkan hati sekali adalah aphid. Kecik-kecik je tu, kita susah nak nampak.

Kalau nampak ada putih-putih macam sarang labah-labah bawah daun, maksudnya ada la serangan aphid kat pokok.

Contoh “honeydew” bawah daun akibat aphid.

Kita kena cegah awal. Kalau tak bernasib baik, penyakit akan masuk dalam batang pokok bila diorang gigit.

Kalau biarkan aphid berleluasa:

  • Buah jadi cacat, terutamanya tomato
  • Pokok cepat mati
  • Banyak semut datang

Jadi untuk kawalan, saya suka pakai dua jenis spray, iaitu:

  • Neem spray (seperti biasa)
  • Cili padi dan bawang putih (tumbuk atau blend) dilarutkan dalam air
Neem spray seminggu sekali. Spray air cili + bawang putih pun ok.

Semburkan seminggu sekali, sekurang-kurangnya. Pastikan kena atas bawah daun ya. Sembur waktu pagi atau lewat petang sahaja.

Selain tu, boleh tanam pokok yang keluarkan bau. Contohnya selasih dan pudina. Tanam sepasu atau dalam pasu berdekatan dengan pokok cili dan pokok tomato.

Selasih belah kiri. Maaf daun cili kedut sikit, kawasan terik.

Serangga perosak kurang suka bau yang datang dari selasih dan pudina ni. Mudah sikit kerja kita nak mengawal perosak kan.

Pokok bunga Lantana (taik ayam) pun elok. 2-in-1 la kiranya, tarik serangga pollinator dan halau serangga perosak.

Pokok tomato ni, ada penyakit yang kita panggil “blossom end rot” – macam buah tomato reput semasa membesar.

Contoh “reput” akibat penyakit yang dibawa oleh aphid.

Ini mungkin sebab penyakit yang berjangkit melalui perosak, atau pokok kurang mampu untuk serap kalsium.

Untuk bantu pokok serap kalsium, Epsom salt (magnesium sulfate) boleh amalkan tabur setiap 2 minggu. Bantai je tabur segenggam dua sekeliling pokok cili dan tomato.

Kalau buah reput kat pokok disebabkan penyakit…memang tak boleh buat apa. Cabut dan buang. Kita boleh nampak pokok tu berpenyakit kalau daun pokok bergulung di hujung dan nampak terbantut.

Tuai

Cili, selalunya dalam dua minggu selepas bunga kita boleh tuai dah. Tomato lama sikit.

Potong kat pangkal.

Buah tomato kan, selepas dah mula merah, kalau boleh biarkan dulu kat pokok selama seminggu. Ini boleh buatkan tomato jadi lebih manis dan sedap.

Tomato kalau boleh tinggalkan merah kat pokok dalam seminggu.

Nak petik terus pun tak apa. Saya suka petik satu-satu kemudian gunting dahan pemegang buah tu kat pangkal.

Tomato tak sedap (masam) kalau petik masa hijau, walaupun bila jadi merah beberapa hari selepas petik.

Cili boleh saja petik semasa hijau.

Sebenarnya saya lebih suka gunakan cili untuk masak semasa masih hijau, rasa dia lebih sedap…tapi tu citarasa peribadi masing-masing lah.

Macam ni dah boleh petik. Pada saya, lebih sedap yang hijau.

Ada jenis cili yang memang warna dia bukan merah, contoh cili padi putih atau cili ungu.

Selalu petik cili ya. Jangan biarkan cili masak lama-lama kat pokok.

Pokok boleh jadi tak sihat disebabkan berebut tenaga untuk buat benih.

Jangan biarkan sampai jadi benih macam di atas. Petik selalu.

Potong di pangkal buah cili ya semasa petik. Kalau nak pokok cili sentiasa kecil, saya sarankan trim dahan sekali semasa petik cili.

Terima Kasih

Saya sarankan untuk manage expectations.

Kali pertama memang akan kurang menjadi. Tak apa, tengok balik apa yang mungkin tersilap dan cuba lagi.

Kumpul pengalaman tanam pokok cili dan tomato dengan mencuba dengan tangan sendiri. Yang penting adalah pengalaman sendiri.

Baca/tengok dan belajar daripada pengalaman orang lain dan gunakan ilmu tersebut secara praktikal…sebab lain orang lain hasil.

Mungkin anda akan dapat cara sendiri yang lebih bagus daripada cara saya.

Kalau dah sampai ke sini, terima kasih sudi membaca! Harap artikel ni dapat bantu anda sedikit sebanyak.

[Dalam Pasu] πŸ† Cara Saya Tanam Pokok Terung

Pengenalan

Terung. Nampak sambal terung di kedai nasi campur, memang saya tidak teragak-agak untuk cedok letak dalam pinggan. Memang antara lauk kegemaran saya.

Kalau masak di rumah, saya amat gemar letakkan potongan terung dengan sos bolognese San Remo bersama daging kisar Ramly. Boleh rujuk artikel resepi spaghetti bolognese.

Dulu saya bantai campak alang-alang ada terung lebih. Tak expect sedap pun, tapi lepas cuba makan, rasa sesuai sangat terung dalam kuah bolognese (atau ragu kalau nak rasa macam orang Itali).


Kelebihan besar tanam terung di rumah adalah pokok terung ini boleh membuahkan hasil dengan lama. Lebih-lebih lagi jika tanam di atas tanah. Saya pernah 2 tahun lebih terung berbuah banyak sebelum pokok “pencen”…tetapi itu tanam direct kat tanah kebun.

Jika tanam dalam pasu mungkin boleh dapat hasil konsisten sehingga 1 tahun sebelum pokok jadi “penat lelah” – tetapi pembajaan dan penyiraman kena lebih jaga sedikit. Ini lebih kepada masalah saiz pasu, bukan masalah pokok.

Kita panggil pokok tahan lama macam terung ni perennial – maksudnya hidup beberapa tahun. Namun begitu, selalunya kita tanam semula setiap tahun sebab pokok tak keluarkan hasil sangat dah selepas “pencen”.

Gambar Semangat

Sebelum kita mulakan dengan cara-cara menanam pokok terung ni…mari saya tunjuk dulu gambar hasil. Boleh cetuskan semangat sedikit untuk anda jadikan matlamat.

Yang panjang sekali tu berukuran lebih 1 kaki!
10 inci. Maaf measuring tape dah karat (selalu celup dalam akuarium).

Kesemua gambar ini merupakan gambar hasil tuaian daripada pokok terung yang saya tanam dalam pasu! Tak perlu ada kebun, asalkan ada kawasan yang dapat matahari penuh.

Hasil tuaian semakin pendek sebab makin banyak buah sepokok.
Contoh bunga terung yang sedang kembang.

Semai Benih

Terung ada banyak jenis. Panjang ada, bulat ada. Terung jenis warna kuning macam pisang pun ada.

Selalunya yang kita banyak nampak di pasaraya adalah jenis panjang dan bulat yang berwarna ungu lah. Saya suka tanam jenis ungu panjang kerana sebiji sahaja pun dah cukup untuk buat masak.

Untuk jenis terung panjang, saya gemar semai benih keluaran jenama Baba Smart Grow. Kalau anda tak jumpa, boleh juga gunakan keluaran Green World. Dua itu sahaja yang saya berani recommend buat masa sekarang.

Seperti sawi dan tomato, saya gemar gunakan teknik semaian modular. Maksudnya bukan tabur terus benih – kita gunakan seed tray, sarang telur, atau pasu kecil khas untuk semaian.

Yang penting, benih berasingan dalam ruang masing-masing. Saya juga sarankan guna teknik siram-dari-bawah untuk semaian.

Ini bermaksud dulang atau piring adalah diperlukan. Kalau guna sarang telur plastik, pastikan lubang ditebuk supaya air boleh diserap ke dalam media semaian.

Nampak tak air?

Untuk tanah/media semaian, saya sarankan guna Baba Smart Grow. Atau cari sahaja tanah campuran kompos mana-mana.

Selalunya media semaian sudah ada nutrien yang datang dari baja kompos. Nutrien daripada kompos selalunya tidak terlalu “kasar” sehingga boleh memudaratkan anak benih.

Tanam (Pindah-Tanam)

Selalunya dalam dua minggu selepas semai, anak pokok terung dah keluarkan dalam 3-4 daun “sebenar” (bukan kotiledon).

Sarang telur plastik pun boleh. Pastikan tebuk lubang kat bawah ye.

Ini bermaksud kita sudah boleh pindahkan modul anak benih ke dalam pasu (atau tanah). Tak semestinya kita perlu letak ke pasu besar terus, pasu plastik 4 inci pun boleh untuk sementara.

Untuk pasu, saya sarankan pilih yang berukuran 1 kaki lebar dan 1 kaki tinggi. Lagi besar lagi bagus. Tetapi minimum 1 kaki lah. Pokok terung ini sederhana besar jadi kita perlu sediakan ruang untuk akar.

Pakai tanah campuran, jangan pakai tanah rumah dalam pasu. Kemungkinan boleh jadi mampat dan lemaskan akar pokok.

Keluarkan dari kotak semaian (contohnya sarang telur plastik) bersama tanah semaian sekali. Jangan kacau akar dia, tak perlu leraikan tanah semaian.

Cucuk lubang dalam tanah pasu (atau tanah) agak-agak muat dan tanam. Tekankan sedikit tanah sekeliling selepas tanam. Pastikan kita tidak nampak akar terkeluar dari tanah.

Dia terdongak tengok langit sedikit tak apa. Nanti dia betul sendiri.

Letakkan batang penyokong terus di belakang anak pokok dan ikat menggunakan twist tie. Penyokong boleh gunakan potongan buluh, batang besi lebih, batang paip.

Contoh. Ini anak pokok bendi, saya lupa tangkap gambar yang terung punya.

Kadang-kadang saya malas, pakai sahaja keratan batang buluh Jepun. Ini berisiko, anak pokok buluh Jepun boleh tumbuh.

Selepas itu, terus lah letakkan baja kompos sekeliling anak pokok terung tersebut. Kalau tak ada baja kompos, letak secubitttt sahaja baja NPK dan jauh sedikit dari anak pokok terung.

Letak kompos sekeliling anak pokok. Ini timun, tapi sama je cara.

Saya juga galakkan letak sungkupan (mulch) sekeliling anak pokok terung selepas letak kompos. Contohnya daun kering atau sabut kelapa (coco coir). Boleh jugak letak hasil potong rumput.

Contoh mulch pakai coco coir. Ini anak pokok bunga matahari.

Mulch boleh tolong stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan tanah jadi kering. Kurang risiko untuk anak pokok tu “terkejut”. Selain itu, bila mulch tu mereput, dia akan jadi baja organik.

Anak pokok terung, 2 minggu selepas pindah.

Matahari

Daripada segi keperluan matahari, terung ini ringkas sahaja. Matahari penuh. Tak boleh separuh matahari dan dah tentu tak boleh tanam di tempat teduh.

Sebab itu saya suka tanam dalam pasu. Kita boleh alih-alih pokok terung untuk cari kawasan yang optimum untuk pokok terung.

Matahari penuh tidaklah bermaksud dari Subuh sampai Maghrib, tidak. Cuma 6 jam sudah cukup. Lagi lama lagi bagus, dan lagi terik lagi bagus. Saya maksudkan “terik” sebagai matahari dalam lingkungan 11.30 pagi hingga 4.30 petang…agak-agak sahaja.

Saya letakkan pasu pokok terung di kawasan yang dapat matahari dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Jadi dapat lah dalam cahaya matahari lembut dalam 2 jam lebih dan cahaya terik dalam 3 jam lebih.

Jadi kalau ada kawasan yang cahaya matahari yang sedikit terhalang oleh atap seperti saya, tiada masalah pun. Sebelum pukul 10 dan selepas pukul 4, pokok terung saya duduk berteduh. Lebat sahaja berbuah, cuma tak boleh banding yang dapat matahari seharian lah.

Siram

Pastikan selepas pindah-tanam, terus siram ya. Siram banyak-banyak sedikit. Kita nak beritahu akar pokok terung, “ini rumah baru awak, tak perlu stress dan teruskan membesar ya love you”.

Pastikan siram sebelum atau semasa pokok terung terima cahaya matahari. Seeloknya pagi atau tengahari. Saya siram pukul 11 pagi. Sekali sehari sahaja.

Halakan kat pangkal.

Kenapa? Tujuan air antaranya adalah untuk membantu proses fotosintesis pokok terung. Kalau tanah kering semasa pokok dapat cahaya matahari, rugi lah kan. Susah lah dia nak fotosintesis.

Untuk pokok terung yang dalam pasu, saya gemar gunakan teknik micro-drip irrigation. Cara ini memanglah jenuh sikit nak memasang pada awalnya, tetapi sangat mudah untuk siram setiap hari.

Pakai micro-drip lagi senang.

Pusingkan kepala paip dan siram berdozen pokok sekaligus! Mulakan timer pada phone dan sambil tu buat la kerja lain.

Letakkan satu mata air dalam setiap pasu berdekatan dengan batang pokok terung. Saya biarkan air mengalir dalam 20 hingga 30 minit. Nak lagi senang, automatic timer pun ada dijual.

Nak siram secara manual pun boleh. Ikut atas orang. Pastikan sembur air dalam pasu sekurang-kurangnya setengah minit hingga seminit lebih.

Yang penting adalah tanah mempunyai air untuk diberikan kepada pokok terung sebelum/semasa pokok dapat cahaya matahari.

Baja

Baja ini, atas orang. Ada yang suka 100% organik (seperti kompos), ada yang kimia sahaja (seperti NPK), ada yang campur. Saya campur (kompos sehingga berbunga, kemudian NPK dan tahi kambing setiap 2 minggu).

Kalau anda baru pertama kali tanam pokok terung, saya sarankan gunakan kompos dan tahi kambing sahaja sehingga pokok pencen.

Contohnya ini tahi kambing yang dicampur dengan kompos sawit.

Letakkan sejumlah 1 balang kecil (yang buat isi kuih tu) sekeliling pokok seminggu sekali. Biar sampai tertutup tanah tu, boleh buat sebagai sungkupan/mulch.

Bukan apa, cuma nak mengelakkan daripada terlebih nutrien sehingga pokok boleh “melecur”. Baja kompos dan tahi kambing ini bersifat pemaaf sedikit, lebih pun tak apa.

Kalau rasa yakin, boleh guna kompos/tahi kambing sehingga pokok terung berbunga sahaja. Saya anggarkan dalam dua bulan lah selepas semai mengikut pengalaman.

Maaf, gambar timun lagi. Macam ni lah lebih kurang untuk tabur baja NPK.

Selepas dah nampak 2-4 bunga dan nampak bunga tu dah kembang, boleh lah letakkan sedikit NPK seimbang. Kalau NPK 15:15:15, sedikittt sahaja, dalam setengah cubit.

Bergantung pada nombor NPK tu jugak. Kalau 10:10:10 boleh lah letak secubit. Untuk pokok terung, pakai NPK yang semua nombor sama sahaja, senang cerita.

Setiap dua minggu, boleh letak dalam secubit dua baja NPK seimbang. Pokok pun makin besar dan makin banyak buah kan.

Saya agak-agak sahaja. Setakat ini, yang paling menjadi untuk saya adalah campuran secubit baja NPK 15:15:15 bersama sebalang sederhana tahi kambing, setiap 2 minggu. Hasil anda mungkin lain.

Oh ya, boleh juga sembur chitosan kadang-kadang sebagai penggalak. Saya tak buat pun.

Perosak/Penyakit

Dah nama pun pokok, mesti lah ada perosak dan penyakit kan. Namun begitu, untuk pokok terung, saya tidak berapa risau sangat.

Kalau nak kurangkan risiko, letakkan di kawasan yang banyak dapat matahari dan mempunyai peredaran udara yang bagus (contohnya bukan di sudut dinding batu).

Seperti biasa, semburkan sahaja neem spray setiap minggu sebagai pencegahan organik. Itu sahaja saya buat. Kita tanam di rumah sahaja, tak perlulah racun kimia buatan.

Sila sembur pada waktu pagi atau lewat petang sahaja ya. Kandungan minyak neem boleh “goreng” daun kalau kena matahari terik.

Memang akan ada serangga seperti belalang yang makan daun sedikit, walaupun sudah disembur neem. Tetapi tidaklah merosakkan macam, contohnya, kumbang yang makan daun pokok timun.

Selalunya, pokok terung saya akan dapat penyakit semasa musim hujan. Fungus dan virus akan (contohnya) naik bertebaran dari tanah akibat pukulan air hujan. Serangga pembawa penyakit seperti aphid pun boleh kata lebih banyak apabila persekitaran basah memanjang.

Oleh itu, semasa musim hujan, boleh semai semula untuk ganti pokok terung. Pada saya, tidak berbaloi lawan kuasa musim hujan. Ganti sahaja pokok terung dengan batch seterusnya.

Contoh penyakit akibat musim hujan.

Saya tidak pernah lagi mengalami masalah siput/lintah/etc tetapi tabur sahaja racun siput seminggu sekali kalau nak. Saya tak buat pun untuk pokok terung walaupun musim hujan.

Potong/Pangkas

Rimbun sangat ni. Kena buang daun sikit supaya terung besar.

Pokok terung ini boleh membesar sampai setinggi manusia. Tinggi sangat nanti tumbang pulak, batang pokok kurus sahaja. Tidak lah selalu, mungkin 2 bulan sekali pun dah cukup.

Cabang bahagian bawah boleh buang.

Selain itu, kita perlu buang sedikit cabang supaya tidak terlalu banyak nutrien dari baja diambil untuk tumbesaran batang dan daun sahaja.

Kita perlu kawal “belanjawan” nutrien supaya nutrien banyak disalurkan kepada bunga dan tumbesaran buah terung. Banyak mana nak potong, nak potong stail macamana, itu terpulang lah.

Cuba dan bantai sahaja. Pastikan ada daun yang tinggal cukup untuk teduhkan buah terung (supaya terung tak sunburn). Jangan buat semua daun macam pokok mulberi, susah nak fotosintesis nanti.

Daun belah atas boleh teduhkan buah terung.

Saya potong sikit-sikit sahaja. Contohnya cabang yang meliar sangat, saya pangkas. Kalau rasa lebar sangat sampai nak tumbang, saya trim sikit. Daun bawah yang tak kena matahari, saya buang.

Cabang yang dah dipangkas boleh dibuat baja dan mulch. Mungkin potong kecil-kecil dan letakkan sekeliling akar pokok. Saya campak sahaja di tanah untuk buat baja pokok buah.

Tuai Hasil

Selalunya dalam 2 bulan selepas semai, bunga akan muncul. Apabila kita nampak bunga tu kembang, kita boleh expect terung boleh dituai dalam masa seminggu.

Kelopak bunga gugur maksudnya akan berbuah.

Ya, terung perlukan masa seminggu lebih sahaja untuk dituai selepas berbunga. Lebih kurang macam timun walaupun bukan bersaudara.

Untuk beberapa buah pertama, saya nampak kebanyakan saiz terung agak panjang. Ini kerana nutrien daripada baja tidak lagi “direbut” kerana daun pun sikit dan pokok pun pendek lagi.

Ini dalam 2 hari selepas bunga gugur. Memang putih awalnye.

Selepas pokok semakin tinggi dan lebar, hasil terung yang seterusnya akan jadi pendek sedikit. Masih panjang, cuma tak sepanjang hasil dulu.

Aduh blur pulak.

Saiz terung bergantung pada corak pembajaan kita juga. Contohnya untuk corak pembajaan saya, hasil seterusnya menjadi sedikit pendek dan gemuk.

Dalam 4 hari dah boleh nampak bentuk dia.

Saya pernah dapat terung yang jadi melengkung macam boomerang. Nak kata sebab jaring (ini sebab timun saya melengkung), saya tak pakai jaring.

Mungkin sebab saya terlupa baja dan kurang siram waktu tu. Mungkin sebab lain. Tapi itu lah yang saya nampak.

Kadang-kadang ada terung yang berbuah di luar kawasan “payung” daun. Ini boleh menyebabkan sunburn. Pada saya tiada masalah pun, isi dalam tidak terjejas pun. Cuma buruk lah sedikit.

Daripada pengalaman saya, terung dalam pasu 1 kaki akan mula mendatangkan hasil yang menggalakkan dalam lingkungan umur 3 hingga 8 bulan. Kalau tanam dalam tanah boleh lama sikit.

Saya suka potong halfway dari batang.

Umur 4-6 bulan boleh kata tak termakan. Setiap 2 hari boleh petik dalam 2-3 terung sepokok. Itu baja 2 minggu sekali lah.

Pokok terung dalam pasu selepas 7-8 bulan hasil akan berkurangan sedikit demi sedikit tak kira lah baja terjaga pun. Pada umur setahun, mungkin elok cabut sahaja dan ganti pokok baru.

Kesimpulan

Kalau boleh tanam 1 pokok sahaja, saya akan tanam pokok terung. Ini kerana pokok terung sangat senang dijaga, boleh ditanam dalam pasu, kurang penyakit dan perosak, dan berbuah banyak kali.

Selain itu, pokok terung sangat sesuai di tanam dalam iklim khatulistiwa kita. Nak masak pun banyak cara dan sesuai dimasukkan dalam banyak jenis kuah.

Anda pun boleh detect yang saya dah tak ada idea nak tulis apa kan. Ok lah, sampai di sini saja. Selamat menanam!

[Dalam Pasu] Cara Saya Tanam Pokok Kacang Bendi 🌱

Pengenalan

Siapalah yang tak kenal sayur kacang bendi. Celur buat ulam sahaja pun dah sedap, lagi-lagi dengan nasi kandar. Satu lagi masakan bendi yang saya sangat suka adalah asam pedas bendi.

Asam pedas pakai bendi “tua” sikit pun tak apa.

Jujurnya, selalunya saya air fry sahaja bendi tu. Saya hanya tanam “sepasang” pokok bendi (dalam pasu 8 inci) dan hampir setiap hari saya kena petik. Malas nak masak lauk canggih, air fry saja lah.

Kunyit sikit, minyak sikit.

Untunglah kita yang tinggal dalam Asia Tenggara kerana pokok bendi sangat senang ditanam di sini. Saya rasa pokok bendi lebih senang daripada pokok terung – tetapi saya lebih suka terung.

Boleh dikatakan bendi adalah pokok perennial (hidup lebih 2 tahun), asalkan kita rajin petik buahnya. Bendi saya dalam pasu dah berumur setahun lebih pun masih banyak berbuah, tidak seperti terung atau tomato (umur dalam 10 bulan, hasil mula berkurangan).

Tahukah anda bahawa bendi ini adalah saudara kepada bunga raya (dan rozel)? Pada mulanya saya pelik, tapi apabila tengok pokok bendi berbunga, oh logik jugak. Rupa bunga lebih kurang.

Bunga bendi. Nampak macam bunga raya kan?

Gambar Semangat

Sebelum belajar cara tanam pokok kacang bendi ni, mari tengok gambar hasil dulu sebagai motivasi.

Pokok bendi berbuah banyak sekaligus.
Saiz macam ni dah boleh dipetik.
Beza warna bendi lembut (kiri) dan bendi keras.
*Terung grown seperately.


Semai Benih

Seperti pokok tomato, terung, cili, sawi dan sebagainya…bendi ada banyak jenis. Ada jenis montel, ada warna merah, putih pun ada.

Tapi selalunya yang kita nampak di pasaraya dan kedai makan yang jenis hijau panjang tu lah. Kacang bendi jenis hijau panjang itu lah yang saya demonstrasikan dalam artikel ni.

Jadi, untuk tanaman pokok kacang bendi ni…saya sangat suka benih keluaran Baba Smart Grow. Dalam sepaket dapat berpuluh-puluh jugak lah. Sekali semai mungkin perlu 3-6 benih sahaja.

Pokok kacang bendi ni, daripada pengalaman saya lah, purata benih bercambah memang sangat bagus. Oleh itu, kita tidak perlukan banyak benih semasa semai…bukan macam benih daun sup, contohnya.

Untuk kebanyakan orang, saya sarankan dua sahaja pokok kacang bendi. Nak dapat dua pokok kacang bendi, dua benih sahaja pun dah cukup. Tetapi just to be safe, semai lah 3-6 benih bendi.

Benih bendi besar berbanding tanaman sayur berbuah lain.

Benih yang diperlukan sedikit sahaja kan. Ini bermaksud kita tidak perlukan dulang semaian (seed tray) seperti sawi. Saya suka pakai pasu plastik semaian (yang kecik tu) dan dulang/piring cetek.

Ada benih cepat, ada benih lambat.

Nak semai terus dalam pasu besar atau tanah kebun pun boleh, itu betul. Cuma teknik semai macam ni mengurangkan risiko anak benih dimakan siput atau biji benih dilarikan serangga/burung/hantu.

Letakkan tanah semaian atau kompos dalam pasu semaian. Untuk semai kacang bendi ni, pakai lah tanah campuran jenama apa pun. Saya suka pakai tanah semaian jenis Baba Seedling Mix.

(Contoh tanah semaian) Pakai sarang telur pun boleh.

Peat moss dan coco coir pun boleh, tetapi anda kena campur baja kompos. Bahan-bahan tu tiada nutrien, boleh terbantut anak bendi. Sebab itu saya suka beli sahaja tanah semaian sebab sudah ada baja.

Cucukkan benih masuk dalam tanah. Kita nak benih tu merempat kegelapan bawah paras tanah. Ini menaikkan lagi purata percambahan benih kacang bendi ni.

Selepas itu, isikan dulang atau piring cetek dengan air. Ini adalah teknik siram-dari-bawah yang memastikan tanah semaian sentiasa lembap. Tidak perlu kita siram secara manual tiap-tiap hari.

Tanah semaian perlu lembap sebagai salah satu signal kepada benih kacang bendi untuk mula bercambah. Biarkan sahaja dalam 3-5 hari, nanti nampak la dia “bangun” keluar.

Semasa semai, kita boleh letakkan di mana-mana sahaja. Tidak perlu matahari. Selepas anak benih sudah keluar, sila alih ke tingkap timur atau barat, atau kawasan luar yang menerima matahari pagi sahaja.

Tinggi lampai sebab nak kejar matahari (tingkap timur).

Jangan letak anak benih di tempat matahari terik kerana anak benih boleh “terkejut”. Bayangkan anak baru nak masuk tadika terus kena belajar algebra.

Kalau dulang/piring dah kering, isi balik ya air. Kita nak air sentiasa ada dalam tu. Tidak perlu risau pasal benih lemas, tanah semaian hanya serap yang perlu sahaja.

Selepas lebih kurang dua minggu apabila benih dah tinggi macam panjang jari telunjuk kita, boleh lah alih ke “real world“.

Biasakan dulu dengan matahari terik. Kita tengok mana yang tahan.

Pada tahap ni, kita boleh letak pasu semaian di kawasan yang dapat cahaya matahari penuh. Contohnya, saya letak di kawasan yang menerima matahari dari pukul 10 hingga 4.30 petang.

Oh ya, boleh sahaja terus pindah-tanam kalau nak. Pastikan tanam waktu pagi atau senja. Saya suka biarkan dulu seminggu.

Kalau boleh, letak pasu semaian dalam dulang/piring dan isi air seperti sebelumnya. Kalau tak boleh (contohnya tanah tak rata), boleh sahaja tetapi pastikan siram setiap hari.

Akhirnya selepas dalam seminggu, daripada 3-6 anak pokok bendi tersebut, boleh pilih 2 sahaja yang nampak “kuat”. Sebenarnya…saya tak tahu pun apa dimaksudkan dengan “kuat”, pilih sahaja lah anak pokok bendi yang mencuri hati.

Saya pilih kiri dan kanan.

Menggunakan cara ini, jumlah masa semai sehingga pindah-tanam adalah 2 hingga 3 minggu. Lambat sedikit, tetapi selamat.


Tanam (Pindah-Tanam)

Alamak, bahagian semai benih pun saya dah melalut panjang. Mari kita ke bahagian seterusnya iaitu pindah-tanam (transplant).

Nak pindah-tanam ke tanah kebun boleh, tanam dalam pasu pun boleh, dalam polybag pun boleh. Saya suka tanam dalam pasu. Pokok bendi, ni daripada pengalaman saya, tidak perlukan pasu yang besar berbanding (contoh) timun dan tomato.

Pasu selebar 8 inci pun sudah cukup. Lagi besar lagi bagus, tiada masalah. Walaupun saya tanam dalam pasu 8 inci, pokok-pokok bendi saya berbuah lebat sehingga tak termakan. Tinggi pun mencecah 6-7 kaki!

Kalau pakai pasu, pakai tanah campuran dalam guni tu. Kalau nak pakai tanah kebun sikit boleh, tapi campur dalam 30-50% sahaja dalam tanah campuran. Tanah kebun lambat laun boleh mampat dan melemaskan akar pokok kacang bendi.

Contohnya tanah 8-in-1 ni. Dalam belas ringgit seguni.

Pindah-tanam senang sahaja. Ambil pasu semaian, tekan sedikit dasar dia atas tanah untuk ukur lubang, dan gali. Kemudian keluarkan anak pokok kacang bendi dari pasu semaian bersama tanah semaian. Tak perlu leraikan, jangan kacau akar dia.

Lupa tangkap gambar akar anak bendi…tengok je lah contoh akar anak sawi.

Pindah-tanam waktu pagi atau senja kalau boleh.

Selepas dah tanam tu, tepuk-tepuk sikit tanah sekeliling bagi mampat. Letakkan satu batang di belakang pokok sebagai penyokong, tak kisah la potongan buluh ke, chopstick ke, batang besi buruk ke, ranting lurus ke. Jangan lupa untuk ikat.

Tanam dalam sedikit pun tak apa.

Bendi tidak perlu penyokong yang tinggi dan besar. Agak-agak sokong sampai setinggi dua jari telunjuk sahaja. Selepas ketinggian tu, batang pokok bendi boleh kata dah cukup tebal dan kukuh.

Taburkan baja kompos sekeliling anak pokok bendi yang dah ditanam tadi. Ini berfungsi sebagai baja yang tidak terlalu kuat. Anak lagi kan. Pada saya, elakkan dahulu baja NPK. Tunggu besar lagi.

Contoh kompos sekeliling anak timun.

Kalau boleh, letakkan sabut kelapa atau serpihan kayu kisar sebagai sungkupan (mulch) atas baja kompos. Mulch membantu stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan air siraman tersejat.

Contoh sabut kelapa (coco coir) sekeliling pokok terung.

Ingat, pokok perlukan air untuk fotosintesis. Kalau tanah kering semasa siang, “kebulur” lah dia.

Cakap pasal air, jangan lupa siram! Siram sekeliling untuk pastikan nutrien dari baja kompos tadi turun meresap masuk dalam tanah.

Untuk siraman kali pertama ni, banjir sedikit pun tak apa. Kita nak akar anak pokok bendi tu nampak yang rumah baru dia ni cukup syarat untuk menaikkan kelajuan tumbesaran.

Ini anak pokok bunga matahari, tapi siram macam ni lah lebih kurang.

Oh ya, sila sembur neem spray ya. Sembur sekali dua sahaja. Kita sembur awal-awal untuk halau serangga/ulat/hantu yang suka makan daun anak pokok yang masih kecil.

Lepas pindah-tanam, terus sembur. Contoh dengan anak sawi.

Matahari

Perihal cahaya matahari untuk pokok kacang bendi senang sahaja. Matahari penuh. No excuses. Jangan pakai shade cloth.

Nak tunjuk beza teduh (kiri) dengan matahari terik (kanan).

Sebab itu untuk beginner, saya sarankan tanam pokok kacang bendi dalam pasu 8 inci. Boleh alih-alih pasu ke kawasan yang dapat cahaya matahari yang optimum.

Matahari penuh bukanlah bermaksud seharian dari pagi sampai senja kena matahari. 6 jam cahaya matahari sudah cukup untuk penuhkan keperluan.

Pokok-pokok bendi saya sebenarnya terlindung daripada cahaya matahari dari subuh hingga 10 pagi. Diteduhkan oleh atap.

Dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi dapat lah matahari pagi (cahaya lembut). Selepas itu cahaya terik sampai 4.30 petang, kemudian teduh semula (tembok batu punya pasal).

Oleh itu, saya rasa kalau rumah anda ada kawasan menghadap barat yang dapat matahari dari tengahari sampai 5-6 petang pun boleh.

Saya agak sahaja, tetapi 4 jam pun mungkin boleh kalau cukup terik, tetapi mungkin kurang lebat hasil bendi. Bendi berbuah banyak-banyak sangat pun tak termakan jugak kan.


Siram

Pokok kacang bendi ni…tidak lah perlu jaga sangat siraman. Tengok buah bendi pun logik kan, kandungan air kurang berbanding timun (contoh). 2-3 hari sekali pun saya tengok daun masih ok lagi.

Namun begitu, pada saya, siram sahaja sekali sehari, lebih-lebih lagi yang ditanam dalam pasu. Kalau siram pakai paip getah, kira dalam 10-20 saat pun dah cukup. Bergantung pada kekuatan air lah kan.

Kalau air “lembut” mungkin perlu 30-60 saat.

Saya suka pakai teknik micro-drip irrigation. Teknik ni lebih kurang sahaja dengan fertigasi, cuma tak perlu pam dan baja cecair. Air yang pokok dapat hanyalah air paip biasa.

Tempat keluar air (saya panggil mata air) diletakkan di pangkal pokok bendi. Adjust mata air tu sehingga yang keluar cuma titisan air sahaja macam paip sinki tak tutup ketat. Nama pun drip kan.

Letak berdekatan dengan akar.

Saya bukak kepala paip yang bersambung dengan micro-drip irrigation tu dan biarkan sahaja dalam setengah jam. Nak lagi senang, pakai garden timer. Automatik terus.

Jumlah masa drip bergantung pada jenis-jenis tanaman yang anda ada. Kalau tanam bendi sahaja, saya rasa 3 minit pun dah cukup.

Tak nampak apa-apa, tapi sebenarnya tengah siram.

Contohnya saya siram bermacam jenis tanaman sekaligus menggunakan micro-drip irrigation. Dalam sedozen lebih pasu untuk kawasan yang saya letak pokok bendi.

Jadi jumlah air saya siram mengikut tanaman yang perlu paling banyak air di kawasan tersebut, iaitu pokok bunga air mata pengantin dalam pasu besar.

Setakat ini memang terlebih air saya bagi pokok bendi dalam pasu. Tiada masalah pun sebab pasu ada lubang – air lebihan mengalir keluar. Ini satu lagi kelebihan pokok kacang bendi dalam pasu.


Baja

Untuk senangkan cerita, kita boleh bahagikan jenis baja kepada dua: organik dan kimia buatan.

Kalau beginner, bulan pertama selepas pindah-tanam, gunakan baja organik ringan seperti kompos sawit atau daun kering sahaja.

Ini untuk kurangkan risiko anak pokok kacang bendi mati akibat terlebih baja. Just to be safe sahaja untuk first timer.

Contohnya kompos sawit keluaran Unigrow. Letakkan tebal-tebal sekeliling pokok. Topup seminggu atau dua minggu sekali.

Daun kering kita boleh mintak dari pekerja majlis perbandaran kalau kebetulan kita lalu masa dia tengah sapu. Tegur sapa elok-elok.

Masuk bulan kedua selepas pindah-tanam, boleh pakai baja yang kuat sedikit. Waktu ni batang pokok bendi pun dah tebal sedikit dan mungkin dah mula berbunga.

Setakat ini, baja organik “kuat” yang paling mujarab sekali untuk pokok bendi (yang saya pernah pakai lah) adalah tahi kambing. Tahi kambing fresh, atau yang dah reput jadi kompos.

Contoh rupa kompos tahi kambing.

Elakkan tahi ayam dan lembu fresh. Yang dah diproses atau dah jadi kompos tak apa. Kalau anda bela ikan boleh siram air ikan semasa tukar air. Larutan tahi ikan berkhasiat tau. Kiranya aquaponic la tu.

Untuk baja kimia, saya berani cadangkan baja NPK tabur sahaja untuk beginner. Baja serbuk, baja AB, itu semua cuba selepas dah berjaya besarkan pokok bendi gunakan baja NPK tabur.

Contoh baja NPK seimbang. Bawah tu sawi.

Baja kimia buatan ini kita kena pandai budget. Kalau terlebih, pokok boleh melecur dan kadang-kadang mati. Start small dulu.

Oleh itu, kalau nak baja kimia, saya sarankan cari baja NPK seimbang dahulu iaitu 10:10:10 atau 15:15:15.

Awal-awal letak dalam setengah cubit sahaja dulu. Jarakkan sedikit dari akar.

Separuh dari ni dah cukup. Pokok bendi ni dah setahun, jadi boleh baja lebih.

Apabila dah mula berbunga, boleh lah letak secubit mesra. Jadual pun lebih kurang sahaja, seminggu atau dua minggu sekali. Kalau boleh gunakan kombinasi kompos/daun + NPK.

Kita setakat tanam pokok kacang bendi di rumah ni…tidak perlu teliti sangat perihal baja. Ladang lain lah kan.

Buat santai-santai sahaja sebab macam saya pernah cakap, bendi berbuah dengan lebat sekali sampai tak termakan oleh kita.


Perosak/Penyakit

Bendi moden yang ada sekarang ni boleh kata susah nak sakit. Bukan nak kata bebas penyakit/perosak, cuma kita tak perlu kawal lebih-lebih macam pokok tomato.

Ini mungkin angkara belalang. Saya lupa sembur neem spray.

Pada saya, jangan guna kimia buatan. Gunakan kaedah organik sahaja. Kita tanam kat rumah je, bukan ladang.

Salah satunya adalah tanaman lain berdekatan bendi. Nak senangkan cerita, ada dua iaitu tanaman berbau kuat dan pokok bunga.

Contoh pokok bunga zinnia.

Contoh tanaman berbau adalah selasih dan pudina. Sila tanam pudina dalam pasu ya, nanti merebak dengan tak terkawal pulak.

Contoh pokok bunga senang adalah bunga butang, bunga matahari, zinnia dan vinca. Fungsi pokok bunga adalah untuk menarik serangga untuk makan perosak dan juga tolong pendebungaan.

Seperti tanaman-tanaman lain, saya sembur neem spray setiap minggu. Atas daun, bawah daun. Ini boleh mencegah perosak kecil seperti aphid dan juga belalang/ulat makan daun.

Untuk beginner, beli sahaja yang dah siap dibancuh.

Untuk mengurangkan risiko fungus, elakkan daripada letak pasu di kawasan yang kurang peredaran udara macam sudut tembok batu atau berdekatan teduhan pokok besar. Letak tempat berangin.

Seperti terung, daun pokok bendi saya banyak menampakkan tanda-tanda penyakit semasa musim hujan. Namun begitu, jumlah hasil tidak terganggu sangat pun.

Apabila batang pokok dah tebal, masalah lintah dan siput nampaknya minimal walaupun pada musim hujan. Mungkin dah tak sedap kot pada dia. Cuma perlu jaga-jaga masa peringkat anak pokok lah sebab masih lembut lagi. Sebab tu saya suka semai dalam rumah dulu – siput (dan tupai) suka makan anak pokok bendi.


Potong/Pangkas

Anda pun tahu rupa pokok bendi kan. Tinggi. Ketinggian pokok bendi convenient jugak, kita senang nak petik hasil.

Namun begitu, kalau tinggi sangat, tumbang pulak kan. Penyokong pun kalau tinggi-tinggi pun tak stabil jugak.

Tujuan potong/pangkas adalah untuk keluarkan cabang supaya pokok bendi lebih stabil. Secara teorinya hasil bendi pun jadi lebih…tapi bab itu saya tak kisah sangat. Tak termakan.

Lepas pangkas, keluar cabang macam ni lah. Stabil sikit pokok bendi.

Bab potong pangkas ni, pada saya ikut masing-masing nak buat bila. Saya selalu buat apabila tinggi pokok bendi dah sampai paras bahu.

Pangkas batang utama pokok bendi dalam 1/3 daripada jumlah ketinggian asal. Pastikan ada daun di bawah paras pangkasan. Ada dalam 3-4 daun yang tinggal pun dah cukup.

Apa akan jadi? Selepas seminggu dua, kita boleh nampak pokok bendi keluarkan cabang baru di bawah paras pangkasan. Pokok kacang bendi pun boleh kata lebih stabil berbanding sebelumnya.


Tuai Hasil

Kacang bendi ni selalunya dalam umur 2 bulan sudah berbunga. Saya pun tak ingat, tapi mungkin dalam seminggu selepas bunga kembang, kita boleh petik kacang bendi pakai gunting/sekateur.

Bendi tu warna hijau muda, cuma masalah lighting sikit.

Nak tengok bila boleh petik bendi, pada saya, tengok warna. Kalau nampak kacang bendi berwarna hijau muda dan lebih kurang besar tapak tangan, boleh la petik. Nampak pendek sedikit, tapi lembut.

Ini nak jadi “tua” dah, tapi masih sesuai lagi untuk asam pedas.

Apabila dah hijau pekat sedikit, bendi mula jadi keras. Kena celur/rebus/masak lama sikit. Saya kurang suka yang dah hijau pekat, tekstur yang mematikan mood nak makan.

Nampak tak beza warna? Belah kiri lembut dan sedap, belah kanan keras.


Kesimpulan

Pokok bendi senang ditanam. Pasu 8 inci atau lebih. Tanam 2 pokok bendi sahaja pun dah terlebih cukup untuk satu rumah.

…saya tak ada idea dah nak tulis apa kat sini.

Terima kasih sudi membaca!

[Dalam Pasu] πŸ₯’ Cara Saya Tanam Pokok Timun Jepun

Pengenalan

Timun adalah antara sayur yang paling senang nak dimakan, macam bayam brazil. Tak perlu masak, basuh saja. Potong nipis-nipis, memanjang, menebal, potong empat, potong lapan, potong kiub.

Takyah potong pun tak apa, gigit je terus!

Saya paling suka timun dalam sushi dan juga bersama satay. Satu lagi hidangan timun mudah yang saya suka buat adalah sandwich timun: roti (kalau boleh, bakar), mentega dan hirisan nipis timun.

Hasil timun banyak sangat…buat sandwich pun jadi lah.

Selain itu, kadangkala saya bagi hirisan timun sebagai treat kepada ikan peliharaan herbivor seperti ikan bandaraya. Kepit dengan pemberat (contohnya sepit besi lebih) dan tenggelamkan dalam kolam/akuarium. Keesokan paginya, tinggal kulit sahaja.

Cara tanam pokok timun lebih kurang sahaja tak kira jenis. Tetapi untuk artikel ini, saya ingin fokus pada timun Jepun sahaja. Nak tanam timun lain pun boleh ikut artikel ni, tiada masalah.

Ini timun Belanda (Dutch cucumber). Cara sama, cuma kecil berbanding timun Jepun. Saya rasa jenis ni lebih sesuai untuk dibuat jeruk macam dalam Big Mac tu.

Pada saya, dalam banyak-banyak jenis pokok timun yang boleh ditanam di rumah…timun Jepun lah saya rasa paling berbaloi. Pendapat saya sahaja.

Tengok di pasaraya. Bandingkan timun Jepun (hijau tua solid) dengan timun biasa (belang hijau muda hijau tua). Tengok harga 1kg timun Jepun dengan harga 1kg timun biasa.

Timun biasa (7 inci) vs timun Jepun (12 inci).

Antara kelebihan tanam pokok timun Jepun yang saya tengok, kalau bandingkan dengan timun lain:

  1. Buahnya panjang-panjang. Hasil berukuran 8 inci hingga 12 inci itu perkara biasa. Timun biasa macam yang dapat dengan satay selalunya dalam 5-8 inci sahaja.
  2. Isi lebih sedap, kurang “masam” dan kurang lendir . Saya tak tahu lah nak cakap macamana, kena rasa sendiri.
  3. Daripada pengalaman saya, buah lebih lebat. Yang ini mungkin ikut kebun masing-masing lah. Lain kebun lain hasil kan.
Ini laptop 13 inci. Maaf tak centered.

Jadi…nak tanam pokok timun ini, pada saya, kena tahu 3 perkara:

Pertama, pokok timun adalah tumbuhan menjalar yang pandai memanjat sendiri. Kita kena sediakan sokongan (trellis). Ada macam-macam jenis, ikut atas kreativiti masing-masing. Saya suka pakai jaring nylon ikat pada besi slotted angle. Ringkas sahaja.

Saya buat tegak je, sebab tak cukup ruang untuk “terowong timun”.

Kedua, pokok timun dalam sebulan setengah sudah mula berbuah dan boleh kutip hasil…dalam jumlah yang banyak dan bertubi-tubi.

Ini mungkin mendatangkan masalah “tak termakan wehh”. Oleh itu, kalau tanam di rumah, maksimum dua sahaja pokok timun…kecuali kalau teknik polybag gantung, itu berbuah sikit-sikit.

Kat rumah tak berbaloi buat teknik gantung. Saya nak tunjuk saja.

Ketiga, pokok timun merupakan tumbuhan yang sangat sekejap sahaja jangka hayat dia. Daripada pengalaman saya, umur 3-4 bulan dah mula mati. Boleh cabut pokok timun dan campak ke dalam longgokan kompos untuk dijadikan baja.

Ok lah saya dah tak ada idea nak tulis panjang-panjang pengenalan. Mari kita teruskan.


Gambar Semangat

Seperti biasa lah kan. Mari saya tunjukkan gambar hasil dahulu sebagai bahan api pembakar semangat.

Lagi perbandingan saiz timun biasa vs timun Jepun.
Hasil daripada 2 pokok dalam 2 pasu berumur 2 bulan, jangkamasa 2 hari.
Kalau tanam dalam tanah/garden bed, lebat macam ni lah berbuah. Seronok tapi tak termakan. Hasil pokok timun dalam pasu dah cukup sebenarnya.
Itu iPhone 5 kot (tinggi dalam 5 inci). Lupa dah, lama sangat gambar ni.
Campuran hasil timun Belanda dan Jepun (2 pokok, 2 hari).


Semai Benih

Biasalah tanaman popular kan, timun ada macam-macam jenis. Jenis pendek termasuk timun Cina dan timun Belanda (menggerutu sikit).

Selain timun Jepun, ada juga timun panjang jenis lain contohnya Persian cucumber dan English cucumber.

Untuk timun Jepun, saya suka benih keluaran Baba Smart Grow. Dalam sepaket dapat berpuluh-puluh. Boleh simpan buat semai untuk setahun. Tak perlu guna semua terus.

Pada saya, untuk permulaan, tanam satu atau dua pokok timun Jepun dahulu. Benih timun Jepun jenama Baba ni, daripada pengalaman saya, memang hampir 100% akan bercambah.

Semai lebih sedikit, dalam 3-4 biji benih. Maksudnya ada anak benih kita perlu buang nanti. Semasa ambil anak benih dari paket, pastikan tangan kering ya. Rosak pulak benih yang tak guna lagi tu.

Untuk permulaan, saya tidak galakkan tabur terus benih ke atas tanah (tak kira lah atas tanah kebun atau tanah dalam pasu). Saya sarankan semai asing dahulu.

Membazir satu hal, satu lagi adalah kemungkinan benih dibawa lari oleh serangga. Kadang-kadang boleh terpelanting akibat hujan lebat tiba-tiba. Anak benih kecil ada risiko dimakan oleh siput.

Semai terus di tanah kalau benih nak expire. Letak banyak untuk kurangkan risiko. Lepas tu pilih satu sahaja pokok pemenang, yang lain gunting.

Jadi untuk artikel timun Jepun ni…saya ingin tunjuk teknik semai pakai kapas muka. Ini bukanlah satu-satunya cara semai, cuma saya nak tunjukkan sahaja contoh teknik semai yang lain sikit.

Untuk cara semai yang lain, sila rujuk artikel bendi dan terung.

Ini pakai sarang telur. Letak atas dulang cetek berisi air (siram-dari-bawah).

Mula-mula, isikan dulang cetek atau piring cetek dengan air. Ini saya pakai dulang yang dapat dengan pasu panjang plastik dari kedai Mr DIY. Yang buat tadah air siraman lebih tu.

Pakai air paip sahaja, tak perlu canggih. Ini hanyalah variasi untuk teknik “siram-dari-bawah” macam saya guna untuk semai benih terung dan bendi. Letak banyak supaya tidak cepat kering.

Susunkan kapas muka dalam dulang. Kapas muka petak kecik tu. Saya gunakan jenama Premier, tetapi itu tak penting pun. Yang penting air terserap, tidak cepat koyak, dan akar boleh tembus.

Apabila dah kapas muka dah nampak basah, susun biji benih timun Jepun atas kapas. Satu kapas muka, satu biji benih. Senang nak pindah-tanam nanti.

Selepas sehari dua. Tak perlu letak banyak macam ni. 3-4 dah cukup.
Nak keluar “daun” kotiledon dah tu. Yang merah tu benih Baba.

Buat masa sekarang, tidak perlu letakkan dulang/piring di tempat yang menerima cahaya matahari. Namun begitu, lebih bagus kalau boleh letak di tepi tingkap (menghadap barat kalau boleh).

Selalunya dalam sehari dua kita sudah boleh nampak akar keluar dari dalam benih. Hari ketiga atau keempat kita boleh nampak dua “daun” pertama (kotiledon).

Contoh dua “daun” pertama (kotiledon). Ini pakai sarang telur.

Keluar lambat sedikit tak apa…mungkin 5 hari. Tetapi kalau dah seminggu tak nampak apa-apa lagi, kemungkinan besar benih sudah tak elok. Beli sahaja benih lain.

Kapas muka tiada nutrien. Oleh itu, selepas dalam seminggu, kita perlu pindahkan ke tanah. Awal sedikit berbanding teknik semai dalam pasu plastik kecil atau sarang telur.

Sama sahaja teknik dulang siram-dari-bawah. Cuma pakai sarang telur. Potong sikit lubang di bawah supaya air mudah terserap.

Oleh itu, kalau rasa cara kapas muka ni tidak sesuai dengan anda, boleh sahaja gunakan cara lain. Saya cuma nak tunjuk contoh sahaja.

Sebenarnya kebelakangan ini, saya sendiri gunakan teknik pasu semaian kecil seperti dalam artikel bendi utuk semai benih timun Jepun ni.

Contoh pasu semaian kecil. Pakai coco peat (sabut kelapa_ + kompos.

Pasu kecil boleh biar lama sikit sebelum pindah-tanam. Tapi pastikan dapat cahaya matahari selepas seminggu (tingkap barat atau luar rumah). Kalau boleh, teruskan siram-dari-bawah pakai dulang.


Tanam (Pindah-Tanam)

Anak benih timun ni, saya selalu pindah-tanam awal (dalam seminggu). Tidak tunggu daun sebenar pun. Keluar kotiledon pun sudah cukup.

Boleh pindah-tanam dalam pasu besar atau tanah dah ni.

Kalau nak lambat sedikit, tunggu sehingga keluar satu daun sebenar. Lepas tu terus pindah-tanam.

Nampak tak beza kotiledon dan daun sebenar?

Kenapa saya buat begitu? Pokok timun (tak kira la timun Jepun ke Belanda ke British ke Persian ke) merupakan pokok tinggi berjangka hayat pendek. Kita perlu “latih” akar awal-awal untuk kejar masa.

Ambik contoh sawi, walaupun jangka hayat lagi pendek, pokoknya kecil sahaja. Tidak perlu “latih” akar sangat. Biarkan dalam dulang semaian (seed tray) dua tiga minggu pun tak apa.

Pokok timun kan tinggi, jadi akar pun kena panjang dan besar. Oleh itu, awal-awal kita tunjukkan ruang untuk akar pokok timun membesar untuk cari bekalan nutrien.

Boleh terus tanam dalam garden bed atau tanah, tiada masalah. Kalau tanam banyak, pastikan jarak lebih kurang 1 kaki.

Ini saya letak dekat sangat (6 inci kot). Jarakkan lagi.

Kalau nak tanam dalam pasu, pastikan lebar sekurang-kurangnya 10 hingga 12 inci. Dalam pun lebih kurang…tetapi lagi dalam lagi bagus (macam pasu besar tinggi warna hitam tu).

Pasu ni 12 inci (1 kaki).

Untuk tanah dalam pasu, pakai lah tanah campuran mana-mana pun. Contohnya 8-in-1. Tak perlu pakai yang canggih-canggih.

Yang penting, jangan pakai tanah sekeliling rumah. Campur dalam 30-50% tak apa. Tanah rumah boleh mampat dalam pasu dan lemaskan akar. Kalau tanam terus atas tanah rumah tak apa.

Antara tanah feveret saya. Pakai tanah lain pun boleh.

Kalau pakai teknik semai atas kapas muka, boleh tanam terus dengan kapas sekali. Kapas tu jangan buat stail lampin (lambat akar nak keluar). Tanam flat sahaja kapas tu dalam tanah, atau cabut.

Nampak tak kapas? Ini saya tanam dalam garden bed.

Batang anak benih timun bagi dalam sedikit ya. Seperti pokok tomato, akar akan keluar dari bahagian batang yang tertanam. Lagi dalam, lagi banyak akar boleh keluar, lagi bagus.

Tanam sehingga kotiledon dan daun hampir-hampir mencecah tanah. Belakang pokok, cucuk satu penyokong pendek (contohnya potongan buluh). Buat “hoop” sekeliling anak pokok timun pakai garden twist tie dan ikat pada batang penyokong.

Jangan lupa letak penyokong di belakang anak pokok timun.

Kemudian, taburkan baja kompos tebal-tebal di sekeliling anak pokok timun. Baja organik lemah seperti kompos memberikan nutrien peringkat awal yang tidak buat anak pokok “terkejut”.

Ini kompos sawit. Kompos tahi kambing pun boleh. Daun kering pun boleh.

Untuk beginner, elakkan dahulu baja kimia seperti NPK semasa pindah-tanam. Kalau terlebih nutrien, anak pokok timun boleh jadi melecur dan kemungkinan boleh mati terus.

Kalau boleh, selepas letakkan baja kompos, letakkan pula sungkupan (mulch) seperti sabut kelapa atau serpihan kisaran kayu. Mulch tolong jaga suhu tanah dan melambatkan tanah jadi kering. Selain tu, mulch akan mereput dan jadi baja tambahan. Convenient.

Contoh sabut kelapa (coco peat/coir) sebagai mulch.

Dah setel semua tu, boleh lah siram. Untuk siraman kali pertama, buat lama sikit. Biar sampai air naik pun tak apa.

Contoh siram selepas pindah-tanam. Itu anak pokok bunga matahari.

Kita nak pastikan nutrien dari baja kompos masuk dalam tanah, dan juga bagi lampu hijau kepada akar anak pokok timun untuk membesar dengan lebih cepat.

Akhir sekali, semburkan neem spray. Ini ikhtiar untuk halau serangga-serangga perosak yang suka makan anak pokok timun.

Contoh neem spray selepas pindah-tanam anak sawi.

Sembur bagi kena atas bawah daun. Kalau pindah-tanam semasa matahari tengah terik (waktu tengahari), tunggu sehingga senja/malam baru sembur.

Sembur masa matahari terik nanti tergoreng pulak anak pokok timun akibat kandungan neem oil. Waktu pagi/senja/malam tak apa.

Struktur Penyokong (Trellis)

Seperti saya cakap dalam bahagian Pengenalan, pokok timun merupakan pokok menjalar yang pandai memanjat sendiri. Dia ada keluarkan “tangan” untuk pegang dan panjat.

Tendril ni akan lilit pada apa-apa struktur.

Struktur penyokong tidak perlu buat awal-awal. Semai dahulu benih. Beberapa minggu selepas pindah-tanam baru bina struktur penyokong. Sementara tu, batang penyokong pendek yang kita cucuk belakang anak pokok timun tu dah cukup.

Dia lilit sini dulu. Dalam 3 minggu baru capai tinggi yang perlukan struktur.

Pada saya, struktur penyokong (ada orang panggil para, junjung, apa semua saya pun tak tahu dah) atau trellis ni kita buat seringkas yang boleh.

Kalau ada pagar rumah stail jaring, letak saja pasu pokok timun sebelah pagar rumah dan biar dia penuhkan jaring pagar tu.

Ini condong pastu mendatar. Pakai bahan lebihan sahaja (paip + buluh). Tinggi dalam 6 kaki.

Pokok timun boleh memanjat struktur yang condong β†—, tegak ↑ dan mendatar β†’ (sebagai “atap”).

Pokok timun Jepun saya boleh sahaja panjat walaupun tegak macam tu, tidak perlu condong.

Buat seringkas yang boleh. Ini tegak terus (tinggi 9 kaki).

Untuk mudahkan pokok panjat, pakai jaring nylon. Ikat pakai cable tie pada rangka besi atau kayu (paip PVC mungkin tidak cukup kukuh). Bila pokok mati nanti pun senang nak tarik.

Cara paling senang, beli sahaja rangka besi jenis terowong dari Lazada atau Shopee. Cuma perlu pasang jaring nylon sahaja. Senang cerita. Nanti timun pun berbuah atas kepala kita, seronok petik.

Boleh juga buat bentuk A seperti khemah. Contohnya beli batang buluh panjang dan ikat jaring. Atau pun bentuk terowong petak macam kontena. Asalkan ada jaring.

Kalau tiada ruang macam saya, boleh buat menegak. Gunakan besi slotted angle sebagai rangka, dan ikatkan jaring nylon menggunakan cable tie. Besi itu saya tukul dalam 1 kaki dalam tanah, dan tebuk “pemegang” di tembok batu.

Besi slotted angle boleh beli kat kedai hardware. Pakai cable tie untuk ikat jaring nylon.

Besi slotted angle ini boleh melending kalau tinggi-tinggi. Kita kena sandarkan (atau ikat atau tebuk) pada tempat lebih kukuh seperti tembok batu, tiang kayu ke. Ikut rumah masing-masing la kan.

Kalau nak tinggi, kena ada “pemegang” supaya kukuh. Sandarkan saja ke dinding pun ok dah (kira jadi condong sikit lah).

Pada saya, bahagian membina struktur ini lah yang seronok. Kita ikut kreativiti masing-masing dan gunakan bahan apa yang ada. Gantung sahaja jaring nylon di dinding pun boleh.

Saya pernah nampak ada rumah yang gantung jaring macam atap dan biarkan daun pokok timun dan petola jadi teduhan. Timun-timun bergantungan atas kepala. Cantik sangat.


Matahari

Kalau baca artikel-artikel dari negara empat musim, boleh kata kebanyakan akan kata “pokok timun perlukan matahari penuh” – itu betul untuk negara dia yang mempunyai UV index yang rendah.

Lebih kurang macam pokok tomato. Kawasan dia, ya, kena matahari penuh. Cuaca negara kita, kalau tanam pokok tomato di kawasan matahari penuh, gugur la bunga dia sebab panas sangat.

Struktur tinggi lebih banyak matahari tapi susah sikit nak petik.

Untuk kita di Asia Tenggara ni…tak perlu matahari penuh pun. Kalau boleh, matahari penuh. Bukan tak boleh matahari penuh macam pokok tomato.

Cuma kalau tak ada kawasan matahari penuh (5-6 jam atau lebih), tidak apa.

Matahari tengahari.

Pastikan daun-daun bahagian atas yang paling banyak kena cahaya matahari. Daun-daun bawah boleh buang sahaja.

Daripada pengalaman saya, matahari belah pagi pun dah cukup. Saya pernah tanam di kawasan yang dapat cahaya matahari dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari sahaja. Dalam 3 jam cahaya matahari lembut, dan sejam cahaya matahari terik.

Nampak layu sedikit semasa panas tak apa.

Jumlah hasil ternyata kurang sedikit, tetapi masih cukup. Kalau bandingkan hasil pokok timun yang saya tanam di kawasan yang dapat matahari dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, memang yang 6 jam matahari tu lebih banyak.

Matahari pagi.

Jadi kalau rumah anda ada kawasan kosong yang dapat matahari dalam 4-6 jam, dah cukup. Nak tanam di balkoni pun boleh. Ya, hasil kurang sedikit…tetapi macam saya cakap, 2 pokok timun pun tak termakan. Kalau rasa hasil tak cukup, tanam banyak lagi next time.


Potong Daun Bawah

Pokok timun mempunyai daun-daun yang lebar dan besar. Lagi besar daripada tapak tangan kita. Ini bagus untuk memaksimakan cahaya matahari yang diterima untuk proses fotosintesis.

Yang tak bagusnya, daun-daun ni mungkin berebut nutrien (dan air). Ini boleh buat pokok timun banyak fokus pada maintenance daun sahaja. Maksudnya lambat tinggi/panjang dan lambat berbunga.

Kalau banyak sangat daun, boleh layu sebab tak cukup air dalam pasu.

Lebih-lebih lagi kalau tanam dalam pasu. Kalau tanam dalam tanah atau garden bed tak la nampak sangat.

Daun belah bawah macam ni, buang. No mercy. Bunga boleh biarkan.

Disebabkan pokok timun ni mempunyai jangka hayat yang pendek… kalau boleh, kita kena main belanjawan nutrien sedikit. Kalau malas pun tak apa, cuma hasil kurang puas hati lah.

Cara main belanjawan nutrien untuk pokok timun senang sahaja: selalu buang daun bahagian bawah. Biarkan dalam 5-10 daun sahaja di bahagian atas sekali sebagai wakil untuk fotosintesis.

Daun atas banyak ni pun dah cukup.

Daun-daun yang dibuang tadi boleh letakkan di pangkal pokok timun, biarkan reput jadi baja (macam kanibal pulak).

Biarkan reput. Baja percuma.

Dengan cara ni, pokok timun akan lebih cepat membesar. Makin tinggi/panjang, makin banyak tempat untuk bunga keluar, makin banyak hasil timun.

Bahagian bawah nak botak macam ni. Boleh buat lagi kemas. Saya pemalas.

Kalau tanam dalam pasu, boleh juga potong cabang. Saya tak buat pun. Kita panggil ni sistem single stem. Cabang-cabang pokok timun selalunya akan berbunga dan berbuah juga seperti batang utama.

Biarkan batang utama sahaja. Jujurnya saya sendiri jarang buat.

Untuk tanaman timun Jepun dalam pasu, nutrien kemungkinan tak cukup untuk tampung cabang tambahan dan hasil timun Jepun mungkin kurang panjang. Terpulang lah itu penting atau tak.

Nampak ada cabang baru yang keluar dari batang utama, potong dan letakkan di pangkal pokok…atau pun boleh tanam semula dalam pasu semaian (buang bunga/putik dahulu). Nanti jadi pokok timun baru. Tak perlu semai benih.

Sekali lagi saya cakap: belanjawan nutrien untuk pokok timun ini lebih kepada tanaman dalam pasu. Masalah ruang akar sahaja. Pada saya, kalau tanam atas tanah atau garden bed, tak lah perlu sangat.

Pendebungaan

Seperti pokok-pokok berbuah yang lain seperti betik, mangga, terung, timun, dan sebagainya…pokok timun perlu berbunga dulu.

Secara ringkasannya, pendebungaan bermaksud pollen (debunga) dalam bunga jantan dan betina pokok timun ni saling ziarah-menziarahi, baru buah timun akan keluar.

Pokok timun ada kedua-dua bunga jantan dan bunga betina. Maksudnya satu pokok sahaja pun boleh berbuah.

Saya pakai cara organik iaitu tarik serangga pollinator seperti lebah/kelulut. Ini cara paling senang.

Lebah kelulut ni antara serangga pollinator paling membantu untuk kebun.

Secara ringkasnya ada dua cara utama untuk debunga untuk saling ziarah-menziarahi ni: serangga (seperti lebah) dan angin/udara.

Lebah masuk bunga timun untuk cari madu, debunga melekat pada bulu lebah dan tumpang pergi ke bunga timun yang lain.

Kalau kawasan rumah kita kurang lebah (contohnya), pendebungaan kurang. Apabila pendebungaan kurang, buah timun pun kurang.

Cara untuk tarik lebah (dan serangga pollinator lain) adalah tanam banyak pokok bunga. Contoh bunga yang senang adalah bunga butang, bunga matahari, dan zinnia.

Bunga matahari jenis kecil, bukan jenis buat kuaci. Banyak nektar (bahan buat madu) ni, geng-geng lebah suka!

Saya juga tanam pokok bunga air mata pengantin yang “berkongsi” jaring dengan timun. Lebah/kelulut datang kenduri bunga air mata pengantin dan singgah juga di bunga pokok saya yang lain seperti cili, tomato, bendi, terung.

Bunga sayur berbuah lain pun boleh tolong tarik lebah. Ini bunga terung.

Kalau kurang bunga dan kurang angin, boleh ketuk-ketuk sikit batang pokok timun pakai jari. Buat lah seminggu sekali, kira sampai 10 ke. Sekurang-kurangnya debunga berterbangan la jugak.


Siram

Timun banyak pakai air dan jadual siraman perlu sekata.

Batang pokok boleh “terbelah” kalau jadual siram tak menentu (timer saya rosak).

Kalau siram manual, pada saya siram sahaja dalam setengah minit. Lebih sikit pun tak apa. Yang penting, tanah cukup air semasa cahaya matahari ada supaya pokok boleh fotosintesis.

Saya lebih sarankan pakai micro-drip irrigation. Tak ada timer pun tak apa, asalkan siram pada masa yang lebih kurang sama setiap hari.

Kalau tekanan air kuat, biarkan dalam 10 minit pun dah cukup. Pokok saya banyak (tekanan air tak cukup), jadi saya biarkan sahaja micro-drip irrigation tu menitik dalam 30 minit setiap hari. Lebih air tak apa, pasu kan ada lubang di bawah.

Tak perlu kuat macam ni pun tak apa. Titis-titis pun dah cukup.


Baja

Untuk jadual pembajaan, 2 minggu sekali dah cukup kalau tanam di rumah. Kalau rasa rajin, boleh juga baja seminggu sekali…tetapi kurangkan sedikit jumlah kalau pakai baja kimia seperti NPK.

Secara kasarnya, buah timun tidak perlukan nitrogen (N dalam NPK) sangat sebab bukannya sayur daun. Tetapi untuk kebanyakan orang, saya sarankan pakai sahaja NPK seimbang. Tak perlu rumitkan.

Kalau tengok bahagian Pindah-Tanam tadi, masa mula-mula kita pakai baja organik. Ini supaya anak pokok timun tidak terkejut dan mungkin layu akibat terlampau banyak nutrien.

Antara contoh baja organik yang boleh digunakan:

  • Daun kering + sabut kelapa (coco peat/coir)
  • Kompos sawit
  • Tahi kambing (atau kompos tahi kambing)
  • Kompos tahi lembu (atau dah diproses jadi pellet)
  • Kompos tahi ayam (atau dah diproses jadi pellet)

Nak pakai baja organik sampai pokok mati pun boleh, tetapi seminggu sekali pastikan lapisan sentiasa tebal sekeliling pokok.

Ini contoh kompos tahi kambing.

Kalau rasa yakin, boleh sahaja taburkan NPK seimbang yang lemah sedikit. Contohnya nombor NPK 5:5:5. Tabur jarak sikit dari akar.

Selepas dah berbunga, boleh perkenalkan NPK seimbang yang kuat sedikit contohnya NPK 15:15:15. Letak dalam 3 cubit mesra jarak sedikit dari akar.

Kalau boleh, letakkan baja blood meal untuk bekalan nutrien Phosphorus lebih untuk bunga pokok timun. Kalau tak ada, tak apa.

Ingat, jarak sikit dari akar.

Teruskan letak lapisan baja organik seperti masa mula-mula pindah-tanam setiap 2 minggu sekali. Bezanya kali ini ada tambahan baja NPK pula. Itu sahaja.

Untuk kebanyakan orang, pada saya repeat sahaja macam di atas setiap dua minggu sampai lah pokok mati. Kita bukannya kena maksimumkan hasil macam tanam pokok timun di ladang.

(Langkah bawah adalah optional)

Apabila dah nampak pokok timun mula berbuah, boleh lah tukar kepada NPK penggalak buah yang banyak Potassium (K) seperti 12:12:17. Sama saja 3 cubit mesra, jauh sikit dari akar, setiap 2 minggu bersama lapisan baja organik.

Baja cecair pun boleh, contohnya NPK 7:17:35. AB pun boleh. Ini pada saya gunakan kalau dah biasa tanam pokok timun. Awal-awal pakai jenis tabur je dulu.

Ini saya gunakan NPK 15:3:20 sebab nak habiskan. Nombor Phosphorus kurang kan, jadi saya tambahkan baja bone meal (maaf tak nampak) untuk phosphorus.


Perosak/Penyakit

Pada saya…tak perlu fikir sangat lah penyakit dan perosak pokok timun ni. Selalunya masalah paling selalu saya dapat adalah kumbang dan belalang.

Kumbang makan daun. Ini melon beetle rasanya, saya tanam honeydew sebelah.

Cara pencegahan? Neem spray setiap minggu dan tanam pokok bunga (contohnya bunga matahari). Tak perlu buat lebih-lebih sebab jangka hayat pokok timun ni singkat saja.

Kalau tanam di kawasan kurang peredaran udara, pokok timun boleh dapat serangan fungus. Jadi jangan letak pasu pokok di tempat yang angin tak lalu. Contohnya sudut tembok batu atau dinding.

Fungus (pokok honeydew, keluarga timun).

Kadangkala siput pun boleh pergi pekena batang pokok timun. Daripada pemerhatian saya, siput hanya target pokok timun yang dah lemah/berpenyakit. Yang sihat rasanya dia buat taktau je.

Batang pokok kena makan siput.

Tetapi sebagai pencegahan, tabur sahaja lah racun siput.


Tuai Hasil

Selalunya selepas bunga yang nampak macam baby timun (bunga betina) tu dah “melekat”, kita boleh expect untuk boleh petik timun tu dalam seminggu lebih. Sekejap saja!

Bunga hujung tu nampak “layu” tetapi tak gugur. Maksudnya buah timun akan mula membesar. Betul atau kebetulan saja, saya tak tahu.

Dalam sehari dua lepas bunga “melekat”, kita dah boleh nampak bentuk timun.

Maaf blur pulak.

Timun berbuah tidak serentak jadi apabila dah start musim tuai (dalam sebulan setengah), kita kena selalu perhati mana yang perlu petik.

Selalunya kita nampak macam buah timun tu tengah “printing“. Dia bukan membesar dengan sekata. Dia akan menggemuk dari atas dahulu. Dalam seminggu siap lah. Jadi tak perlu panik ya.

Ini bukan timun cacat, cuma in progress.

Pada saya, masa paling sesuai untuk tuai adalah semasa buah timun tu dah nampak saiz yang gemuk sekata tetapi masih banyak “duri”. Agak-agak je. Terlambat sikit tak apa.

Ini tua sikit. Masih boleh petik lagi.

Cara petik saya tak ada pendapat. Gunting je lah kot.

Gambar blur lagi. Aduhai.
Campuran hasil timun Belanda dan Jepun (2 pokok, 2 hari).


Kesimpulan

Pokok timun Jepun pada saya paling bagus sekali untuk ditanam di rumah. Kalau nak tanam dalam pasu, pastikan berukuran paling kurang 1 kaki (12 inci) – lagi besar lagi bagus.

Untuk permulaan, tanam satu atau dua pokok timun sahaja. Hasil terlebih cukup, lebih-lebih lagi kalau pendebungaan bagus.