Resepi Nasi Ayam Simple Sikit

Table of Contents

Pengenalan

Pada saya, resepi nasi ayam biasa tidak lah rumit sangat, cuma makan masa. Dan untuk beginner, mungkin rasa overwhelming sikit kot. Jadi saya buat resepi cara simple sikit.

Ini bukanlah resepi nasi ayam yang authentic sangat. Resepi nasi ayam ni saya ubahsuai untuk masak sendiri sebab tak ada jual nasi ayam di tempat saya belajar dulu.

Bukan sebab tak ada masa, tapi sebab malas – jujur je lah. Lepas-lepas tu pun saya banyak buat cara macam ni saja. 

Target saya adalah asalkan dapat dalam lebih kurang 80% rasa nasi ayam kedai, dah puas hati.

Ada beberapa jalan pintas:

  • Pakai serbuk Chinese Five Spice
  • “Bakar” ayam pakai air fryer…atau sapu saja sos kicap perap atas ayam selepas reneh
  • Tidak tumis beras dalam kuali – terus rice cooker
  • Buat air renehan ayam “serbaguna” terlebih dahulu (optional)
Kalau nak malas simple lagi, reneh ayam lama sikit lepas tu sapu saja sos kicap perap. Tak perlu bakar. Ini kira stail Hainan lah jugak.

Saya tulis juga cara asal yang sepatutnya, kalau-kalau nak cuba.

Nak pendekkan cerita, kita bahagikan nasi ayam kepada beberapa komponen:

  1. Ayam – reneh kemudian bakar (atau goreng kejap)
  2. Nasi berperisa
  3. Sup
  4. Sos kicap
  5. Sos lada
  6. Sayur (…optional haha)

Untuk menyenangkan pembaca (awak la tu), saya bahagikan kepada 3 fasa:

  1. 10 minit pertama – Reneh ayam. Masak nasi.
  2. 10 minit tengah – Buat sos-sos. Perap ayam. Pre-heat air fryer.
  3. 10 minit terakhir – “Bakar” ayam. Tambah bahan dalam air renehan ayam untuk jadi sup. Potong sayur. Tunggu nasi masak.

Kita bahagikan kepada 2-3 langkah kecil untuk satu masa. Harap-harap boleh tolong yang beginner untuk tidak rasa huru-hara sangat.

Kuantiti bahan bawah untuk 2 orang makan.

10 Minit Pertama

Reneh Ayam

(Optional) Air renehan ayam ni boleh buat banyak dalam 3-4 hari sebelum, dan bekukan. Saya buat macam ni sebab serbaguna, boleh “kembangkan” jadi beberapa jenis sup dan kuah.

Nak buat on the spot boleh, tak ada masalah. 

Tak perlu gandakan bahan untuk seekor atau ¼ atau ½ ayam. Sama saja.

Bahan-Bahan:

  • 3 hiris halia (saiz 10 sen)
  • 1 bawang leek
  • 1 batang kucai (dalam 5 daun) – ikat simpul
  • ½ kiub stok ayam
  • Secubit garam
  • ¼ ayam hingga 1 ekor ayam – ambil sedikit lemak
  • 3 hingga 6 kaki ayam

Langkah-Langkah:

  1. Hiris halia – 3 keping dalam agak-agak saiz 5-10 sen. Tak perlu kupas. Kalau boleh, pakai halia muda atau halia Bentong.
  2. Potong dan buang akar dan daun hijau bawang leek. Tinggal batang sahaja.
  3. Buang bahagian kuku dan selaput kuning bawah kaki-kaki ayam.
  4. Asalkan muat, ayam tak perlu potong. Potong sedikit lemak, minimum saiz ibu jari.
  5. Simpulkan daun kucai. Buatlah macam mana pun, asalkan tersimpul.
  6. Letak semua bahan (ayam atas sekali) dalam periuk berdinding tinggi, contohnya sauce pan. Pastikan diameter periuk besar sikit sahaja berbanding ayam.
  7. Isi air kosong sampai dalam 80% ayam bawah paras air. Biarkan sedikit ayam terdedah.
  8. Buka api sederhana kecil (atau dalam 800 watt untuk induction) dan tutup periuk.
  9. Biarkan dalam 10-15 minit, bergantung pada saiz ayam. Tak perlu masak sepenuhnya sebab kita nak masuk dalam air fryer nanti.

Masak Nasi

Sambil tunggu ayam reneh, boleh masak nasi.

Sepatutnya, kena tumis semua bahan aroma dalam kuali. Bila bau naik, masukkan beras dan air renehan ayam dan gaul-gaul kejap.

Kalau malas atau nak cepat, ikut langkah bawah.

Bahan-Bahan:

  • 3 hiris halia (saiz 10 sen)
  • ½ kiub stok ayam
  • 1 daun pandan (ikat simpul)
  • 1 cebis lemak ayam (minimum saiz ibu jari kita)
  • 1 sudu besar butter/ghee/marjerin, atau minyak masak
  • 1 sudu besar Chinese Five Spice, atau 4 sekawan
  • 1 cawan beras (basuh dulu)
  • Air renehan ayam (optional, kalau ada buat kelmarin)

Langkah-Langkah:

  1. Letakkan beras dalam rice cooker. Gaul butter/ghee/marjerin/minyak.
  2. Masukkan air, ratio 1:1. Kalau ada air renehan ayam, letak ½ air renehan ½ air kosong.
  3. Masukkan semua bahan lain. Gaul-gaul sikit.
  4. On rice cooker dan biarkan sampai siap.

10 Minit Pertengahan

Ayam reneh dan nasi dah boleh biarkan setel sendiri. 

Sos Kicap Perap

Kita buat sos kicap untuk perap ayam dan juga untuk letak kat nasi. Banyak pakai nombor 2 untuk senang ingat. Ini boleh gandakan jumlah.

Bahan-Bahan:

  • 2 sudu besar sos tiram (biasa atau cendawan)
  • 2 sudu besar Chinese Five Spice
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar air renehan (cedok sikit dari periuk)

Langkah-Langkah:

  1. Hiris bawang putih. Lagi halus, lagi bagus.
  2. Dalam mangkuk kecil, letak semua bahan.
  3. Gaul-gaul.
  4. Asingkan dalam 2-3 sudu besar untuk sapu pada ayam.

Ayam “Bakar”

Bahan-Bahan:

  1. Ayam renehan tadi
  2. Sos kicap tadi
  3. Madu (optional)

Langkah-Langkah:

  1. Preheat air fryer, iaitu 200 Celsius untuk 10 minit.
  2. Keluarkan ayam dari air renehan. Boleh tutup api untuk periuk reneh tadi. Pastikan letak semula penutup.
  3. Kalau perlu, potong ayam takat muat bakul air fryer.
  4. Sapu sos kicap pada ayam. Kalau nak, boleh letak dalam 1 sudu besar madu.
  5. Perap sampai loceng air fryer berbunyi.
  6. (Ini dah termasuk dalam 10 minit terakhir) “Bakar” ayam dalam air fryer, suhu 200 Celcius untuk 10 minit. Kulit mengadap atas.

Sambil tunggu perap dan tunggu air fryer habis preheat, boleh buat sos lada.

Sos Lada

Sos lada untuk nasik ayam selalunya pedas-pedas manja sahaja, dan sedikit masam. Maksudnya yang paling simple sekali adalah lada + asid seperti cuka. 

Yang ini saya suka buat banyak sebab boleh simpan dalam peti untuk masak nasi goreng dan makan dengan lauk lain. Saya buat ini kurang manis, tambah lah gula ikut suka.

Bahan-Bahan:

  • 5 cili besar merah
  • 1 cili padi (optional, kalau nak lebih pedas sikit)
  • 1 biji limau kasturi (perah) atau 1 sudu kecil cuka putih
  • 1 sudu kecil gula merah atau putih
  • 2-3 ulas bawang putih
  • 2-3 sudu besar air renehan ayam (cedok sikit dari periuk)

Langkah-Langkah:

  1. Gunting/potong cili terus ke dalam blender kecil atau lesung batu. Bawang putih boleh hiris atau ketuk.
  2. Blend cili dan bawang putih (on-off-on-off), atau tumbuk pakai lesung.
  3. Dalam mangkuk kecil, campur gula dengan 2-3 sudu besar air renehan ayam yang tengah panas. Kacau untuk larutkan.
  4. Campur semua bahan dalam mangkuk sama dan perah limau.
  5. (optional) Panaskan campuran dalam kuali kecil sampai mendidih sikit.
Kalau tak suka rasa raw, boleh masak kejap dalam pan kecil.

10 Minit Terakhir

Sup

Ini main agak-agak saja. Kalau rasa sup terlalu cair, boleh tambah serbuk sup atau biarkan mendidih sampai pekat sikit. Kalau rasa pekat sangat, tambah air.

Bahan-Bahan:

  • Semua baki air reneh ayam tadi
  • 3 sudu besar serbuk sup Baba’s atau Adabi
  • 1 sup bunjut, atau 3 sudu besar Chinese Five Spice, atau 4 sekawan (kayu manis, lawang, cengkih, pelaga)
  • Daun sup atau daun ketumbar (optional)
  • Bawang goreng (optional)

Langkah-Langkah:

  1. Dalam periuk reneh ayam tadi, letakkan 3 sudu besar sup dan tambah lagi dalam 1-2 cawan air.
  2. Buka semula api sederhana kecil, atau 800 watt untuk induction.
  3. Masukkan 4 sekawan (lawang, cengkih, kayu manis, pelaga) atau 1 sudu besar Chinese Five Spice. Tunggu mendidih.
  4. Potong daun sup dan masukkan. Tutup api.
  5. Tabur bawang goreng ikut suka. 

Sayur

Yang ini ikut lah nak buat macam mana pun. Taknak pun tak apa. Saya bakar cauliflower dan cherry tomato dalam oven saja.

Bahan-Bahan:

  • Daun salad atau kobis
  • Tomato

Langkah-Langkah:

  1. Hiris daun salad atau kobis.
  2. Hiris tomato. Ikut lah tomato besar atau tomato ceri.

Selamat Mencuba

Tunggu rice cooker siap masak dah boleh hidang. Ayam dah siap “bakar” boleh potong-potong ikut saiz yang lebih senang makan.

Cara reneh ayam tadi boleh gunakan pada masa lain untuk buat air renehan ayam serbaguna – boleh kembangkan jadi sup-sup lain.

Ok lah, itu saja. Masih makan masa tapi simple la sikit kan. Selamat mencuba.

Resepi Pancake 🥞 Gebu yang Mudah (Pakai Blender Terus, Senang)

Table of Contents

Pengenalan

Selalu tengok dalam kartun/anime kan, pancake bulat, perang yang bertingkat-tingkat dengan meleleh-leleh maple syrup (saya ingatkan madu, tapi lebih kurang lah kan)…

Jadi untuk artikel ini, saya nak tunjuk cara buat pancake simple dan gebu, yang rupa macam dalam kartun. Selain tu saya selitkan sekali beberapa jenis pancake yang lain.

5 Tips Untuk Pancake Gebu

Nak buat pancake gebu kartun ni, saya dah identify beberapa tips yang optional.

Tak semestinya kena buat semua, cuba dalam 2-3 dulu dah ok.

  1. Asingkan dan blend/pukul putih telur dulu
  2. Perah limau/lemon dalam susu
  3. Mentega cair dalam bancuhan
  4. Kawalan api dan pan kecil non-stick
  5. Simpan bancuhan/batter semalaman dalam peti

Simple saja kan? Teknik putih telur tu saya pinjam daripada pancake souffle Jepun.

Resepi pancake ini saya buat macam stail Dorayaki sikit.

Untuk jimat masa, buat banyak-banyak bancuhan tu (gandakan jumlah bahan). Guna takat perlu, dan simpan lebihan dalam peti. Sekali bancuh boleh lah 2-3 hari dalam peti.

Jom kita tengok perihal putih telur dengan lebih lanjut.

1. Asing Putih Telur

* Step ini tujuannya cuma nak lembutkan lagi pancake tu. Kalau malas atau nak cepat, pecahkan terus telur sebiji ke dalam bancuhan. Bila-bila masa nanti, cubalah step ni.

1.1 Asing Pakai Strainer

Nak lagi senang, tadah terus atas blender.

Ada macam-macam cara nak asingkan putih telur dengan kuning telur. Pada saya, cara paling senang adalah pakai strainer. Yang kita buat tapis air lepas basuh mee, pasta, sayur dan lain-lain tu.

Tadah mangkuk besar atau blender bawah strainer. Pecahkan telur ke dalam strainer. 

Kalau telur elok, sepatutnya kuning telur akan stay atas strainer walaupun kita angkat – hanya putih telur sahaja yang turun ke mangkuk.

Kalau kuning telur tu tak bulat atau macam cair, maksudnya nak “basi” dah tu. Gunakan satu sarang telur tu dalam masakan lain cepat-cepat.

1.2 Blend/Pukul Putih Telur Dulu

Tuang putih telur tadi dalam blender. Sebenarnya saya terus letak susu + perah lemon sebab malas. Seeloknya blend telur putih dulu.

Terus blend sampai jadi buih-buih.

Buih macam ni pun dah ok.

Kuning telur tu terpulang nak pakai dalan bancuhan pancake atau taknak. Boleh cuba try test dua cara – ada kuning telur dengan takde kuning telur – tengok mana yang suka.

Kalau pakai cara manual (contoh garpu, pemukul telur):

  1. Pukul sampai berbuih. Mungkin dalam seminit. 
  2. Masukkan satu sudu besar gula (gula putih atau gula perang).
  3. Pukul lagi sehingga buih yang pekat sikit.

Seeloknya pukul sampai jadi macam krim, tapi punya lah penat nak pakai tangan. Tak berbaloi.

Nak paling senang dan hasil paling puas hati, pakailah hand mixer. 

  1. Pukul sampai berbuih.
  2. Masukkan ½ sudu besar gula (gula putih atau gula perang).
  3. Pukul lagi dan masukkan sikit-sikit baki gula.
  4. Ulang sampai jadi macam krim. Kita panggil meringue.

Lepas tu bolehlah letakkan bahan-bahan lain ke dalam mangkuk putih telur yang kita pukul tadi.

2. Perah Limau/Lemon Dalam Susu

Note: Pastikan ada baking soda kat dapur. Kalau tak ada baking soda, hanya ada baking powder sahaja, boleh skip perah.

Tuang dalam measuring scoop lepas tu perah, senang.

Perah limau/lemon agak-agak 1 sudu besar ke dalam 1 cawan susu. Saya terus perah dalam measuring scoop.

Ini kita buat susu jadi seakan-akan “buttermilk” (bukan lauk buttermilk). Susu + lemon tu akan reaksi dengan baking soda nanti untuk jadi lebih naik.

Lepas tu boleh letak tepung, baking powder, gula, apa semua dalam blender tadi.

3. Mentega Cair Dalam Bancuhan

Potong agak-agak satu sudu besar butter/marjerin/spread, letak dalam pan kecil. Bukak api sederhana kecil sampai cair.

Lepas tu tuang mentega yang dah cair tadi dalam blender dan sebatikan.

4. Kawalan Api dan Pan Kecil Non-Stick

Peralatan

Untuk hasil yang konsisten, antara yang senang adalah pakai dapur induction. Kalau ada electric griddle lagi ok.

Induction pakai setting Warm dalam 400-800 watt sahaja.

Dapur api pun boleh. Saya banyak pakai dapur api sahaja sebab pan kecil saya tak sesuai dengan dapur induction.

Seeloknya pakai pan kecil yang non-stick. Contohnya Tefal dan Amercook. Saya pakai yang berukuran 14cm sahaja.

Pan jenis lain mungkin boleh, tapi melekat. Boleh sapu minyak atau butter dulu, tapi itu pun belum tentu tak melekat.

Langkah-Langkah

  1. Panaskan pan pakai api besar dalam 30 saat. 
  2. Kecilkan api.
  3. Cedok bancuhan/batter masuk pan.
  4. Bila keluar banyak buih, tutup api. Tutup kuali, kalau boleh pakai penutup jernih.
  5. Biarkan dalam 30-45 saat.
  6. Bukak penutup, terbalikkan pancake. Bukak api kecil semula, dan masak dalam seminit.
  7. Cedok yang seterusnya, dan terus tutup api dan tutup kuali.
  8. Ulang 5-7.

Ini kena praktis sikit, dan mungkin lain sedikit timing, bergantung kepada kuali dan dapur. Gunakan langkah-langkah atas sebagai titik permulaan dan cari timing yang sesuai. 

4. Simpan Bancuhan/Batter Semalaman

Kalau nak makan pancake untuk 2-3 hari, boleh gandakan saja kuantiti bahan dalam resepi kat bawah. Kalau blender saiz biasa, maksudnya ulang buat bancuhan beberapa kali.

Simpan lebihan dalam peti. Belah bawah dah ok, tak payah freezer.

Paling lama saya berani simpan ada 3 hari. Simpan dalam bekas bertutup.

Resepi Beberapa Jenis Bancuhan Pancake

1. Pancake Gebu Simple

Sebagai permulaan, saya cadangkan pakai resepi bancuhan ni yang banyak pakai nombor 1. Boleh dapat dalam 3-4 keping.

Ingat, baking powder dan baking soda lain ya!

Perahan limau + baking soda boleh skip. 

Bahan-Bahan

  • 1 telur
  • 1 cawan tepung serbaguna/gandum/kek
  • 1 cawan susu kotak/tepung
  • 1 sudu besar baking powder
  • 1 sudu besar perahan limau/lemon
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil perasa vanilla
  • 1 sudu besar gula (putih atau perang)
  • 1 sudu besar butter atau ghee (minyak sapi) – cairkan
  • 1 cubit garam

Langkah-Langkah

  1. Asingkan telur putih. Perah limau/lemon dalam 1 cawan susu. Blend.
  2. Campurkan bahan kering lain dalam blender. Letak telur kuning. Blend.
  3. Cairkan butter, masukkan dalam bancuhan. Sebatikan.
  4. Pakai senduk untuk cedok bancuhan atas pan non-stick, pakai api kecil.
  5. Bila nampak buih, tutup api dan tutup pan. Biar dalam 10-20 saat.
  6. Buka semula api kecil dan terbalikkan. Masak dalam seminit.
  7. Angkat, dan letak batter seterusnya. Tutup api dan tutup pan.
  8. Ulang 5-7. 

Simple kan? Senang nak ingat. Pada saya cukup untuk 2 orang makan…tapi itu bergantung pada saiz dan ketebalan pancake lah kan.

Telur tu, kalau boleh, asingkan putih dan pukul dulu macam step atas. Kuning telur masukkan sekali dalam bancuhan.

Susu pakai yang tepung pun boleh. Seeloknya full cream, tapi saya selalu pakai low fat dalam kotak je.

Minyak sapi paling sedap dalam pendapat saya, tapi mahal sikit. Pakai Emborg atau Planta pun ok dah. Lagi mahal butter lagi sedap lah kan.

2. Resepi Pancake Terpaling Simple

Bahan-Bahan

  • 1 telur
  • 1 cawan tepung serbaguna
  • 1 sudu besar baking powder atau yis
  • 1 cubit garam
  • 1 cawan air

Langkah-Langkah

Masukkan semua dalam blender. Blend on-off sampai nampak macam batter.

Cedok dalam pan non-stick pakai api kecil.

Terbalikkan agak-agak.

Ini paling senang, tapi kureng sikit sebab tak ada susu dan butter. Kalau nak cepat atau kedai dah tutup, boleh je. Topping macam madu, boleh cover lagi kekurangan tu.

3. Resepi Pancake Gebu Fancy Sikit

Bahan-Bahan

  • 1 telur (asing telur putih)
  • 1 cawan tepung serbaguna/gandum/kek
  • 1 cawan susu full cream
  • 1 sudu besar baking powder
  • 1 sudu besar perahan limau/lemon
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil perasa vanilla
  • 1 sudu besar gula (putih atau perang)
  • 1 sudu besar butter atau ghee (minyak sapi) – cairkan
  • 1 cubit garam
  • 1 sudu kecil serbuk kayu manis
  • (Optional) 1 sudu kecil cocoa powder

Langkah-Langkah

Sama saja macam Resepi 1. Putih telur boleh asing dan pukul dulu.

4. Resepi Pancake Oat/Nestum

Bezanya tukar tepung biasa kepada oat. Nak pakai Nestum 3-in-1 pun boleh. Manis sikit lah.

Susu pun boleh tukar kepada susu oat, tapi itu optional. Butter boleh tukar ke minyak canola/sunflower.

Bahan-Bahan

  • 1 telur
  • 1 cawan oat kering (contoh Quaker/Nestum)
  • 1 cawan susu oat kalau ada, atau full cream
  • 1 sudu besar baking powder
  • 1 sudu besar perahan limau/lemon
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil perasa vanilla
  • 1 sudu besar gula (putih atau perang)
  • 1 sudu besar minyak blended (canola/sunflower) atau butter
  • 1 cubit garam
  • 1 sudu kecil serbuk kayu manis
  • (Optional) 1 sudu kecil cacao powder

Langkah-Langkah

  1. Letakkan oat (seeloknya rolled oat) dalam blender. Kisar sampai jadi tepung.
  2. Lain sama sama saja macam Resepi 1. Putih telur boleh asing dan pukul dulu.

5. Dorayaki (pancake sahaja)

Siapa yang tak kenal dorayaki, snek kegemaran Doraemon.

Dorayaki ni kira macam sandwich atau burger pakai pancake. Inti selalunya letak benda manis, secara tradisinya pakai red bean paste. 

Boleh letak inti ikut suka kita, contohnya saya suka letak Nutella + peanut butter sebagai inti. Sini saya tulis pasal pancake tu saja.

Bezanya pakai tepung kek, dan tambah madu.

Bahan-Bahan

  • 1 telur
  • 1 cawan tepung kek
  • 1 cawan susu full cream
  • 1 sudu besar baking powder
  • 1 sudu besar madu
  • 1 sudu besar gula perang
  • 1 sudu besar minyak canola atau butter
  • 1 cubit garam

Langkah-Langkah

Sama saja macam Resepi 1. Putih telur boleh asing dan pukul dulu.

6. Resepi Apam Balik

Bezanya sikit saja.

  1. Guna santan, bukan susu.
  2. Cairkan marjerin dalam minyak sawit untuk sapu atas pan.
  3. Goyangkan pan sikit lepas letak bancuhan, untuk dapatkan hujung yang rangup.
  4. Masak belah bawah saja. Nampak buih boleh letak inti. Contohnya combo serbuk kacang, jagung manis dan gula perang.

Untuk jenis crispy, letak nipis. Untuk biasa, letak tebal sikit saja, jangan tebal sangat – mentah pulak kang. Tak pasal-pasal sakit perut.

Selamat Mencuba!

Awal-awal mesti tak jadi. Tengok apa yang tersilap, dan cuba lagi sampai 3 kali. Mesti nampak improvement.

[3 Bahan ‘Rahsia’] 🍝 Resepi Spaghetti Bolognese

Pengenalan

Boleh kata tiap 2 minggu mesti saya masak spaghetti bolognese.

Satu kuali kuah bolognese boleh buat makan 3-5 hari (simpan dalam peti sejuk) tapi selalunya 2 hari dah licin.

Ini saya letak ayam kisar + cendawan shiitake.

Kuah bolognese ni asalnya adalah sejenis ragù (kuah daging Itali) yang berasal dari Bologna, Italy. Sebab tu panggil “bolognese”.

Namun begitu, bolognese yang kita biasa makan tu sebenarnya lain dengan bolognese asli dari Bologna. Antara perbezaan bolognese “asli” dengan bolognese yang biasa kita nampak:

  1. Tidaklah warna merah sangat (lebih macam warna kuah kacang kita) kerana kurang tomato.
  2. Lebih pekat berkrim sebab tambah susu.
  3. Jarang dimakan dengan pasta jenis spaghetti (orang dulu lah, sekarang taktau).

Saya pun bukannya makan kuah bolognese dengan spaghetti saja. Boleh juga makan dengan pasta lain contohnya fettucine, macaroni, lasagna…yang bentuk macam spring tu, lupa dah nama dia.

Ini macaroni goreng pakai baki kuah bolognese.

Eh, makan dengan roti bakar pun sedap tau! Dengan nasi pun sedap. Letak atas french fries. Letak atas sosej potong-potong kecik.

Tetapi untuk artikel ni saya buat resepi spaghetti bolognese merah yang kita biasa makan, dengan sedikit twist bahan Asia. Lebih kurang stail Hong Kong punya spaghetti bolonese.

 

Mungkin boleh panggil fusion, entah lah. Jangan risau, rasa macam spaghetti bolognese merah biasa cuma mungkin lagi sedap (poyo lak hehe).

 

Gambar Semangat

Seperti artikel saya yang lain, saya tunjuk dulu gambar-gambar hasil saya masak sebelum ni untuk membakar semangat.

Makan dengan bayam brazil sesuai tau, tekstur jadi contrast.
Ini pakai daging lembu kisar (yang atas pakai ayam kisar).
Ini saya tambah terung sebagai pengganti cendawan. Maaf tak jelas.

Artikel ni fokus kat resepi spaghetti bolognese merah, tapi saya nak tunjuk warna lain-lain. Warna berbeza-beza sebab saya pakai kandungan berbeza, tetapi asasnya lebih kurang sahaja.

Ini lebih kepada warna bolognese “asli” kononnya.
Ini saya letak serbuk kunyit banyak (1 sudu besar). Sedap tapi macam dah tak boleh panggil bolognese dah.

Bahan-Bahan

Nak masak spaghetti bolognese simple habis, tiga ni je lah…tapi tak berapa sedap.

Sos Balang/Tin & Pasta Kering

Tak semestinya pakai sos bolognese dah siap dalam balang, cuma kurang risiko tak menjadi tu.

Untuk sos dalam balang, saya suka jenama San Remo. Nak pakai Prego, Adabi, Kimball pun boleh sahaja…tetapi pada saya San Remo paling sedap. Boleh guna perisa:

  • Bolognese
  • Bolognese & Mushroom
  • Tomato, Garlic & Onion

Pakai tomato puree lagi sedap, tapi pastikan tambah sos tomato, sos cili, dan mixed herbs.

Namun begitu, saya paling suka pakai “Tomato Puree” – lagi sedap dan jimat! Puree ni masam, jadi kita tambah:

  1. 1 sudu besar sos tomato
  2. 1 sudu besar sos cili
  3. 1 sudu besar mixed herbs

Contoh tomato puree jenama Duchef, 220g (tin kecik) dah cukup. Jimat banyak kalau nak buat makan-makan.

Bawang besar bagi lebih sikit (contoh Bombay pakai 4-5, Holland pakai 2). Garlic pun 5-6 ulas.

Untuk pasta termasuk spaghetti, saya suka jenama Kimball.

Pakai sos tomato macam cicah nugget tu memang tak menjadi.

Minyak

Ini ikut tekak masing-masing, tapi saya nak bagi sikit ranking peribadi saya untuk “kesedapan” jenis minyak untuk resepi spaghetti bolognese ni:

  1. Olive oil – resepi Itali memang olive oil la paling sedap. Pada saya, tak lah berbaloi sangat dengan harga mahal dia.
  2. Canola oil atau sunflower oil – Pilihan saya. Disekalikan sebab lebih kurang. Campuran pun ada. Canola ni adalah saudara sawi – mungkin sebab tu saya suka.
  3. Mentega – butter atau marjerin (contohnya Emborg Cook & Bake, tak perlu mahal-mahal). Boleh buat ganti minyak.

Saya banyak pakai minyak jenama Naturel hanya kerana senang didapati di pasaraya. Mungkin ada jenama yang lebih bagus.

Bab minyak ni…pada saya pakai sahaja apa yang ada kat dapur dulu. Lebih-lebih lagi kalau baru first time masak resepi ni kan, leceh pulak.

Contohnya kalau dapur ada minyak Buruh ke Seri Murni ke, boleh saja pakai yang tu dulu.

Tapi harap maklum minyak sawit/jagung/kelapa/dll memang rasa dia kurang “masuk” berbanding minyak list 123 di atas.

Bahan Tumis & Herba

Err limau kasturi, selasih dan ketumbar jawa bukan untuk tumis.

Tumis:

  • 3 biji bawang merah (Bombay) – nak pakai bawang Holland pun boleh, tetapi 1 bijik saja.
  • 3 biji cili. Tak kisah jenis, tetapi saya suka guna cili padi kampung. Cili kering pun boleh tapi 1 dah cukup.
Senang kan ada pokok cili sendiri.

Masuk halfway:

  • 3 ulas bawang putih
  • 3-4 daun selasih (Thai basil), tak ada tak apa. Basil lain pun boleh, atau boleh ganti dengan daun pudina.
  • [Bahan ‘rahsia’] 1-2 daun ketumbar jawa. Boleh ganti daun sup atau daun ketumbar, tapi kureng sikit hasil dia.
  • [Bahan ‘rahsia’] Limau kasturi. Nak pakai limau nipis atau lemon pun boleh tapi potong dalam saiz (agak-agak je) dadu saja.

Kebun saya sentiasa ada ketumbar jawa (culantro). Ni pasu plastik je.
Contoh limau kasturi. Saya petik je, tapi supermarket ada jual.

 

Isi Utama

Ayam/Daging Kisar

Tak semestinya Ramly, cuma saya suka sebab senang cari.

Saya suka pakai ayam/daging kisar jenama Ramly je, tak perlu canggih-canggih.

Sila keluarkan dari peti awal-awal ya. Mungkin dalam setengah jam sebelum masak dah cukup untuk lembutkan.

Kalau tak sempat, boleh je masukkan selepas tuang sos balang…tapi seeloknya kita goreng ayam/daging kisar awal-awal.

Boleh masukkan lewat kalau tak sempat lembutkan, tapi hasil kureng.

Boleh guna salah satu (ayam sahaja atau daging sahaja). Nak gabungkan pun boleh, tetapi mungkin kena pakai 2 balang sos.

Cendawan/Terung/Lobak/Lada Benggala

Contoh sepaket cendawan shiitake.

Untuk sekali masakan:

  • 1 paket cendawan yang harga dalam RM5-6 tu
  • atau 1-2 biji terung
  • atau 1-2 biji lobak
  • atau 2-3 biji lada benggala

Nak simple, pilih salah satu sahaja. Kalau nak campur, guna 1/2 atau 1/3 sahaja jumlah setiap bahan berbanding list di atas.

Saya suka letak cendawan atau terung.

Kalau terung kurang panjang, boleh pakai 2 bijik.

Untuk cendawan, saya sarankan tiga jenis:

  1. Shiitake (kegemaran)
  2. King oyster
  3. Cendawan butang

Boleh pakai satu jenis sahaja, atau campur.

Cendawan butang yang dalam tin kena hati-hati sikit, sebab ada yang rendam dalam air masin. Nak selamat, cari Ayam Brand punya cendawan butang.

 

Perasa Tambahan

  1. [Bahan ‘rahsia’] Serbuk kunyit contohnya jenama Adabi
  2. Serbuk Maggie Cukup Rasa (Ajinomoto pun boleh)
  3. Serbuk cili (chili powder) contohnya jenama Babas
  4. Serbuk black/white pepper
  5. Sos tiram (biasa atau perisa cendawan) contohnya jenama Nona atau Maggie
  6. Madu atau gula perang (brown sugar)

Cara Buat Step-By-Step

0. Celur Spaghetti

Nak buat awal-awal/serentak atau akhir-akhir…ikut suka anda. Sebab tu saya letak nombor 0. Saya suka buat serentak.

Kalau masak awal/serentak, air celur spaghetti ni boleh guna sebagai ‘penebal’ kuah bolognese sebab kandungan kanji. Saya tak buat pun.

Kalau terlepas pandang, saya suka spaghetti Kimball.

Tak perlu tambah minyak atau garam. Celur kosong sahaja.

  1. Pakai api besar, panaskan air sampai berbuih-buih mendidih dulu. Pakai rice cooker pun boleh.
  2. Masukkan spaghetti kering (atau pasta lain) dalam air.
  3. Bila spaghetti dah lembut sikit, boleh ‘tolak’ semua masuk bawah paras air pakai garpu.
  4. Lepas 10 minit, tutup api dan biarkan pasta dalam air lagi 5-10 minit ikut kekenyalan yang kita nak (test gigit sikit).
Ukur 👌 agak-agak ‘garis’ pertama jari untuk 1 pinggan.

1. Tumis

Tuangkan minyak agak-agak litup 1/2 permukaan kuali. Tak perlu banyak-banyak macam nak masak nugget.

Macam ni pun dah cukup.

Bukak api sederhana besar. Saya pakai multi-cooker sahaja jadi tak ada gambar api.

Sementara tunggu minyak jadi berasap, kita boleh potong bahan.

Bawang potong separuh dulu macam ni…
Lepas tu potong dadu kecik-kecik macam ni.

Cili pun kalau boleh potong kecik-kecik. Nak hiris panjang pun boleh. Kalau pakai cili kering, boleh gunting.

Potong cili macam ni.

Minyak dah keluar asap putih sikit, boleh lah masukkan bawang dan cili yang kita potong tadi.

Tumis macam ni sampai naik aroma sedap.

Tak perlu masuk semua serentak. Masuk 1/2 bawang dulu, kacau-kacau, masukkan lagi separuh, lepas tu cili.

2. Masak Isi Utama

Apa saya maksudkan dengan “isi utama” untuk resepi spaghetti bolognese ini adalah:

  • Cendawan, terung, lada benggala, etc
  • Daging/ayam kisar

Mula-mula, potong dulu cendawan, terung, lada benggala etc. Sambil-sambil kita nak tunggu tumisan tu kan.

Sama macam bawang, potong separuh dulu lepas tu baru potong kecik-kecik.

Contoh cendawan shiitake, potong separuh dulu.
Lepas tu boleh kiris nipis-nipis kasar macam ni.
Untuk terung, boleh potong macam ni dah cukup.

Dah siap potong, boleh masukkan terus dalam tumisan tadi.

Jangan lupa kacau-kacau lepas dah masuk dalam kuali.

Sambil tu boleh la kita masukkan daging/ayam kisar Ramly.

Macam saya cakap tadi, kita boleh masak daging/ayam kisar sekarang (lagi sedap) atau masak selepas masukkan sos bolognese balang (tidak digalakkan, tapi saya buat je kengkadang).

Contoh ayam kisar. Nampak kan dah tak beku?
Contoh masak daging kisar + terung.

Kacau-kacau takat dalam 5 minit dah cukup.

Apabila ayam/daging dah nampak bentuk berketul solid, kita boleh pergi nombor 3.

3. Masuk Perasa Tambahan

Kalau nampak dalam kuali macam sedikit kering, boleh letakkan air panas. Saya letak dalam 1 mug air panas Coway.

Senang ada Coway kat dapur.

Sekarang kita boleh masukkan perasa tambahan.

Sos tiram masukkan dalam 1/2 sudu besar.
Chili powder pun dalam 1/2 sudu besar.
Ini serbuk campuran black + white pepper, 1/2 sudu besar.
Maggie Cukup Rasa, 1/2 sudu besar.

Ha semuanya senang saja nak ukur. Pakai 1/2 sudu besar.

Jujurnya, saya pakai campak saja. Perasa tambahan di atas tidak perlu precise sangat. Main agak-agak sahaja.

Lepas kacau-kacau, kita nak warna macam ni lebih kurang.

Kalau nak cuba, boleh juga letak air gas dalam lebih kurang satu cawan kecik. Boleh pakai perisa anggur, oren, 100 Plus pun boleh.

Pada saya, tidak perlu lagi. Mungkin kali kedua atau ketiga boleh la try. Saje je nak bagitau awal-awal.

Air gas adalah optional ya.

4. Masuk Sos Dalam Balang

Ha masa untuk watak utama untuk masuk persembahan.

Kalau anda terlepas pandang, saya paling recommend sos bolognese jenama San Remo untuk beginner.

Bila dah berpengalaman, boleh pakai tomato puree.

Pakai tomato puree lagi sedap berbanding sos dalam balang, tapi pastikan tambah sos tomato, sos cili, dan mixed herbs.

Nak bukak penutup balang sos bolognese ni mungkin menyakitkan hati sikit. Saya selalu pakai hujung pisau untuk cucuk celah penutup dan pusing sikit pisau tu.

Cucuk macam ni lepas tu pusing sikit pisau. Nanti bunyi “plup~”

Lepas tu boleh curahkan terus sampai habis.

Curahkan sehabis boleh. Memang akan ada baki melekat kat bawah.

Lumrah sos dalam balang, mesti la ada yang degil melekat kat bawah balang.

Letakkan air panas dalam 1/4 balang tu, goncang-goncang sikit, dan curah dalam kuali. Cair sikit tak apa sebab kita nak reneh.

Air panas boleh tolong dapatkan sos bolognese yang degil.

Lepas tu kita boleh kacau untuk sebatikan sos bolognese dalam kuali. Masa ni memang bau naik sedap, berkecur air liur.

Kacau kacau kacau sampai satu kuali jadi merah.
Bila dah cukup merah, boleh berhenti kacau. Biarkan blup blup blup.

5. Masuk “Bahan Rahsia”

Ini dalam halfway point, mungkin dalam minit ke-15.

Dalam bahagian Pengenalan tadi, saya cakap mungkin ini resepi fusion…sebab selalunya pada peringkat ni, orang masukkan herba rosemary dan thyme contohnya. Ikut anda.

Saya gunakan beberapa bahan Asia:

  1. Serbuk kunyit
  2. Daun Asia iaitu ketumbar jawa (culantro) + daun selasih (Thai basil)
  3. Limau kasturi (calamansi)

Serbuk kunyit ni kena ukur betul-betul sikit, tak boleh agak-agak sangat. Kalau terlebih, kuah bolognese boleh jadi oren.

Letakkan kurang sikit dari 1/2 sudu besar. Senang je kan ukuran. Untuk serbuk kunyit, saya tak galakkan agak-agak ikut mata.

Banyak ni dah cukup. Kurang sikit dari 1/2 sudu besar.

Lepas tu boleh masukkan daun ketumbar jawa bersama daun selasih.

Daun ketumbar jawa boleh pakai 1-2 helai. Daun selasih dalam 5-10 helai, saya agak-agak sahaja…tetapi lagi banyak lagi sedap.

Ketumbar jawa boleh gantikan dengan daun sup atau daun ketumbar biasa. Selasih boleh gantikan dengan basil lain atau daun pudina.

Carik pakai tangan sahaja, tak perlu hiris halus-halus.

Seterusnya, limau kasturi. Ha ini part yang tak berapa logik. Tak masuk akal. Kenapa nak perah limau? Masam kang!

Bahan acidic seperti limau/lemon ini kiranya bertugas sebagai “pengikat” bahan-bahan lain. Macam glue together bahan-bahan.

Limau kasturi potong separuh macam ni. Limau nipis atau lemon boleh guna, tapi potong agak-agak saiz limau kasturi.

Saya pun tak tau lah nak describe macamana, tapi cuba lah dulu ya.

Perah limau dan masukkan saja kulit/biji dalam kuah bolognese.

Nampak kan kuah bolognese tu masih lagi nampak cair? Mari kita masuk peringkat 15 minit terakhir.

6. 15 Minit Terakhir

Ada 2 bahan yang kita tak guna lagi:

  1. Bawang putih (3 ulas)
  2. Madu

Bawang putih saya suka masukkan lewat supaya tak tenggelam rasa dia. Nak masuk masa halfway pun boleh.

Hentak je pakai tepi pisau macam ni. Takyah hiris.

Saya tidak galakkan masukkan bawang putih awal-awal (semasa tumis), ada risiko bawang putih tu jadi hangit.

Masuk je dengan kulit sekali. Kalau rajin, kupas la.

Madu pun sama seperti limau tadi. Bertindak untuk glue together bahan-bahan yang lain.

Kalau tak ada madu, letak satu sudu besar gula perang/brown sugar.

Jangan skip madu/gula ya. Limau takpe tak letak kalau tak ada.

Picit dan kira 3 saat. Kuah nampak oren, masalah lighting kot.

Tak perlu pakai madu mahal-mahal. Saya pakai yang dalam botol picit tu je. Dalam 1/2 hingga 1 sudu besar dah cukup…agak pakai mata sahaja. Saya picit dan kira 3 saat.

Madu yang kononnya “100% natural honey” (saya tak percaya) tu dah sedap.

Dah cukup masuk bahan-bahan. Mungkin pada tahap ni, baru dalam 15-20 minit.

Selalunya jumlah masa saya masak spaghetti bolognese dalam 30 minit sahaja. Kadang-kadang tersesat jadi 40 minit.

10-15 minit terakhir – kita tunggu sahaja.

Kandungan air masih banyak lagi dalam kuali. Kita nak kuah bolognese jadi pekat, barulah syok letak atas spaghetti.

Jadi kita reneh (simmer) untuk pekatkan (reduce) kuah tu.

Kita nak pekatkan lagi. Ini kira “cair” lagi.

Oleh itu kita biarkan sahaja kuah bolognese blup blup blup. Api kecilkan sikit.

Jangan letak penutup kuali ya. Kita nak air jadi wap.

Kalau dah nampak macam ni, boleh tutup api. Terus makan atau biar sejat lagi.

Part reneh ni kita boleh rilek-rilek layan smartphone. Sambil-sambil kena jeling jugak lah, tengok jangan jadi kering pulak.

Dah nampak macam tinggal air sikit boleh tutup api dah.

Masa ni kita boleh cedok dah kuah bolognese untuk letak atas spaghetti….atau pun biarkan lagi 5-10 minit untuk jadi lebih pekat.

Banyak ni pun dah cukup! Tak perlu buat banjir. Letak cheese sket, pergh.

Selamat Mencuba!

Resepi spaghetti bolognese saya mungkin ke arah fusion sikit.

Namun begitu, disebabkan spaghetti bolognese yang kita biasa makan tu bukannya authentic pun, saya kongsi saja lah.

Terima kasih kerana membaca dan selamat mencuba!

 

 

[Dalam Pasu] 🥬 Cara Saya Tanam Sayur Sawi

Sawi boleh ditanam dalam pasu plastik, pasu tembikar, polybag, tanah, dan hidroponik/akuaponik. Artikel ini saya fokus pada pasu plastik, tetapi cara lebih kurang sahaja.

Pengenalan

Kadangkala dipanggil bok choy, kadangkala dipanggil pak choi – dua-dua tu sama saja maknanya (“sayur putih” dalam Kantonis). Boleh dikatakan hampir semua orang kenal dengan sayur sawi.

Pergi kedai nasi campur, kadang-kadang ada masakan sawi kuah sos tiram. Dalam nasi/mi/kueytiaw/mihun goreng pun selalu ada sawi.

Ini saya letak petikan daun sawi Jepun umur 2-3 minggu dalam lauk ayam paprik.

Saya sangat suka sayur sawi sebab rasa macam wasabi (memang sayur yang bersaudara pun). Biji daripada beberapa jenis sawi juga digunakan untuk buat sos mustard, yang warna kuning tu.

Kalau rendam benih sawi dalam air, semerbaklah bau mustard. Rendam benih semalaman boleh jimatkan masa percambahan dalam 1-3 hari. Saya jarang buat sebab kebun rumah je.

Kandungan paket benih sawi (dah guna dalam separuh).

Alamak, baru teks pengenalan tapi dah berjela panjangnya. Tak perlulah saya senaraikan semua kelebihan dan bahan berkhasiat yang ada dalam sayur sawi tetapi secara anekdot, sejak banyakkan makan sayur, saya lebih banyak tenaga, stress lebih terkawal, dan…err…pergerakan usus pun lancar.

Contoh Jenis Sawi

Seperti mana yang kita boleh tengok di pasaraya dan pasar tani, ada pelbagai jenis sawi sampai rambang mata.

Di bawah saya tunjuk empat paket sebagai contoh permulaan. Alasan saya adalah untuk tidak bagi anda overthinking, sebenarnya sebab kebetulan paket ini ada dalam laci semasa saya tulis.

Saya pun confused dengan nama-nama sawi – saya pergi pasaraya sini tulis lain, pergi pasaraya sana tulis lain.

Saya beri 3 contoh:

Dwarf Pak Choy (Sawi Jepun)

Hasil hari ke-30 (tanam rapat). Nak besar, tunggu dalam seminggu dua lagi. Kawalan perosak secara organik, jadi ada ulat sedikit (basuh saja nanti, no problem).
Hasil dalam sebulan setengah. Jadi panjang sebab teknik tanam rapat.

Sawi paling terkenal sekali, saya rasa. Semua gambar dalam artikel ini adalah gambar sawi ini.

Dalam masa bawah 30 hari kita sudah boleh petik (daun kecil). Nak daun besar sikit, boleh petik dalam sebulan setengah hingga dua bulan.

Umur bawah sebulan dapat lah saiz macam ni.

Pada pendapat saya, kalau tiada pengalaman berkebun sawi, mulakan dengan dwarf pak choy.

Komatsuna – sawi jenis tinggi tirus dan berdaun besar. Lebih kurang sawi cameron rasanya. Dulu saya malas tangkap gambar hasil komatsuna, menyesalnya…

Sawi Hong Kong – ini rupa lebih kurang kailan.

Ada juga sawi batang putih, sawi emas (sebenarnya sejenis kobis cina), macam macam lagi lah.

Kesimpulannya, sawi ada banyak jenis dan saya tak tahu semuanya (dan taknak buat-buat tahu). Ikut sahaja kehendak masing-masing.

Gambar Semangat

Di bawah saya letakkan sedikit gambar hasil sebagai pencetus semangat anda. Kalau lihat, batang sawi saya sedikit kurus – ini kerana saya pemalas dan sengaja baja 2 minggu sekali sahaja. Saya terangkan di bahagian Baja nanti.

Saya ingin selitkan kelebihan tanam sawi di rumah ini: kita boleh keluar dari dapur dan petik daun ikut keperluan sahaja. Kita tidak perlu cabut seluruh sawi termasuk akar seperti yang dijual di pasar.

Dalam 3 hingga 4 minggu pun sudah boleh petik daun, tapi kecil lah. Pada saya ini bukanlah masalah kalau tanam sawi dengan banyak.

Hasil hari 30 daripada 10+ pasu plastik, kaedah multisowing (2-3 sawi sepasu).
Hasil 45+ hari, tanam rapat. Jelas lebih kurus berbanding sawi Jepun kat pasaraya tapi overall hasil lebih banyak.
Umur dalam 20 hari kot. Lupa dah.
Ini dalam…sebulan setengah?

Saya selalu tanam sawi dalam 30+ pasu kecil (sekaligus dengan sayur lain). Sayur sawi muda (kecil tapi banyak) adalah kegemaran saya (celur/masak dulu!), rasa lebih kesawian – mungkin perasaan saya sahaja.

Ini pakai teknik vertical gardening. Letakkan tower dalam pasu supaya boleh alih-alih.

Asas Penanaman Sawi

Semai Benih

Untuk benih, saya secara peribadi suka benih sayuran keluaran Green World dan Baba Smart Grow.

Benih sawi boleh disemai secara:

  • Modul (berasingan) dalam kotak semaian (seed tray atau sarang telur). Awal leceh sedikit, tetapi jimat tenaga overall.
  • Tabur dalam pasu, piring, bekas tapau plastik terpakai, dan sebagainya. Ini pun jimat tenaga, tapi kena pindah-tanam cepat.
  • Tabur atas kapas muka atau tisu dapur. Pastikan sentiasa basah!
  • Tabur terus atas tanah kebun – tidak berapa digalakkan. Semut boleh curi. Berdaun sikit, siput/lintah/kumbang/tupai makan.
Saya pakai seed tray dari Mr DIY sahaja. Tak perlu mahal-mahal.

Saya paling suka cara modul sebab boleh biarkan sahaja selama seminggu dua (siram tiap-tiap hari lah) sebelum pemindahan ke dalam pasu atau tanah.

Letak agak-agak 3-5 biji benih dalam satu lubang, kemudian timbus.

Pada awalnya memang usaha lebih sedikit, tetapi disebabkan kita tanam berpuluh-puluh (atau beratus!) sekaligus, boleh kata cara ini lebih efficient/efektif berbanding cara lain.

Letakkan seed tray di tempat yang terima cahaya matahari pagi.

Tanamlah.com

Media semaian boleh pakai campuran kompos + sabut kelapa (coco coir/coco peat), atau beli sahaja media semaian. Saya terus pakai tanah campuran kompos dalam guni sahaja, senang.

Sudah ada baja kompos untuk nutrien bagi anak sawi.

Kegemaran saya adalah tanah Baba Yasa-i. Tanah ini pada saya sebagai tanah semaian adalah berbaloi. Sebagai tanah dalam pasu saya rasa macam sedikit mahal kalau nak tanam banyak.

Untuk sawi baby, saya gemar gunakan teknik multisowing – saya panggil “semai sekawan” sebab comel sikit. Daun/batang jelas lebih kecil berbanding sawi pasar tetapi keseluruhannya hasil lebih banyak.

Dalam 3-5 hari keluar lah tu. Ada yang lambat, ada yang cepat.
Ini dalam seminggu. Dua “daun” pertama adalah kotiledon, bukan daun.

Untuk sawi jenis sederhana/besar, boleh sahaja letak 2-4 biji dalam satu lubang sekaligus. Biarkan anak benih berebut nutrien, air dan cahaya matahari.

Hari ke 7 hingga 10.

Untuk sawi jenis sederhana/besar, selepas dalam seminggu dua, selalunya dah boleh nampak satu anak benih yang paling kuat. Kita kena kejam sikit dan buang yang dah “kalah” (kecil, terbantut, tumbang, dan sebagainya).

Sawi jenis kecil (macam sawi Jepun dalam artikel ni) biarkan sahaja membesar sekawan.

Umur 1.5 minggu. Sekejap sahaja!

Kalau baru pertama kali nak tanam sawi (bagus, ibu jari naik 👍), saya sarankan rendahkan sedikit harapan. Sasarkan dalam 1/3 sahaja daripada jumlah kotak semaian.

Kalau nampak kesan putih tidak perlu risau. Itu hanya leaf miner.

Contohnya kalau seed tray ada 50 kotak, sasarkan 17 sahaja yang akan menjadi sehingga boleh makan. Masih banyak tu. Kalau lebih, bonus!

Untuk permulaan, sepaket benih tidaklah perlu disemai semua sekaligus. 50 modul sudah cukup – tak sampai separuh paket. Kita ingin bina tabiat, mulakan dengan langkah kecil dahulu.

Daun sebenar dah 3-5 helai. Dah boleh pindah ni!

Boleh semai setiap 3, 4 minggu ikut kesesuaian masa. Bila semai setiap beberapa minggu, bekalan sawi di rumah sentiasa ada kalau kita cubit daun setakat perlu untuk masakan.

Pindah-Tanam

Ringkasan cara pindah-tanam:

  1. Keluarkan modul anak sawi dari seed tray.
  2. Letakkan modul dalam lubang media tanaman. Contohnya dalam pasu yang diisi tanah campuran kompos.
  3. Letakkan baja sekeliling anak pokok. Kalau boleh, letak baja organik seperti kompos atau tahi kambing.
  4. Siram sampai tanah nampak sangat gelap (maksudnya cukup basah).
  5. Semburkan neem spray (penting).
Tarik daun, atau cucuk dari bawah pakai pen atau screwdriver.

Kalau tanam dalam kawasan tanah rumah terus boleh saja. Kalau boleh, buat batas (berdinding atau tak), tetapi tak ada pun tak apa.

Saya suka tanam rapat. Sawi kecil (contoh sawi Jepun/dwarf pak choy): jarakkan antara setiap sawi dalam saiz 1 penumbuk untuk satu barisan. Antara barisan pulak, jarakkan dalam 2 penumbuk.

Kalau tanah/garden bed, boleh jarakkan lebih kurang penumbuk. Ini kira “rapat” – kalau nak sawi gemuk pendek boleh double kan jarak.

Sawi sederhana/besar (komatsuna, sawi emas): jarakkan dalam saiz seluruh tangan terbuka (tapak dan jari).

Memang saiz tangan lain-lain, tetapi agak-agak sahaja. Saya suka tanam rapat sebab hasil lebih banyak walaupun sawi kurus sikit.

Contoh selepas pindah-tanam dalam garden bed 3×2 kaki. Ini kira rapat sebenarnya, sekarang memang nampak jauh. Dalam sebulan+ akan berhimpit.

Bagi yang baru mula, saya lebih suka cadangkan tanam dalam pasu plastik (pasu tanah liat pun boleh, cuma berat lah).

Ini pasu plastik bulat (4-6 inci) macam nursery selalu pakai.

Kenapa pasu untuk permulaan? Kita boleh alih-alih mencari tempat paling sesuai, contohnya untuk cahaya matahari dan dekat dengan punca air (paip getah, kolam ikan, etc).

Nampak tak cahaya matahari tengahari? Layu sedikit tak apa.

Saya gemar gunakan pasu 4-6 inci kerana boleh eksperimen berasingan. Letakkan 2-3 anak sawi dalam satu pasu.

Tanam sekawan boleh sahaja. Tak semestinya satu pasu satu sawi.
Jangan lupa siram selepas pindah.

Boleh juga pakai pasu plastik panjang ataupun planter box.

Seeloknya tanam 2 modul sawi dalam 1 planter box, tetapi saya tanam 3 tiada masalah pun cuma kecil sedikit daun/batang.

Kucing (bawah kiri) pun nak tolong jugak.
Susun sekejap.
10 minit kemudian.

Media tanaman (saya akan panggil “tanah”) ada banyak. Kalau nak tanam dalam pasu, elakkan letak 100% tanah yang digali di rumah (kalau mampat sangat, akar boleh lemas).

Saya cadangkan tanah campuran kompos, tanah 8-in-1, Veggiemix ataupun Baba Yasa-i. Kalau tulis 20+ liter, maksudnya saiz guni. Selalunya saya guna 1 guni untuk ~50 pasu 4 inci, secara kasarnya.

Kalau nak jimat, bolehlah campur sedikit tanah rumah, dalam 1/3. Tanah halaman rumah selalunya lebih banyak nutrien, tetapi kalau pakai 100% dalam pasu boleh jadi terlalu mampat sampai akar sawi lemas. Saya pemalas cepat penat, jadi saya terus pakai tanah beli.

Dalam 4-5 hari selepas pindah.

Boleh juga tanam dalam polibag. Saya kurang gemar polibag kerana tidak kukuh, tapi saya tanam sahaja sepohon dua dalam polibag sebagai bukti boleh tanam sawi dalam polibag.

Tak perlu buat semua sekaligus. Hari ni buat 5, esok buat 10, lusa buat 10.

Untuk kurangkan perosak, saya sangat-sangat galakkan sembur neem spray selepas selesai pindah.

Rasanya Serbajadi dah tukar warna packaging untuk spray ni kepada hitam.

Cahaya Matahari

Separuh Teduh (dalam 4-6 jam)

Secara umumnya, sayur sawi tidak terlampau memilih. Hanya 4 jam matahari pagi atau petang untuk sehari sudah cukup. Kalau duduk di apartment, tak perlu fikir dah. Letak sahaja pasu di balkoni.

Pada hari cuti, bolehlah perhatikan pergerakan cahaya matahari di rumah. Secara kasarnya, matahari pagi (lembut) datang dari timur dan matahari petang (kasar) datang dari barat.

Matahari 11 pagi. Pada awalnya memang nampak layu sedikit.

Seeloknya, beri sedikit teduhan daripada cahaya matahari. Ini masalah suhu, bukan cahaya. Matahari penuh (pagi sehingga petang) mungkin terlampau panas dan mencepatkan sawi mati.

Pasu panjang ini dapat 4 jam matahari sahaja.

Saya selalunya letak di kawasan yang hanya dapat matahari pagi dan tengahari, iaitu dari pukul 8:30AM sehingga 12:30PM (agak-agak saja, bukanlah tepat betul). Ada juga saya letak di kawasan yang dapat cahaya 8:30AM sehingga 3:00PM, dan juga 1:30PM hingga 5:00PM.

Hasil 4 jam matahari sahaja. Umur dalam…3 minggu?

Matahari Penuh (dalam 6 jam ke atas)

Oleh kerana masalah matahari penuh adalah masalah suhu, boleh juga letakkan di bawah satu lapis kain teduhan 50% berwarna hitam, atau jaring penghalang serangga berwarna putih.

Daripada pengalaman saya, kombinasi matahari penuh + jaring serangga menampakkan hasil yang paling optimum. Kain putih tidak tapis sangat cahaya, cuma haba.

Kawasan ini dapat matahari sehingga 5PM.

Berbaloi atau tidak usaha/wang lebih untuk buat/beli rangka jaring serangga itu, terpulang kepada individu. Untuk saya, tidaklah berbaloi sangat sampai perlu terus pasang pada tanaman pertama.

Kalau cukup cahaya matahari, sawi akan membesar dengan lebih cepat.

Ada juga kain teduhan 70% yang saya selalu nampak berwarna hijau – pada saya kain 70% itu tapis cahaya matahari dengan terlampau banyak, tetapi boleh sahaja kalau nak cuba. Saya agak sawi akan lambat membesar, tetapi agak sahaja tak pernah cuba.

Sawi tanam sekawan hasil matahari 6+ jam. Umur bawah sebulan.
Cantik kan hasil letak bawah 6+ jam matahari?

Siram

Sebenarnya tidak berapa elok kalau sawi disiram dari atas daun. Tapi selama ni saya siram dari atas, tiada masalah pun kerana sawi tu saya letak di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang elok.

Nampak extra fresh selepas siram.

Kalau guna bekas penyiram air, seeloknya tujukan air pada bahagian permukaan tanah, bawah daun. Air dari bekas penyiram tradisional mungkin kasar sedikit semasa peringkat anak sawi, jadi hati-hati sikit.

Siram guna bekas penyiram air untuk anak bunga matahari. Saya lupa ambik gambar siram sawi.

Kalau boleh, letak pasu-pasu (atau polibag) sawi berdekatan dengan getah paip air. Boleh letakkan kepala penyembur air dan gunakan mode Flat.

Air dari sini lebih halus berbanding bekas penyiram air – kurang risiko anak sawi merajuk patah semangat dan terbaring hiba.

Tidak perlu siram satu-satu – biar sahaja “hujan” dalam agak-agak seminit. Guna kepala penyembur adalah kegemaran saya kalau tiada micro-drip irrigation.

Siram waktu matahari masih ada untuk membantu fotosintesis.

Seeloknya pagi atau petang. Tengahari pun boleh, tetapi siram lama sedikit sebab banyak akan tersejat. Jangan siram pada waktu malam, kemungkinan akan datang penyakit akibat kelembapan tinggi.

Nak siram secara manual setiap hari jenuh juga. Kebelakangan ini, saya gemar gunakan micro-drip irrigation. Watering timer juga boleh dipasang untuk automatik akan keluarkan air melalui micro-drip irrigation.

Mata air untuk micro-drip irrigation.

Dengan micro-drip irrigation ini, kita jimat masa sedikit (lama-lama jadi bukit). Boleh letakkan mata air antara dua sawi kalau pakai pasu panjang. Nampak susah, tapi sebenarnya senang sahaja – gunting, cucuk, gunting, cucuk, kemudian perhatikan tahap pengeluaran mata air.

Contoh saya pakai micro-drip irrigation untuk anak bunga matahari.

Kalau ada kawasan rata, boleh juga susun pasu dalam multipurpose tray dan biarkan air berkumpul setinggi dalam kuku jari kelingking. Air akan meresap sikit-sikit ke dalam pasu sawi dari bawah.

Contoh siram-dari-bawah yang saya gunakan untuk anak tomato.

Teknik “siram-dari-bawah” ini silalah buat di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik – kita nak air lebihan tersejat. Pada musim hujan, perlulah terbalikkan (atau alih) multipurpose tray tu supaya tidak bertakung.

Satu lagi contoh siram-dari-bawah pakai multipurpose tray. Ini anak pokok ati-ati.

Kawal Perosak

Kebanyakan luahan perasaan oleh rakan-rakan berkenaan tanaman sawi adalah “habis kena makan semua…penat aku tanam…&*!@ lah”.

Saya tidak sembur neem spray di kawasan ni.

Ada macam-macam cara untuk cegah perosak (termasuk tanam pokok lain! Itu artikel lain pula ya), tetapi apa yang saya rasa paling senang adalah pakai neem spray (dan chitosan, kalau nak).

Saya suka neem spray jenama Serbajadi dan Mr Ganick (Baba).

Janganlah guna racun sembur yang bukan organik. Ekosistem kebun terganggu satu hal, tetapi paru-paru kita pun boleh jadi rosak akibat racun semburan kimia buatan.

Tidbit: Neem tree bermaksud pokok mambu dalam BM.

Serangga/Ulat

Pastikan sembur agak-agak terkena permukaan daun seminggu sekali. Kalau kawasan baru sembur, kemungkinan besar ada juga beberapa daun sawi yang masih akan terkorban jadi ratahan. Redha sajalah dan tunggu daun seterusnya.

Kadang-kadang daun keluar balik.

Di bawah saya tunjukkan kesan mulakan semburan ketika sawi berusia 2 minggu. Kawasan saya tanam sawi di bawah adalah terbiar dan tidak disembur neem selama 3 bulan (!) – jadikanlah iktibar ya.

Lihat beza daun lama (daun bawah) dan baru.

Jadikan tabiat sembur neem spray seminggu sekali sampai bila-bila. Sebenarnya boleh jarakkan kepada dua/tiga minggu sekali selepas sebulan, tetapi pada saya tidak perlu rumitkan jadual.

Daun yang hampir botak tu adalah sebelum neem spray.

Pagi, lewat petang, atau malam sahaja! Nanti tergoreng oleh matahari pulak anak sawi tu akibat kandungan minyak neem.

Kalau boleh, terus mula gunakan neem spray selepas tanam benih atau pindah-tanam. Ukur dengan mata kawasan sebesar skrin komputer riba, picit tiga kali psst psst psst, ulang sehingga seluruh kawasan disembur.

Guna balik gambar sama hihihi.

Untuk yang baru berkebun, saya sarankan beli sahaja yang sudah tercampur. Contohnya neem oil spray jenama Serbajadi dan Mr Ganick (Baba).

Satu lagi yang saya boleh cadangkan adalah semburan yang mempunyai kandungan chitosan. Semburan chitosan boleh mengawal fungus – bagus juga untuk iklim tropika kita ni. Boleh juga gunakan sebagai baja tambahan. Sembur serentak dengan neem spray.

Siput/Lintah

Taburkan racun siput di sekeliling kawasan tanaman. Itu cara paling senang. Sebagai pencegahan, taburkan sahaja seminggu sekali semasa sembur neem.

Sekiranya baru hujan, cubalah tabur secepat mungkin kerana siput dan lintah suka pergi kawasan basah.

Kalau rajin, bolehlah keluar masa malam dan angkat satu-satu siput yang kita nampak (saya malas). Satu lagi cara adalah tampal pita tembaga (copper tape) sekeliling birai pasu – ini saya tidak pernah cuba lagi. Menjadi ke tak saya tak tahu.

Baja

Sawi adalah tumbuhan yang pelahap. Sayur daun selalunya perlukan banyak nitrogen, ataupun N dalam NPK.

Contoh baja N:P:K 15:15:15.

Kalau masih baru mula menanam, saya sarankan: Kompos, kompos, kompos. Kita letaklah kompos banyak mana pun, sawi tidak akan melecur. Saya sangat suka produk kompos yang dihasilkan oleh Unigrow.

Saya beli 30+ kg saja terus.

10kg kompos boleh baja seratus dua sawi. Saya cadangkan beli 30+ kg terus kerana kompos tidak akan “basi” dan boleh dikatakan baja universal, mana-mana tanaman boleh letak.

Kalau anda tidak tahu, kompos adalah baja yang dihasilkan oleh proses reputan jangka panjang bahan-bahan organik seperti daun, ranting kayu, kertas, dll. Kita boleh buat sendiri, tapi lama lah. Berbulan-bulan.

Nampak tak beza warna baja kompos (hitam) dan campuran tanah biasa?

Jadual bajaan seeloknya seminggu sekali, tapi saya tak buat pun. Kalau nak gemuk-gemuk seperti sawi pasar, rajin-rajinlah membaja setiap minggu. Kalau tanam atas tanah subur, mungkin boleh setiap 2 minggu. Boleh juga semburkan chitosan sebagai penggalak.

Selalunya saya letak satu lapisan kompos yang tebal sekeliling anak sawi semasa pemindahan (dalam 2 minggu selepas semai). Setiap 2 minggu, saya tambah lagi lapisan kompos dan letakkan pula secubit mesra baja NPK 15:15:15 (jauh sedikit dari akar!). Itu sahaja.

PERHATIAN: Kalau ingin buat “teknik” baja malas seperti saya, perlu tahu bahawa daun dan batang sawi lebih kurus berbanding sawi pasar. Kalau nak yang gemuk-gemuk, binalah tabiat membaja seminggu sekali pada hari cuti (sekaligus neem dan chitosan).

Nak guna tahi? Tahi kambing (termasuk biri-biri), atau kompos tahi kambing. Tahi ayam dan lembu fresh ada risiko melecur, tapi boleh saja beli yang dah diproses jadi kompos.

Ini contoh kompos tahi kambing yang saya guna kat bendi.

Tahi manusia dan kucing boleh bawa penyakit, tak perlulah. Kalau ada kucing berak dalam pasu, cuba buang tahi tu.

Bila dah berpengalaman, barulah cuba 100% gunakan baja kimia contohnya baja NPK dan baja AB. Ini cadangan saya sahaja, kalau terus nak pakai boleh sahaja.

Kalau NPK 15:15:15, letak secubit mesra sahaja. Tabur dalam bulatan bergaris halus berhampiran dinding pasu, jauh sedikit dari kawasan akar, kita taknak sawi tu melecur.

Terlebih baja NPK, daun boleh “melecur”.
Ini satu lagi contoh akibat terlebih baja. Nampak tak daun mengecut?

Untuk sayur-sayuran, saya masih paling suka baja kompos sawit dan kompos tahi kambing sampai sekarang, dan kemungkinan besar sampai bila-bila. Tak perlulah yang canggih-canggih.

Tuai Hasil

Pasu kiri saya tanam satu sawi. Pasu kanan dua sawi.

Secara umumnya sawi boleh dipetik daunnya seawal 20+ hari sehingga berbunga/berbenih. Sepohon sawi kita boleh petik daunnya banyak kali. Tidak perlu cabut akar.

Caranya adalah “cubit” daun-daun bahagian bawah dahulu. Dengan mencubit daun bawah, sawi-sawi akan masih terus membesar dan mengeluarkan daun yang lain.

Selepas “dicubit”.

Ini bermaksud kita boleh tuai daun dari sawi-sawi kita sedikit demi sedikit. Satu sawi mungkin boleh petik 3 daun sahaja pada satu masa, tetapi kalau petik 10 sawi? Cukup je.

Petikan daun pangkal sawi Jepun berumur dalam 3 minggu.

Pengalaman peribadi saya adalah petik daun sedikit demi sedikit dalam tempoh sebulan (hari ke-30 hingga hari ke-50). Selepas hampir botak, saya cabut dengan akar dan gantikan dengan modul anak sawi yang baru. Batang tu buat masak dengan sos tiram dan bawang putih (contoh).

Boleh juga gunting terus dari pangkal.

Kesimpulan

Sawi adalah sayur yang boleh dikatakan beginner-friendly. Tidaklah begitu rumit untuk ditanam dan dijaga, asalkan kita gambarkan hasil yang realistik.

Kalau nak sawi gemuk berkualiti pasaran:

  • sebiji benih setiap kotak
  • pindah selepas seminggu
  • baja tinggi nitrogen seminggu sekali, kalau boleh pakai baja cecair
  • sembur chitosan
  • gunakan jaring penghalang serangga
  • kalau matahari penuh, mungkin perlukan 50% kain teduhan untuk turunkan suhu
  • siram 2-3 kali sehari

Tetapi untuk kebun rumah makan sendiri, pada saya buat secara santai sahaja. Rasa sawi masih sama. Tak perlu tambah stress, lagi-lagi yang baru mula.

Sawi kurus tetapi santai:

  • 3-5 biji benih dalam satu lubang
  • pindah-tanam sedikit-sedikit (3, 5, 10 sehari) selepas 2 minggu
  • baja 2-3 minggu sekali gunakan baja organik atau NPK seimbang
  • semburan neem spray seminggu sekali, chitosan optional
  • jaring serangga optional
  • minimum matahari 4 jam, tidak perlu kain teduhan
  • siram sekali sehari waktu pagi atau petang

Sebolehnya cahaya matahari nak banyak, tetapi 3 hingga 4 jam pun sawi boleh keluarkan daun yang boleh dimakan, cuma kecil.

Pada saya, untuk kebun di rumah, tanam beberapa dozen sawi sekaligus dan petik daun sedikit demi sedikit. Di samping itu tanamlah sayur lain seperti bendi, kangkung, timun, dan tomato ceri.

Saya tutup dengan frasa “kebun adalah seni peribadi masing-masing”. Kita semua ada cara tersendiri. Yang penting, cuba dan usaha. Kalau tidak menjadi, kenalpasti kesilapan dan cuba lagi. Selamat bercucuk tanam!

[Dalam Pasu] 🌶️🍅 Cara Saya Tanam Pokok Cili & Tomato

Pengenalan

Artikel ni saya sekalikan sahaja cara tanam pokok cili/lada dan cara tanam pokok tomato.

Tomato ceri + cili padi kampung hijau.

Tanam salah satu pun ok, saya cuma nak promote tanam berjiran.

Cili dan tomato sebenarnya sekeluarga “Nightshade”. Antara pokok Nightshade yang lain termasuk terung, lada benggala (capsicum), dan ubi kentang.

Saya suka tanam pokok cili dengan pokok tomato berjiran (pasu lain-lain lah) kerana:

  • keperluan lebih kurang sama sahaja
  • boleh kongsi struktur penyokong (jaring)
  • lebih banyak bunga untuk tarik lebah
Baru lepas petik. Nak tambah dalam bolognese.

Tak perlu ada kawasan tanah atau kebun pun.

Malahan saya lebih galakkan kebanyakan orang untuk tanam pokok cili dan tomato dalam pasu.

Pokok cili pakai pasu plastik 4-6 inci pun boleh. Tomato kena pasu besar.

Antara kelebihan tanam dalam pasu:

  • Boleh alih-alih untuk cari lokasi sesuai (matahari cukup, senang dapat air, dekat dengan dapur, sesuai dengan dekor, etc).
  • Kalau musim banjir, kurang risiko pokok mati lemas – pasu kan tinggi berbanding tanah
  • Kawal saiz pokok dan kawal penyakit dari tanah rumah (contohnya nematode yang rosakkan akar)
Akar pokok tomato rosak angkara root knot nematode dalam tanah kebun.

Cili/Lada

Hubungan orang kita dengan cili memang bagai aur dengan tebing. Boleh kata tiap-tiap hari makan. Kebanyakan lauk mesti ada letak cili.

Dalam spaghetti bolognese pun saya letak cili untuk tambah oomph.

Cili mungkin kita dah banyak kenal kan. Cili kampung, cili padi/bara, cili besar, cili solok. Yang bukan tempatan termasuk jalapeno (tak pedas langsung) dan habanero (lagi pedas dari cili padi).

Ini cili padi putih. Saya suka guna untuk nasik goreng.

Cili jenis perhiasan pun ada. Berwarna-warni buah dia.

Nak tanam jenis apa, ikut suka anda lah. Saya sendiri pun dah tak keep track dah pasal jenis pokok cili yang ditanam.

Yang ni cili padi kampung. Podas.

Asalkan dapat rasa pedas dia tu kan. Saya suka cili padi.

Oleh sebab permintaan (demand) yang sentiasa tinggi, harga cili boleh kata “mahal” jugak la. Apatah lagi lepas pandemik ni, makin melambung pulak harga saya tengok.

Nasi lebihan semalam, goreng dengan cili dan telur pun dah sedap. Tambah sos tiram sikit ke, perasa nasik goreng sikit ke.

Dah jimat RM5-8 kat situ berbanding makan luar. Sikit-sikit jadi bukit. Tomyam tapau hambar? Ha petik cili tambah lagi pedas dia.

Tomato

Tanam tomato sendiri lebih sedap dan manis berbanding tomato supermarket. Ini kerana kita boleh biarkan tomato “masak” lebih sikit kat pokok sebelum tuai (tunggu seminggu selepas jadi merah).

Kita biarkan merah seminggu kat pokok, jadi manis macam anggur.

Tomato pun besar ada, kecil ada, panjang ada. Bentuk labu (orang panggil beefsteak) pun ada ! Bila masak bukan setakat berwarna merah – oren, kuning dan ungu pun ada.

Saya ringkaskan sahaja secara kasar – kita boleh bahagikan kepada dua kategori:

  • Determinate (saya panggil “terhad” dalam BM)
  • Indeterminate (saya panggil “tak terhad” dalam BM)

Determinate. Untuk senang ingat, anggap determinate ini sebagai pokok menegak. Selalunya buah tomato jenis besar.

Tak masak lagi. Jenis besar selalunya tinggi 5-6 kaki sahaja. Sesuai untuk apartment.
  • Selalunya buah tomato jenis besar (macam letak dalam burger, sandwich, nasik ayam)
  • Tinggi maksimum hanyalah sekitar 5 kaki (tidak perlukan struktur penyokong yang tinggi)
  • Selalunya akan mati sendiri selepas habis satu “musim” berbuah (macam timun lah)

Indeterminate pula boleh anggap sebagai pokok menjalar (tapi kita tegakkan pakai jaring). Selalunya buah tomato jenis kecil.

Tomato kecil selalunya pokok menjalar sampai 10+ kaki. Perlu penyokong seperti jaring. Sesuai untuk rumah landed.
  • Selalunya buah tomato jenis kecil (seperti tomato ceri)
  • Tiada tinggi maksimum (selalunya saya biarkan sehingga 8 hingga 10 kaki sebelum trim)
  • Boleh berbunga/berbuah banyak kali tanpa “musim”

Secara teorinya, tomato indeterminate (macam tomato ceri) tidak akan mati sendiri tetapi dalam pengalaman saya, hasil menurun.

Setiap 6 bulan elok kita prepare pokok baru untuk ganti. Pakai keratan dari pokok asal (saya tunjuk kat bawah-bawah nanti).

Saya kurang suka tanam tomato besar sebab perosak suka masuk dalam buah dan bertelur. Tapi ini kat kebun saya (banyak pokok dan bahan reput), mungkin anda tanam kat rumah anda ok saja.

Kalau flat/condo/apartment mungkin lebih sesuai tanam tomato jenis besar sebab pokok tomato jenis tu hanya 5-6 kaki sahaja.

Gambar Semangat

Seperti biasa, saya sertakan sedikit gambar pokok cili dan tomato untuk beri sedikit semangat.

Nak lebat camni kena selalu potong dahan. Belakang tu pokok tomato.
Pokok cili ni saya biarkan tinggi. Sebab tu ada jaring (kongsi dengan pokok tomato).
Hasil petik cili padi hijau.
Sebahagian hasil dari sepokok tomato ceri.
Contoh jaring untuk pokok tomato.
2-3 pokok cili dah cukup untuk rumah.

Semai Benih

Kedua-dua pokok cili dan tomato ada banyak jenis.

Contoh benih cili keluaran Mango Garden.

Memang berbuku-buku kalau nak kenali semua jenis pokok cili dan tomato. Jadi saya ringkaskan saja lah.

Secara peribadinya, saya suka tanam cili padi/api/bara yang jenis cluster. Cili pedas kecil yang berbuah tegak dan banyak sekaligus.

Benih cili keluaran Baba Smart Grow saya suka.

Untuk tomato, kegemaran saya adalah tomato ceriSakura“.

Kegemaran saya. Benih Green World nombor 318.

Ini hanyalah tomato ceri biasa yang berwarna merah apabila masak. Boleh tahan manis dia dan selalunya lebat juga berbuah.

Untuk kedua-dua pokok cili dan tomato, saya suka benih keluaran Green World dan Baba Smart Grow. Mango Garden pun ok.

Kadang-kadang, cili kering dari pasaraya pun saya biarkan je atas tanah. Kalau nasib baik, ada la anak pokok cili yang keluar.

Teknik “campak” ni kadar percambahan sangat rendah. Ikut nasib.

Pokok tomato, saya tidak galakkan untuk guna benih dari buah tomato yang dibeli, sebab kebanyakannya adalah jenis hybrid (kacukan). Kita tak tahu jenis apa yang akan tumbuh nanti.

Saya sarankan pakai paket benih sahaja dulu untuk pastikan yang tumbuh tu adalah jenis pokok cili dan tomato yang kita nak.

Kalau tengok rupa benih tomato dan cili, kita boleh nampak logik kan yang diorang (dan terung) ni sekeluarga. Kecil comel je.

Benih cili rupa lebih kurang saja dengan benih tomato.

Nak semai, saya suka pakai cara seed tray. Tabur terus pun boleh, tapi banyak risiko.

Letakkan seed tray dalam multipurpose tray dan isi air.

Pakai kapas muka pun boleh, tapi sila pindah dalam pasu kecil berisi kompos lepas keluar kotiledon.

1-2 benih tomato/cili dalam setiap kotak seed tray. Itu benih tomato.

Berbanding bendi dan timun, saya suka semaikan saja banyak-banyak walaupun hanya nak 3-5 saja.

Boleh pakai 50% coco peat/coir (sabut kelapa) + 50% kompos. Simple saja, tak perlu rumitkan.

Nak senang, beli je seedling mix.

100% coco peat/coir sahaja tidak digalakkan sebab tiada nutrien…kecuali kalau letak baja cecair, tapi saya tak galakkan cara tu untuk beginner.

Jangan pakai tanah rumah sebab mampat sangat. Ada juga risiko penyakit dan perosak seperti semut (dia gi bawak lari benih kang).

Atau pun kalau nak senang, beli saja media semaian seperti Baba Seedling Mix. Nak pakai tanah campuran kompos pun boleh.

Yang penting, ada kompos untuk nutrien.

Contohnya kalau seed tray ada 40 kotak, semai saja 20+ benih cili belah kiri dan 20+ benih tomato belah kanan. Sekotak tersesat 2-3 benih pun tak apa lah.

Benih cili keluar lambat sikit. Dalam seminggu.

Semai lebih bukan sebab masalah kadar percambahan. Setakat ni memang boleh kata benih dari paket yang saya beli, memang sekurang-kurangnya 80% bercambah.

Lebihan anak-anak benih pokok cili dan tomato yang tidak terpilih untuk kita pindah tanam boleh simpan sebagai backup.

Kalau anak pokok dalam pasu mati, ganti dengan anak pokok backup.

Berbanding anak pokok lain, saya tengok anak pokok cili dan tomato ni macam manja sikit. Terlebih matahari sikit, terlebih baja sikit, terkena perosak sikit, boleh merajuk dan mati terus.

Lepas dah matang, senang saja nak jaga. Cuma peringkat bulan pertama ni saya tengok cerewet sikit berbanding, contohnya, anak pokok terung.

Boleh juga pakai pasu semaian kecik camni. Teknik sama, siram-dari-bawah – letak pasu dalam dulang dan isi air dalam dulang.

Tanam (Pindah-Tanam)

Tanah

Saya galakkan 100% tanah beli (seeloknya, potting mix) untuk tanam pokok cili dan pokok tomato dalam pasu. Yang dalam guni tu.

Contoh tanah beli (Baba Yasa-i Vege Soil)

Jangan campur tanah di kawasan rumah supaya kurang risiko dapat perosak akar. Saya juga tidak galakkan tanam atas tanah untuk beginner kerana susah nak kawal environment dia.

Saya suka pakai tanah 8-dalam-1 atau tanah campuran kompos. Baba Yasa-i Vege Soil pun bagus tapi mahal sikit.

Antara “tanah” kegemaran saya.

Benda boleh buat senang, kita buat cara senang.

Cili

Saya suka pindah-tanam bila anak pokok cili/tomato dah ada 2-3 daun betul (bukan kotiledon).

Nak tunggu seminggu lagi pun boleh.

Nampak beza kotiledon (panjang tajam) dengan daun betul?

Anak pokok cili/tomato boleh pindahkan ke pasu plastik 4-6 inci (macam kat nursery) atau ke pasu besar terus.

Saya sarankan, untuk beginner, pakai pasu 4-6 inci dulu. Plastik ke, tanah liat ke, sabut kelapa ke, polybag ke, tak kisah lah.

Anak pokok cili dalam pasu 8 inci, dan pokok cili dah berbuah dalam pasu 4 inci.

Kelebihan pindah ke pasu kecik dulu:

  • Saiz pokok cili terkawal (rimbun kalau selalu cubit)
  • Cepat sikit berbuah
  • Senang alih untuk cari tempat optimum (matahari ngam-ngam, senang siram, dekat nak petik, etc)
  • Kos tanah murah sebab sikit je perlu

Kekurangan pindah ke pasu kecik dulu:

  • Pokok cili pendek (kalau nak tinggi, boleh upgrade pasu)
  • Risiko terlebih letak baja
  • Air siraman cepat kering (kena siram tiap hari)
  • Kurang stabil (tersepak, kucing langgar, etc)

Keluarkan dari seed tray atau pasu semaian dan jangan leraikan akar. Tanam sekali dengan tanah asal.

Maaf ini pasu besar, tapi sama je cara. Nampak kan tak terlerai pun tanah asal.

Lepas tanam, kalau boleh letakkan sabut kelapa (coco coir/peat) dan kompos sekeliling anak pokok cili. Daun kering pun boleh.

Lepas tu siram lama-lama sikit. Siap!

Tanam dalam sikit pun tak apa. Letakkan kompos sekeliling anak pokok cili.

Pada saya, tidak perlu letak support (contoh batang buluh) lagi. Bila dah berbuah baru letak.

3-4 bulan kemudian boleh alih ke pasu besar sikit, macam 8-12 inci.

Contoh pokok cili asal pasu 4 inci pindah ke pasu 8 inci. Umur 5-6 bulan kot.

Tomato

Anak pokok tomato pun lebih kurang je.

Tunggu ada 2-3 daun sebenar. Bila termasuk kotiledon, jadi nampak 4-5 daun lah yang dah keluar.

Macam ni dah boleh pindah-tanam, atau biarkan je tinggi.
Kita tanam dalam pasu 4-6 inci dulu untuk bagi tinggi cepat.

Kita nak anak pokok tomato tinggi 6+ inci dulu sebelum pindah ke pasu besar. Boleh je tinggal dalam seed tray, tapi lambat sikit.

Bila dah tinggi lebih kurang tangan kita, boleh la pindah pasu besar.

Pokok tomato akan keluarkan akar daripada batang dalam tanah. Maksudnya:

Lagi dalam kita tanam anak pokok tomato, lagi lebat pokok tomato akan berbuah.

Pasu dalam 8-10 inci pun dah boleh. Tapi seeloknya 12 inci (1 kaki/30 cm).
Seluruh batang anak pokok tomato dalam gambar ni, letak bawah paras tanah.

Cucuk lubang dalam tanah pakai paip atau batang besi. Susah sikit kalau nak pakai penyodok biasa tu.

Tanam anak pokok tomato dalam-dalam, sampai dahan pertama. Itu saya cuba letak daun bunga marigold (taik ayam) untuk kawal nematode, tak wajib pun.
Dari tinggi lampai tadi, nampak pendek semula sebab tanam dalam-dalam.

Kalau tak ada jaring lagi, boleh letakkan batang penyokong seperti buluh atau batang besi.

Tu anak pokok bunga matahari, tapi letak batang penyokong camtu lah.

Kemudian seperti biasa, letakkan sabut kelapa dan kompos sekeliling. Siram lama sikit. Siap!

Jangan beri pasu contact dengan tanah. Ada perosak dalam tanah yang sangat suka makan akar pokok tomato.

Seeloknya gunakan piring untuk alas pasu kalau nak letak di kawasan tanah. Asalkan perosak dalam tanah tak boleh masuk dari bawah.

Kalau boleh, letak atas kawasan simen/tile (yang dapat pancaran matahari). Balkoni apartment pun ok.

Penyokong

Saya suka pakai penyokong yang simple sahaja.

Pokok cili, kalau anda nak buat pendek (selalu trim), tak perlu penyokong pun. Batang pokok cili dah cukup kukuh.

Untuk pokok tomato buah besar, boleh pakai “tomato cage“. Cari setinggi yang boleh.

Kalau pokok cili tinggi sederhana macam paras lutut, pakai buluh atau batang besi pun dah cukup. Nak pakai tomato cage pun boleh.

Contoh anak pokok cili dalam tomato cage.
Sangkar tomato macam ni kat Mr DIY pun ada jual.

Untuk pokok cili tinggi dan pokok tomato ceri, boleh pakai jaring nylon (“nylon netting“) yang untuk pokok timun tu. Boleh cari di Lazada atau Shopee.

Ada juga cara lain (contohnya pakai tali), tapi saya paling suka jaring sebab versatile.

Boleh sokong sekaligus pokok cili dan pokok tomato (dan timun, tembikai, terung, etc). Selain tu boleh sokong pokok bunga penarik lebah seperti bunga air mata pengantin.

Bunga air mata pengantin ajak lebah kelulut datang. Maksudnya lebih senang berbuah sebab kelulut tolong pollinate bunga cili dan tomato.

Saya buat sahaja struktur menegak pakai besi slotted angle. Kemudian pasang jaring pakai cable tie.

Nak gantung saja jaring tepi rumah pun boleh. Lagi senang.

Tarik tegang sikit pastu ikat pakai cable tie.
Contoh buah tomato bersandar kat jaring nylon jenis tebal sikit.

Pokok tomato ceri tak pandai memanjat sendiri. Kita kena ikat pokok tomato kat penyokong supaya dia sentiasa tegak.

Atau pun boleh pakai tomato clip. Guna untuk pokok cili pun boleh.

Boleh klip kat jaring macam ni setiap 2-3 kotak jaring. Pokok cili tak perlu klip banyak.

Matahari

Matahari kita terik, bukan macam negara 4 musim. Untuk diorang memang la kena matahari full day.

Untuk pokok cili dan pokok tomato, keperluan matahari untuk kita di Malaysia dan Asia Tenggara ni macam tak masuk akal sikit.

Separuh matahari sahaja. Maksudnya 4-6 jam matahari. Kalau boleh, lebih banyak matahari pagi (timur) berbanding matahari petang.

Contohnya, pokok cili dan tomato saya terletak di kawasan yang dapat matahari pada pukul 10 pagi hingga 3 petang sahaja.

Contoh cahaya matahari pagi.

Kalau letak kat balkoni apartment/condo yang dapat matahari, senang lah. Memang takkan dapat matahari sepanjang hari kan.

Pokok cili kita boleh letak pasu indoors. Pastikan letak tepi tingkap yang dapat matahari petang (dari barat). Matahari pagi untuk indoors sudah tertapis banyak dan mungkin tidak cukup kuat.

Masa mula-mula dulu saya fikir, pokok cili kan pedas…mesti lah nak panas-panas kan.

Tapi lepas letak pokok cili di kawasan matahari terik, daun jadi berkedut! Pokok pun cepat mati sebab stress.

Pokok tomato pulak, bunga banyak gugur sebab panas sangat. Lepas pindah ke kawasan kurang terik sikit, eh lebat buah.

Daun pokok cili kedut mungkin bermaksud terik sangat. Tak mudarat pun.
Nak daun cantik boleh letak berdekatan pokok besar atau shade cloth 50%.

Kalau hanya boleh letak pokok kat luar rumah di kawasan yang:

  • dapat matahari seharian atau tengahari hingga petang, dan
  • nampak pokok kurang sihat contohnya daun kedut/kuning, bunga gugur, nampak layu walaupun tersiram, etc…

Macamana?

Boleh cuba pakai shade cloth yang halang 50% cahaya matahari.

Kalau masalah bunga gugur, boleh cuba shade cloth 50%.

Ini bukan petua semata-mata, memang ada research study pasal ni di Texas (iklim lebih kurang panas macam kita).

Pastikan shade cloth 30% hingga 50% saja ya, 70% terlalu teduh.

Cubit/Trim/Buang Daun

Pokok Cili

Pokok cili ni…ikut citarasa masing-masing lah. Nak pokok tinggi atau pokok pendek. Tapi kedua-duanya saya akan “cubit” semasa peringkat anak pokok dah tinggi dalam 4-6 inci.

Maksudnya buang hujung dahan pokok cili. Pastikan masih ada daun yang tinggal kat pokok.

“Cubit” dan buang hujung anak pokok cili. Gunting pun boleh.

Tujuan “cubit” hujung anak pokok cili adalah supaya anak pokok cepat keluarkan cabang.

Kalau tak buat cabang awal-awal, pokok cili kurang stabil.

Hasil sekali cubit. Makin banyak cubit, makin rendang.

Kalau nak pokok cili pendek dan rendang (dan harap-harap cili yang lebih banyak), amalkan “cubit” atau trim pokok cili setiap 2-3 minggu.

Rendang dan pendek sebab selalu kena trim.

Untuk pokok cili yang saya plan untuk buat tinggi, saya cubit sekali dua sahaja semasa peringkat anak pokok.

Bila batang pokok cili dah nampak tebal dan berkayu sikit, kita boleh trim dengan lebih agresif. Bab trim-trim ni, pokok cili lasak sikit.

Ikut suka lah nak trim camne, asalkan ada daun tinggal kat pokok.

Pokok cili tinggi sila buang daun dan dahan belah bawah.

Hujung dahan yang kita potong, selalunya akan keluar cabang. Cabang-cabang ni buat pokok cili kita lebih stabil dan nampak “cantik” sikit.

Pokok Tomato

Untuk pokok tomato, sila buang daun dalam bahagian separuh bawah pokok untuk:

  • kurangkan risiko penyakit yang datang dari tanah
  • galakkan nutrien pergi ke bunga dan buah

Selain tu, bila pokok tomato dah mula berbuah, kita boleh potong beberapa dahan 45 darjah yang berlebihan.

Contoh dahan 45 darjah kat pokok tomato. Boleh potong dan tanam balik.

Keratan dahan 45 darjah tu kita boleh tanam dalam pasu lain untuk jadi pokok tomato yang baru.

Dahan 45 darjah ni memang lah keluarkan bunga dan buah, tetapi kalau banyak sangat, nanti akan berebut nutrien.

Kalau berebut nutrien, kualiti buah tomato akan turun (lebih kecil, kurang manis). Pada saya, buang dalam separuh dah ok.

Ada juga yang buang semua dahan 45 darjah tu. Kita panggil “single stem system”. Pada saya, itu lebih sesuai untuk petani tomato. Tidak berbaloi untuk pokok tomato di rumah.

Siram

Sehari sekali.

Kalau boleh, siram sebelum pokok kena pancaran matahari.

Kalau tanah kering (lebih-lebih lagi dalam pasu) semasa dapat matahari, pokok susah nak buat fotosintesis.

Kalau siram secara manual, halakan air pada pangkal pokok. Kita nak kurangkan risiko kena fungus.

Contoh (anak pokok bunga matahari).

Untuk kurangkan air tersejat, letak sabut kelapa (coco coir/peat) sekeliling pokok. Kita panggil ni sungkupan (mulch).

Pada saya, lebih senang pakai micro-drip irrigation. Nak lagi senang, pakai garden timer.

Contoh micro-drip kat anak pokok cili.

Ini bukan fertigasi. Tidak perlu pam atau tangki simpanan air.

Sambungkan sahaja ke kepala paip.

Bukak air kat kepala paip, dan serentak terus tersiram. Biarkan dalam 10 minit pun dah cukup.

Satu lagi contoh micro-drip kat pokok cili.

Saya bantai biar 30 minit (pakai timer) pun ok sebab air lebihan akan mengalir keluar dari pasu.

Baja

Jadual pembajaan senang sahaja. Setiap 2 minggu.

Mula-mula pakai baja kompos (bahan organik reput) sahaja.

Corak pembajaan di bawah adalah untuk kurangkan risiko pokok mati, itu saja. Untuk beginner, ikut di bawah dulu.

Bila dah berpengalaman, boleh je terus pakai baja NPK tabur atau baja cecair kimia buatan (seperti AB).

Semasa peringkat anak pokok, pakai baja kompos dan daun kering sahaja. Teruskan macam ni sampai dah nampak bunga keluar.

Bila pokok cili dah mula keluar bunga macam ni, boleh tukar ke NPK tabur.

Selepas dah berbunga, ada banyak pilihan. Saya paling suka gilir-gilirkan baja tahi kambing dan NPK tabur.

Contohnya 1 haribulan saya letak tahi kambing tebal-tebal sekeliling pokok. Lepas tu 15 haribulan pulak saya taburkan secubit mesra baja NPK tabur.

Baja NPK tabur ni…untuk beginner, saya sarankan pakai NPK yang seimbang dulu seperti 15:15:15.

Sebenarnya untuk pokok cili dan pokok tomato, seeloknya cari nombor NPK yang tinggi huruf P dan K untuk fokuskan nutrien kat bunga/buah cili dan tomato.

Apabila dah berbuah, boleh tambah sedikit liquid fertilizer setiap 2 minggu. Ini untuk banyakkan lagi buah cili dan tomato.

Untuk beginner, elok guna yang organic untuk kurangkan risiko pokok cili dan tomato mati akibat terlebih nutrien.

Organic liquid fertilizer ni kena larutkan dalam air dulu, jangan curah terus ya. Saya sarankan dua jenis:

  1. Fish emulsion atau hydrolysed fish fertilizer
  2. Seaweed/Kelp fertilizer

Boleh sembur atau curah sahaja sekeliling pokok. Sama saja setiap 2 minggu. Nak stop baja NPK tabur dan kompos pun boleh.

Selain tu, sisa siang ikan boleh tanam tepi pokok. Tanam dalam sikit, nanti ada pulak haiwan gali.

Pendebungaan

Pokok cili dan pokok tomato, seperti sayur berbuah yang lain, ada kedua-dua bunga jantan dan betina. Dalam bunga ada “serbuk” debunga atau pollen.

Maksudnya ada satu pokok pun dah cukup untuk debunga ziarah-menziarah supaya keluar buah. Ini kita panggil pendebungaan atau pollination.

Contoh gambar bunga tomato yang akan jadi buah tomato.

Selalunya angin atau serangga yang akan tolong “goyangkan” bunga cili dan tomato supaya debunga berterbangan.

Kita panggil serangga tu “pollinators” – lebah kelulut dan rama-rama contohnya. Lebah kelulut tidak menyengat, takyah risau.

Ini boleh timbulkan masalah untuk kebun baru atau di kawasan perumahan atau balkoni condo/apartment, sebab kadang-kadang:

  • Angin terhalang oleh tembok batu, bangunan, etc
  • Populasi pollinators kurang sebab kurang/takde bunga

Cara galakkan pendebungaan yang paling senang dan hands-off adalah tanam bunga untuk tarik lebah kelulut dan rama-rama.

Oleh itu, mungkin kita masuk campur sedikit.

Tidaklah perlu buat teliti sampai kena pakai berus kat bunga. Kita menanam kat rumah untuk makan sendiri-sendiri je.

Untuk tanaman pokok cili dan pokok tomato di rumah, saya suka 3 cara “manual” untuk pendebungaan yang mudah:

  1. Tepuk-tepuk pokok (manja-manja je)
  2. Pakai berus gigi eletrik untuk urut pokok
  3. Goyang-goyangkan pokok

Tujuannya adalah untuk buat debunga berterbangan.

Kalau bunga “tertutup” macam ni, maksudnya akan jadi buah.

Seminggu sekali pun dah cukup. Tapi kalau boleh, tiap-tiap kali lalu kebun buat lah. Kira sampai 10 saat. Lama sikit pun boleh.

Daripada pengalaman saya, cara “manual” lebih lebat berbuah berbanding cara tanam bunga. Tetapi pada saya, hasil lebih tu tidaklah berbaloi sangat sebab banyak yang tak terpetik.

Jadi, pada pendapat saya, elok lah tanam bunga sahaja untuk menarik serangga pollinator. Jimat masa dan tenaga kita.

Kalau boleh, tanam bunga yang banyak nektar (bahan buat madu) ya.

Yang jenis memanjat, saya cadangkan dua yang mudah:

  1. Bunga air mata pengantin (Antigonon)
  2. Thunbergia
Bunga air mata pengantin (pink) dengan thunbergia (purple putih)

Sila tanam dalam pasu dan lapik dengan piring supaya tidak tersebar dengan tidak terkawal. Pokok bunga memanjat boleh kongsi jaring dengan pokok cili dan tomato.

Antara bunga tidak memanjat yang mudah ditanam dalam pasu:

  • Gomphrena (bunga butang) dan celosia
  • Vinca (kemunting cina)
  • Zinnia
  • Ixora (bunga jarum)
  • Lantana (tahi ayam)
  • Marigold (tahi ayam jugak)
Contoh bunga vinca sebelah pokok cili pendek.

Bunga tidak memanjat takde lah tersebar sangat. Terpulang nak tanam dalam pasu atau tanah.

Bunga Lantana Camara. Bau dia boleh halau perosak sikit.

Beli saja dari nursery, tak perlulah bazir masa untuk semai benih.

Kawalan Perosak

Ha, perosak pokok tomato dan pokok cili yang paling menyakitkan hati sekali adalah aphid. Kecik-kecik je tu, kita susah nak nampak.

Kalau nampak ada putih-putih macam sarang labah-labah bawah daun, maksudnya ada la serangan aphid kat pokok.

Contoh “honeydew” bawah daun akibat aphid.

Kita kena cegah awal. Kalau tak bernasib baik, penyakit akan masuk dalam batang pokok bila diorang gigit.

Kalau biarkan aphid berleluasa:

  • Buah jadi cacat, terutamanya tomato
  • Pokok cepat mati
  • Banyak semut datang

Jadi untuk kawalan, saya suka pakai dua jenis spray, iaitu:

  • Neem spray (seperti biasa)
  • Cili padi dan bawang putih (tumbuk atau blend) dilarutkan dalam air
Neem spray seminggu sekali. Spray air cili + bawang putih pun ok.

Semburkan seminggu sekali, sekurang-kurangnya. Pastikan kena atas bawah daun ya. Sembur waktu pagi atau lewat petang sahaja.

Selain tu, boleh tanam pokok yang keluarkan bau. Contohnya selasih dan pudina. Tanam sepasu atau dalam pasu berdekatan dengan pokok cili dan pokok tomato.

Selasih belah kiri. Maaf daun cili kedut sikit, kawasan terik.

Serangga perosak kurang suka bau yang datang dari selasih dan pudina ni. Mudah sikit kerja kita nak mengawal perosak kan.

Pokok bunga Lantana (taik ayam) pun elok. 2-in-1 la kiranya, tarik serangga pollinator dan halau serangga perosak.

Pokok tomato ni, ada penyakit yang kita panggil “blossom end rot” – macam buah tomato reput semasa membesar.

Contoh “reput” akibat penyakit yang dibawa oleh aphid.

Ini mungkin sebab penyakit yang berjangkit melalui perosak, atau pokok kurang mampu untuk serap kalsium.

Untuk bantu pokok serap kalsium, Epsom salt (magnesium sulfate) boleh amalkan tabur setiap 2 minggu. Bantai je tabur segenggam dua sekeliling pokok cili dan tomato.

Kalau buah reput kat pokok disebabkan penyakit…memang tak boleh buat apa. Cabut dan buang. Kita boleh nampak pokok tu berpenyakit kalau daun pokok bergulung di hujung dan nampak terbantut.

Tuai

Cili, selalunya dalam dua minggu selepas bunga kita boleh tuai dah. Tomato lama sikit.

Potong kat pangkal.

Buah tomato kan, selepas dah mula merah, kalau boleh biarkan dulu kat pokok selama seminggu. Ini boleh buatkan tomato jadi lebih manis dan sedap.

Tomato kalau boleh tinggalkan merah kat pokok dalam seminggu.

Nak petik terus pun tak apa. Saya suka petik satu-satu kemudian gunting dahan pemegang buah tu kat pangkal.

Tomato tak sedap (masam) kalau petik masa hijau, walaupun bila jadi merah beberapa hari selepas petik.

Cili boleh saja petik semasa hijau.

Sebenarnya saya lebih suka gunakan cili untuk masak semasa masih hijau, rasa dia lebih sedap…tapi tu citarasa peribadi masing-masing lah.

Macam ni dah boleh petik. Pada saya, lebih sedap yang hijau.

Ada jenis cili yang memang warna dia bukan merah, contoh cili padi putih atau cili ungu.

Selalu petik cili ya. Jangan biarkan cili masak lama-lama kat pokok.

Pokok boleh jadi tak sihat disebabkan berebut tenaga untuk buat benih.

Jangan biarkan sampai jadi benih macam di atas. Petik selalu.

Potong di pangkal buah cili ya semasa petik. Kalau nak pokok cili sentiasa kecil, saya sarankan trim dahan sekali semasa petik cili.

Terima Kasih

Saya sarankan untuk manage expectations.

Kali pertama memang akan kurang menjadi. Tak apa, tengok balik apa yang mungkin tersilap dan cuba lagi.

Kumpul pengalaman tanam pokok cili dan tomato dengan mencuba dengan tangan sendiri. Yang penting adalah pengalaman sendiri.

Baca/tengok dan belajar daripada pengalaman orang lain dan gunakan ilmu tersebut secara praktikal…sebab lain orang lain hasil.

Mungkin anda akan dapat cara sendiri yang lebih bagus daripada cara saya.

Kalau dah sampai ke sini, terima kasih sudi membaca! Harap artikel ni dapat bantu anda sedikit sebanyak.

[Dalam Pasu] 🍆 Cara Saya Tanam Pokok Terung

Pengenalan

Terung. Nampak sambal terung di kedai nasi campur, memang saya tidak teragak-agak untuk cedok letak dalam pinggan. Memang antara lauk kegemaran saya.

Kalau masak di rumah, saya amat gemar letakkan potongan terung dengan sos bolognese San Remo bersama daging kisar Ramly. Boleh rujuk artikel resepi spaghetti bolognese.

Dulu saya bantai campak alang-alang ada terung lebih. Tak expect sedap pun, tapi lepas cuba makan, rasa sesuai sangat terung dalam kuah bolognese (atau ragu kalau nak rasa macam orang Itali).


Kelebihan besar tanam terung di rumah adalah pokok terung ini boleh membuahkan hasil dengan lama. Lebih-lebih lagi jika tanam di atas tanah. Saya pernah 2 tahun lebih terung berbuah banyak sebelum pokok “pencen”…tetapi itu tanam direct kat tanah kebun.

Jika tanam dalam pasu mungkin boleh dapat hasil konsisten sehingga 1 tahun sebelum pokok jadi “penat lelah” – tetapi pembajaan dan penyiraman kena lebih jaga sedikit. Ini lebih kepada masalah saiz pasu, bukan masalah pokok.

Kita panggil pokok tahan lama macam terung ni perennial – maksudnya hidup beberapa tahun. Namun begitu, selalunya kita tanam semula setiap tahun sebab pokok tak keluarkan hasil sangat dah selepas “pencen”.

Gambar Semangat

Sebelum kita mulakan dengan cara-cara menanam pokok terung ni…mari saya tunjuk dulu gambar hasil. Boleh cetuskan semangat sedikit untuk anda jadikan matlamat.

Yang panjang sekali tu berukuran lebih 1 kaki!
10 inci. Maaf measuring tape dah karat (selalu celup dalam akuarium).

Kesemua gambar ini merupakan gambar hasil tuaian daripada pokok terung yang saya tanam dalam pasu! Tak perlu ada kebun, asalkan ada kawasan yang dapat matahari penuh.

Hasil tuaian semakin pendek sebab makin banyak buah sepokok.
Contoh bunga terung yang sedang kembang.

Semai Benih

Terung ada banyak jenis. Panjang ada, bulat ada. Terung jenis warna kuning macam pisang pun ada.

Selalunya yang kita banyak nampak di pasaraya adalah jenis panjang dan bulat yang berwarna ungu lah. Saya suka tanam jenis ungu panjang kerana sebiji sahaja pun dah cukup untuk buat masak.

Untuk jenis terung panjang, saya gemar semai benih keluaran jenama Baba Smart Grow. Kalau anda tak jumpa, boleh juga gunakan keluaran Green World. Dua itu sahaja yang saya berani recommend buat masa sekarang.

Seperti sawi dan tomato, saya gemar gunakan teknik semaian modular. Maksudnya bukan tabur terus benih – kita gunakan seed tray, sarang telur, atau pasu kecil khas untuk semaian.

Yang penting, benih berasingan dalam ruang masing-masing. Saya juga sarankan guna teknik siram-dari-bawah untuk semaian.

Ini bermaksud dulang atau piring adalah diperlukan. Kalau guna sarang telur plastik, pastikan lubang ditebuk supaya air boleh diserap ke dalam media semaian.

Nampak tak air?

Untuk tanah/media semaian, saya sarankan guna Baba Smart Grow. Atau cari sahaja tanah campuran kompos mana-mana.

Selalunya media semaian sudah ada nutrien yang datang dari baja kompos. Nutrien daripada kompos selalunya tidak terlalu “kasar” sehingga boleh memudaratkan anak benih.

Tanam (Pindah-Tanam)

Selalunya dalam dua minggu selepas semai, anak pokok terung dah keluarkan dalam 3-4 daun “sebenar” (bukan kotiledon).

Sarang telur plastik pun boleh. Pastikan tebuk lubang kat bawah ye.

Ini bermaksud kita sudah boleh pindahkan modul anak benih ke dalam pasu (atau tanah). Tak semestinya kita perlu letak ke pasu besar terus, pasu plastik 4 inci pun boleh untuk sementara.

Untuk pasu, saya sarankan pilih yang berukuran 1 kaki lebar dan 1 kaki tinggi. Lagi besar lagi bagus. Tetapi minimum 1 kaki lah. Pokok terung ini sederhana besar jadi kita perlu sediakan ruang untuk akar.

Pakai tanah campuran, jangan pakai tanah rumah dalam pasu. Kemungkinan boleh jadi mampat dan lemaskan akar pokok.

Keluarkan dari kotak semaian (contohnya sarang telur plastik) bersama tanah semaian sekali. Jangan kacau akar dia, tak perlu leraikan tanah semaian.

Cucuk lubang dalam tanah pasu (atau tanah) agak-agak muat dan tanam. Tekankan sedikit tanah sekeliling selepas tanam. Pastikan kita tidak nampak akar terkeluar dari tanah.

Dia terdongak tengok langit sedikit tak apa. Nanti dia betul sendiri.

Letakkan batang penyokong terus di belakang anak pokok dan ikat menggunakan twist tie. Penyokong boleh gunakan potongan buluh, batang besi lebih, batang paip.

Contoh. Ini anak pokok bendi, saya lupa tangkap gambar yang terung punya.

Kadang-kadang saya malas, pakai sahaja keratan batang buluh Jepun. Ini berisiko, anak pokok buluh Jepun boleh tumbuh.

Selepas itu, terus lah letakkan baja kompos sekeliling anak pokok terung tersebut. Kalau tak ada baja kompos, letak secubitttt sahaja baja NPK dan jauh sedikit dari anak pokok terung.

Letak kompos sekeliling anak pokok. Ini timun, tapi sama je cara.

Saya juga galakkan letak sungkupan (mulch) sekeliling anak pokok terung selepas letak kompos. Contohnya daun kering atau sabut kelapa (coco coir). Boleh jugak letak hasil potong rumput.

Contoh mulch pakai coco coir. Ini anak pokok bunga matahari.

Mulch boleh tolong stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan tanah jadi kering. Kurang risiko untuk anak pokok tu “terkejut”. Selain itu, bila mulch tu mereput, dia akan jadi baja organik.

Anak pokok terung, 2 minggu selepas pindah.

Matahari

Daripada segi keperluan matahari, terung ini ringkas sahaja. Matahari penuh. Tak boleh separuh matahari dan dah tentu tak boleh tanam di tempat teduh.

Sebab itu saya suka tanam dalam pasu. Kita boleh alih-alih pokok terung untuk cari kawasan yang optimum untuk pokok terung.

Matahari penuh tidaklah bermaksud dari Subuh sampai Maghrib, tidak. Cuma 6 jam sudah cukup. Lagi lama lagi bagus, dan lagi terik lagi bagus. Saya maksudkan “terik” sebagai matahari dalam lingkungan 11.30 pagi hingga 4.30 petang…agak-agak sahaja.

Saya letakkan pasu pokok terung di kawasan yang dapat matahari dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Jadi dapat lah dalam cahaya matahari lembut dalam 2 jam lebih dan cahaya terik dalam 3 jam lebih.

Jadi kalau ada kawasan yang cahaya matahari yang sedikit terhalang oleh atap seperti saya, tiada masalah pun. Sebelum pukul 10 dan selepas pukul 4, pokok terung saya duduk berteduh. Lebat sahaja berbuah, cuma tak boleh banding yang dapat matahari seharian lah.

Siram

Pastikan selepas pindah-tanam, terus siram ya. Siram banyak-banyak sedikit. Kita nak beritahu akar pokok terung, “ini rumah baru awak, tak perlu stress dan teruskan membesar ya love you”.

Pastikan siram sebelum atau semasa pokok terung terima cahaya matahari. Seeloknya pagi atau tengahari. Saya siram pukul 11 pagi. Sekali sehari sahaja.

Halakan kat pangkal.

Kenapa? Tujuan air antaranya adalah untuk membantu proses fotosintesis pokok terung. Kalau tanah kering semasa pokok dapat cahaya matahari, rugi lah kan. Susah lah dia nak fotosintesis.

Untuk pokok terung yang dalam pasu, saya gemar gunakan teknik micro-drip irrigation. Cara ini memanglah jenuh sikit nak memasang pada awalnya, tetapi sangat mudah untuk siram setiap hari.

Pakai micro-drip lagi senang.

Pusingkan kepala paip dan siram berdozen pokok sekaligus! Mulakan timer pada phone dan sambil tu buat la kerja lain.

Letakkan satu mata air dalam setiap pasu berdekatan dengan batang pokok terung. Saya biarkan air mengalir dalam 20 hingga 30 minit. Nak lagi senang, automatic timer pun ada dijual.

Nak siram secara manual pun boleh. Ikut atas orang. Pastikan sembur air dalam pasu sekurang-kurangnya setengah minit hingga seminit lebih.

Yang penting adalah tanah mempunyai air untuk diberikan kepada pokok terung sebelum/semasa pokok dapat cahaya matahari.

Baja

Baja ini, atas orang. Ada yang suka 100% organik (seperti kompos), ada yang kimia sahaja (seperti NPK), ada yang campur. Saya campur (kompos sehingga berbunga, kemudian NPK dan tahi kambing setiap 2 minggu).

Kalau anda baru pertama kali tanam pokok terung, saya sarankan gunakan kompos dan tahi kambing sahaja sehingga pokok pencen.

Contohnya ini tahi kambing yang dicampur dengan kompos sawit.

Letakkan sejumlah 1 balang kecil (yang buat isi kuih tu) sekeliling pokok seminggu sekali. Biar sampai tertutup tanah tu, boleh buat sebagai sungkupan/mulch.

Bukan apa, cuma nak mengelakkan daripada terlebih nutrien sehingga pokok boleh “melecur”. Baja kompos dan tahi kambing ini bersifat pemaaf sedikit, lebih pun tak apa.

Kalau rasa yakin, boleh guna kompos/tahi kambing sehingga pokok terung berbunga sahaja. Saya anggarkan dalam dua bulan lah selepas semai mengikut pengalaman.

Maaf, gambar timun lagi. Macam ni lah lebih kurang untuk tabur baja NPK.

Selepas dah nampak 2-4 bunga dan nampak bunga tu dah kembang, boleh lah letakkan sedikit NPK seimbang. Kalau NPK 15:15:15, sedikittt sahaja, dalam setengah cubit.

Bergantung pada nombor NPK tu jugak. Kalau 10:10:10 boleh lah letak secubit. Untuk pokok terung, pakai NPK yang semua nombor sama sahaja, senang cerita.

Setiap dua minggu, boleh letak dalam secubit dua baja NPK seimbang. Pokok pun makin besar dan makin banyak buah kan.

Saya agak-agak sahaja. Setakat ini, yang paling menjadi untuk saya adalah campuran secubit baja NPK 15:15:15 bersama sebalang sederhana tahi kambing, setiap 2 minggu. Hasil anda mungkin lain.

Oh ya, boleh juga sembur chitosan kadang-kadang sebagai penggalak. Saya tak buat pun.

Perosak/Penyakit

Dah nama pun pokok, mesti lah ada perosak dan penyakit kan. Namun begitu, untuk pokok terung, saya tidak berapa risau sangat.

Kalau nak kurangkan risiko, letakkan di kawasan yang banyak dapat matahari dan mempunyai peredaran udara yang bagus (contohnya bukan di sudut dinding batu).

Seperti biasa, semburkan sahaja neem spray setiap minggu sebagai pencegahan organik. Itu sahaja saya buat. Kita tanam di rumah sahaja, tak perlulah racun kimia buatan.

Sila sembur pada waktu pagi atau lewat petang sahaja ya. Kandungan minyak neem boleh “goreng” daun kalau kena matahari terik.

Memang akan ada serangga seperti belalang yang makan daun sedikit, walaupun sudah disembur neem. Tetapi tidaklah merosakkan macam, contohnya, kumbang yang makan daun pokok timun.

Selalunya, pokok terung saya akan dapat penyakit semasa musim hujan. Fungus dan virus akan (contohnya) naik bertebaran dari tanah akibat pukulan air hujan. Serangga pembawa penyakit seperti aphid pun boleh kata lebih banyak apabila persekitaran basah memanjang.

Oleh itu, semasa musim hujan, boleh semai semula untuk ganti pokok terung. Pada saya, tidak berbaloi lawan kuasa musim hujan. Ganti sahaja pokok terung dengan batch seterusnya.

Contoh penyakit akibat musim hujan.

Saya tidak pernah lagi mengalami masalah siput/lintah/etc tetapi tabur sahaja racun siput seminggu sekali kalau nak. Saya tak buat pun untuk pokok terung walaupun musim hujan.

Potong/Pangkas

Rimbun sangat ni. Kena buang daun sikit supaya terung besar.

Pokok terung ini boleh membesar sampai setinggi manusia. Tinggi sangat nanti tumbang pulak, batang pokok kurus sahaja. Tidak lah selalu, mungkin 2 bulan sekali pun dah cukup.

Cabang bahagian bawah boleh buang.

Selain itu, kita perlu buang sedikit cabang supaya tidak terlalu banyak nutrien dari baja diambil untuk tumbesaran batang dan daun sahaja.

Kita perlu kawal “belanjawan” nutrien supaya nutrien banyak disalurkan kepada bunga dan tumbesaran buah terung. Banyak mana nak potong, nak potong stail macamana, itu terpulang lah.

Cuba dan bantai sahaja. Pastikan ada daun yang tinggal cukup untuk teduhkan buah terung (supaya terung tak sunburn). Jangan buat semua daun macam pokok mulberi, susah nak fotosintesis nanti.

Daun belah atas boleh teduhkan buah terung.

Saya potong sikit-sikit sahaja. Contohnya cabang yang meliar sangat, saya pangkas. Kalau rasa lebar sangat sampai nak tumbang, saya trim sikit. Daun bawah yang tak kena matahari, saya buang.

Cabang yang dah dipangkas boleh dibuat baja dan mulch. Mungkin potong kecil-kecil dan letakkan sekeliling akar pokok. Saya campak sahaja di tanah untuk buat baja pokok buah.

Tuai Hasil

Selalunya dalam 2 bulan selepas semai, bunga akan muncul. Apabila kita nampak bunga tu kembang, kita boleh expect terung boleh dituai dalam masa seminggu.

Kelopak bunga gugur maksudnya akan berbuah.

Ya, terung perlukan masa seminggu lebih sahaja untuk dituai selepas berbunga. Lebih kurang macam timun walaupun bukan bersaudara.

Untuk beberapa buah pertama, saya nampak kebanyakan saiz terung agak panjang. Ini kerana nutrien daripada baja tidak lagi “direbut” kerana daun pun sikit dan pokok pun pendek lagi.

Ini dalam 2 hari selepas bunga gugur. Memang putih awalnye.

Selepas pokok semakin tinggi dan lebar, hasil terung yang seterusnya akan jadi pendek sedikit. Masih panjang, cuma tak sepanjang hasil dulu.

Aduh blur pulak.

Saiz terung bergantung pada corak pembajaan kita juga. Contohnya untuk corak pembajaan saya, hasil seterusnya menjadi sedikit pendek dan gemuk.

Dalam 4 hari dah boleh nampak bentuk dia.

Saya pernah dapat terung yang jadi melengkung macam boomerang. Nak kata sebab jaring (ini sebab timun saya melengkung), saya tak pakai jaring.

Mungkin sebab saya terlupa baja dan kurang siram waktu tu. Mungkin sebab lain. Tapi itu lah yang saya nampak.

Kadang-kadang ada terung yang berbuah di luar kawasan “payung” daun. Ini boleh menyebabkan sunburn. Pada saya tiada masalah pun, isi dalam tidak terjejas pun. Cuma buruk lah sedikit.

Daripada pengalaman saya, terung dalam pasu 1 kaki akan mula mendatangkan hasil yang menggalakkan dalam lingkungan umur 3 hingga 8 bulan. Kalau tanam dalam tanah boleh lama sikit.

Saya suka potong halfway dari batang.

Umur 4-6 bulan boleh kata tak termakan. Setiap 2 hari boleh petik dalam 2-3 terung sepokok. Itu baja 2 minggu sekali lah.

Pokok terung dalam pasu selepas 7-8 bulan hasil akan berkurangan sedikit demi sedikit tak kira lah baja terjaga pun. Pada umur setahun, mungkin elok cabut sahaja dan ganti pokok baru.

Kesimpulan

Kalau boleh tanam 1 pokok sahaja, saya akan tanam pokok terung. Ini kerana pokok terung sangat senang dijaga, boleh ditanam dalam pasu, kurang penyakit dan perosak, dan berbuah banyak kali.

Selain itu, pokok terung sangat sesuai di tanam dalam iklim khatulistiwa kita. Nak masak pun banyak cara dan sesuai dimasukkan dalam banyak jenis kuah.

Anda pun boleh detect yang saya dah tak ada idea nak tulis apa kan. Ok lah, sampai di sini saja. Selamat menanam!

[Dalam Pasu] Cara Saya Tanam Pokok Kacang Bendi 🌱

Pengenalan

Siapalah yang tak kenal sayur kacang bendi. Celur buat ulam sahaja pun dah sedap, lagi-lagi dengan nasi kandar. Satu lagi masakan bendi yang saya sangat suka adalah asam pedas bendi.

Asam pedas pakai bendi “tua” sikit pun tak apa.

Jujurnya, selalunya saya air fry sahaja bendi tu. Saya hanya tanam “sepasang” pokok bendi (dalam pasu 8 inci) dan hampir setiap hari saya kena petik. Malas nak masak lauk canggih, air fry saja lah.

Kunyit sikit, minyak sikit.

Untunglah kita yang tinggal dalam Asia Tenggara kerana pokok bendi sangat senang ditanam di sini. Saya rasa pokok bendi lebih senang daripada pokok terung – tetapi saya lebih suka terung.

Boleh dikatakan bendi adalah pokok perennial (hidup lebih 2 tahun), asalkan kita rajin petik buahnya. Bendi saya dalam pasu dah berumur setahun lebih pun masih banyak berbuah, tidak seperti terung atau tomato (umur dalam 10 bulan, hasil mula berkurangan).

Tahukah anda bahawa bendi ini adalah saudara kepada bunga raya (dan rozel)? Pada mulanya saya pelik, tapi apabila tengok pokok bendi berbunga, oh logik jugak. Rupa bunga lebih kurang.

Bunga bendi. Nampak macam bunga raya kan?

Gambar Semangat

Sebelum belajar cara tanam pokok kacang bendi ni, mari tengok gambar hasil dulu sebagai motivasi.

Pokok bendi berbuah banyak sekaligus.
Saiz macam ni dah boleh dipetik.
Beza warna bendi lembut (kiri) dan bendi keras.
*Terung grown seperately.


Semai Benih

Seperti pokok tomato, terung, cili, sawi dan sebagainya…bendi ada banyak jenis. Ada jenis montel, ada warna merah, putih pun ada.

Tapi selalunya yang kita nampak di pasaraya dan kedai makan yang jenis hijau panjang tu lah. Kacang bendi jenis hijau panjang itu lah yang saya demonstrasikan dalam artikel ni.

Jadi, untuk tanaman pokok kacang bendi ni…saya sangat suka benih keluaran Baba Smart Grow. Dalam sepaket dapat berpuluh-puluh jugak lah. Sekali semai mungkin perlu 3-6 benih sahaja.

Pokok kacang bendi ni, daripada pengalaman saya lah, purata benih bercambah memang sangat bagus. Oleh itu, kita tidak perlukan banyak benih semasa semai…bukan macam benih daun sup, contohnya.

Untuk kebanyakan orang, saya sarankan dua sahaja pokok kacang bendi. Nak dapat dua pokok kacang bendi, dua benih sahaja pun dah cukup. Tetapi just to be safe, semai lah 3-6 benih bendi.

Benih bendi besar berbanding tanaman sayur berbuah lain.

Benih yang diperlukan sedikit sahaja kan. Ini bermaksud kita tidak perlukan dulang semaian (seed tray) seperti sawi. Saya suka pakai pasu plastik semaian (yang kecik tu) dan dulang/piring cetek.

Ada benih cepat, ada benih lambat.

Nak semai terus dalam pasu besar atau tanah kebun pun boleh, itu betul. Cuma teknik semai macam ni mengurangkan risiko anak benih dimakan siput atau biji benih dilarikan serangga/burung/hantu.

Letakkan tanah semaian atau kompos dalam pasu semaian. Untuk semai kacang bendi ni, pakai lah tanah campuran jenama apa pun. Saya suka pakai tanah semaian jenis Baba Seedling Mix.

(Contoh tanah semaian) Pakai sarang telur pun boleh.

Peat moss dan coco coir pun boleh, tetapi anda kena campur baja kompos. Bahan-bahan tu tiada nutrien, boleh terbantut anak bendi. Sebab itu saya suka beli sahaja tanah semaian sebab sudah ada baja.

Cucukkan benih masuk dalam tanah. Kita nak benih tu merempat kegelapan bawah paras tanah. Ini menaikkan lagi purata percambahan benih kacang bendi ni.

Selepas itu, isikan dulang atau piring cetek dengan air. Ini adalah teknik siram-dari-bawah yang memastikan tanah semaian sentiasa lembap. Tidak perlu kita siram secara manual tiap-tiap hari.

Tanah semaian perlu lembap sebagai salah satu signal kepada benih kacang bendi untuk mula bercambah. Biarkan sahaja dalam 3-5 hari, nanti nampak la dia “bangun” keluar.

Semasa semai, kita boleh letakkan di mana-mana sahaja. Tidak perlu matahari. Selepas anak benih sudah keluar, sila alih ke tingkap timur atau barat, atau kawasan luar yang menerima matahari pagi sahaja.

Tinggi lampai sebab nak kejar matahari (tingkap timur).

Jangan letak anak benih di tempat matahari terik kerana anak benih boleh “terkejut”. Bayangkan anak baru nak masuk tadika terus kena belajar algebra.

Kalau dulang/piring dah kering, isi balik ya air. Kita nak air sentiasa ada dalam tu. Tidak perlu risau pasal benih lemas, tanah semaian hanya serap yang perlu sahaja.

Selepas lebih kurang dua minggu apabila benih dah tinggi macam panjang jari telunjuk kita, boleh lah alih ke “real world“.

Biasakan dulu dengan matahari terik. Kita tengok mana yang tahan.

Pada tahap ni, kita boleh letak pasu semaian di kawasan yang dapat cahaya matahari penuh. Contohnya, saya letak di kawasan yang menerima matahari dari pukul 10 hingga 4.30 petang.

Oh ya, boleh sahaja terus pindah-tanam kalau nak. Pastikan tanam waktu pagi atau senja. Saya suka biarkan dulu seminggu.

Kalau boleh, letak pasu semaian dalam dulang/piring dan isi air seperti sebelumnya. Kalau tak boleh (contohnya tanah tak rata), boleh sahaja tetapi pastikan siram setiap hari.

Akhirnya selepas dalam seminggu, daripada 3-6 anak pokok bendi tersebut, boleh pilih 2 sahaja yang nampak “kuat”. Sebenarnya…saya tak tahu pun apa dimaksudkan dengan “kuat”, pilih sahaja lah anak pokok bendi yang mencuri hati.

Saya pilih kiri dan kanan.

Menggunakan cara ini, jumlah masa semai sehingga pindah-tanam adalah 2 hingga 3 minggu. Lambat sedikit, tetapi selamat.


Tanam (Pindah-Tanam)

Alamak, bahagian semai benih pun saya dah melalut panjang. Mari kita ke bahagian seterusnya iaitu pindah-tanam (transplant).

Nak pindah-tanam ke tanah kebun boleh, tanam dalam pasu pun boleh, dalam polybag pun boleh. Saya suka tanam dalam pasu. Pokok bendi, ni daripada pengalaman saya, tidak perlukan pasu yang besar berbanding (contoh) timun dan tomato.

Pasu selebar 8 inci pun sudah cukup. Lagi besar lagi bagus, tiada masalah. Walaupun saya tanam dalam pasu 8 inci, pokok-pokok bendi saya berbuah lebat sehingga tak termakan. Tinggi pun mencecah 6-7 kaki!

Kalau pakai pasu, pakai tanah campuran dalam guni tu. Kalau nak pakai tanah kebun sikit boleh, tapi campur dalam 30-50% sahaja dalam tanah campuran. Tanah kebun lambat laun boleh mampat dan melemaskan akar pokok kacang bendi.

Contohnya tanah 8-in-1 ni. Dalam belas ringgit seguni.

Pindah-tanam senang sahaja. Ambil pasu semaian, tekan sedikit dasar dia atas tanah untuk ukur lubang, dan gali. Kemudian keluarkan anak pokok kacang bendi dari pasu semaian bersama tanah semaian. Tak perlu leraikan, jangan kacau akar dia.

Lupa tangkap gambar akar anak bendi…tengok je lah contoh akar anak sawi.

Pindah-tanam waktu pagi atau senja kalau boleh.

Selepas dah tanam tu, tepuk-tepuk sikit tanah sekeliling bagi mampat. Letakkan satu batang di belakang pokok sebagai penyokong, tak kisah la potongan buluh ke, chopstick ke, batang besi buruk ke, ranting lurus ke. Jangan lupa untuk ikat.

Tanam dalam sedikit pun tak apa.

Bendi tidak perlu penyokong yang tinggi dan besar. Agak-agak sokong sampai setinggi dua jari telunjuk sahaja. Selepas ketinggian tu, batang pokok bendi boleh kata dah cukup tebal dan kukuh.

Taburkan baja kompos sekeliling anak pokok bendi yang dah ditanam tadi. Ini berfungsi sebagai baja yang tidak terlalu kuat. Anak lagi kan. Pada saya, elakkan dahulu baja NPK. Tunggu besar lagi.

Contoh kompos sekeliling anak timun.

Kalau boleh, letakkan sabut kelapa atau serpihan kayu kisar sebagai sungkupan (mulch) atas baja kompos. Mulch membantu stabilkan suhu tanah dan juga melambatkan air siraman tersejat.

Contoh sabut kelapa (coco coir) sekeliling pokok terung.

Ingat, pokok perlukan air untuk fotosintesis. Kalau tanah kering semasa siang, “kebulur” lah dia.

Cakap pasal air, jangan lupa siram! Siram sekeliling untuk pastikan nutrien dari baja kompos tadi turun meresap masuk dalam tanah.

Untuk siraman kali pertama ni, banjir sedikit pun tak apa. Kita nak akar anak pokok bendi tu nampak yang rumah baru dia ni cukup syarat untuk menaikkan kelajuan tumbesaran.

Ini anak pokok bunga matahari, tapi siram macam ni lah lebih kurang.

Oh ya, sila sembur neem spray ya. Sembur sekali dua sahaja. Kita sembur awal-awal untuk halau serangga/ulat/hantu yang suka makan daun anak pokok yang masih kecil.

Lepas pindah-tanam, terus sembur. Contoh dengan anak sawi.

Matahari

Perihal cahaya matahari untuk pokok kacang bendi senang sahaja. Matahari penuh. No excuses. Jangan pakai shade cloth.

Nak tunjuk beza teduh (kiri) dengan matahari terik (kanan).

Sebab itu untuk beginner, saya sarankan tanam pokok kacang bendi dalam pasu 8 inci. Boleh alih-alih pasu ke kawasan yang dapat cahaya matahari yang optimum.

Matahari penuh bukanlah bermaksud seharian dari pagi sampai senja kena matahari. 6 jam cahaya matahari sudah cukup untuk penuhkan keperluan.

Pokok-pokok bendi saya sebenarnya terlindung daripada cahaya matahari dari subuh hingga 10 pagi. Diteduhkan oleh atap.

Dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi dapat lah matahari pagi (cahaya lembut). Selepas itu cahaya terik sampai 4.30 petang, kemudian teduh semula (tembok batu punya pasal).

Oleh itu, saya rasa kalau rumah anda ada kawasan menghadap barat yang dapat matahari dari tengahari sampai 5-6 petang pun boleh.

Saya agak sahaja, tetapi 4 jam pun mungkin boleh kalau cukup terik, tetapi mungkin kurang lebat hasil bendi. Bendi berbuah banyak-banyak sangat pun tak termakan jugak kan.


Siram

Pokok kacang bendi ni…tidak lah perlu jaga sangat siraman. Tengok buah bendi pun logik kan, kandungan air kurang berbanding timun (contoh). 2-3 hari sekali pun saya tengok daun masih ok lagi.

Namun begitu, pada saya, siram sahaja sekali sehari, lebih-lebih lagi yang ditanam dalam pasu. Kalau siram pakai paip getah, kira dalam 10-20 saat pun dah cukup. Bergantung pada kekuatan air lah kan.

Kalau air “lembut” mungkin perlu 30-60 saat.

Saya suka pakai teknik micro-drip irrigation. Teknik ni lebih kurang sahaja dengan fertigasi, cuma tak perlu pam dan baja cecair. Air yang pokok dapat hanyalah air paip biasa.

Tempat keluar air (saya panggil mata air) diletakkan di pangkal pokok bendi. Adjust mata air tu sehingga yang keluar cuma titisan air sahaja macam paip sinki tak tutup ketat. Nama pun drip kan.

Letak berdekatan dengan akar.

Saya bukak kepala paip yang bersambung dengan micro-drip irrigation tu dan biarkan sahaja dalam setengah jam. Nak lagi senang, pakai garden timer. Automatik terus.

Jumlah masa drip bergantung pada jenis-jenis tanaman yang anda ada. Kalau tanam bendi sahaja, saya rasa 3 minit pun dah cukup.

Tak nampak apa-apa, tapi sebenarnya tengah siram.

Contohnya saya siram bermacam jenis tanaman sekaligus menggunakan micro-drip irrigation. Dalam sedozen lebih pasu untuk kawasan yang saya letak pokok bendi.

Jadi jumlah air saya siram mengikut tanaman yang perlu paling banyak air di kawasan tersebut, iaitu pokok bunga air mata pengantin dalam pasu besar.

Setakat ini memang terlebih air saya bagi pokok bendi dalam pasu. Tiada masalah pun sebab pasu ada lubang – air lebihan mengalir keluar. Ini satu lagi kelebihan pokok kacang bendi dalam pasu.


Baja

Untuk senangkan cerita, kita boleh bahagikan jenis baja kepada dua: organik dan kimia buatan.

Kalau beginner, bulan pertama selepas pindah-tanam, gunakan baja organik ringan seperti kompos sawit atau daun kering sahaja.

Ini untuk kurangkan risiko anak pokok kacang bendi mati akibat terlebih baja. Just to be safe sahaja untuk first timer.

Contohnya kompos sawit keluaran Unigrow. Letakkan tebal-tebal sekeliling pokok. Topup seminggu atau dua minggu sekali.

Daun kering kita boleh mintak dari pekerja majlis perbandaran kalau kebetulan kita lalu masa dia tengah sapu. Tegur sapa elok-elok.

Masuk bulan kedua selepas pindah-tanam, boleh pakai baja yang kuat sedikit. Waktu ni batang pokok bendi pun dah tebal sedikit dan mungkin dah mula berbunga.

Setakat ini, baja organik “kuat” yang paling mujarab sekali untuk pokok bendi (yang saya pernah pakai lah) adalah tahi kambing. Tahi kambing fresh, atau yang dah reput jadi kompos.

Contoh rupa kompos tahi kambing.

Elakkan tahi ayam dan lembu fresh. Yang dah diproses atau dah jadi kompos tak apa. Kalau anda bela ikan boleh siram air ikan semasa tukar air. Larutan tahi ikan berkhasiat tau. Kiranya aquaponic la tu.

Untuk baja kimia, saya berani cadangkan baja NPK tabur sahaja untuk beginner. Baja serbuk, baja AB, itu semua cuba selepas dah berjaya besarkan pokok bendi gunakan baja NPK tabur.

Contoh baja NPK seimbang. Bawah tu sawi.

Baja kimia buatan ini kita kena pandai budget. Kalau terlebih, pokok boleh melecur dan kadang-kadang mati. Start small dulu.

Oleh itu, kalau nak baja kimia, saya sarankan cari baja NPK seimbang dahulu iaitu 10:10:10 atau 15:15:15.

Awal-awal letak dalam setengah cubit sahaja dulu. Jarakkan sedikit dari akar.

Separuh dari ni dah cukup. Pokok bendi ni dah setahun, jadi boleh baja lebih.

Apabila dah mula berbunga, boleh lah letak secubit mesra. Jadual pun lebih kurang sahaja, seminggu atau dua minggu sekali. Kalau boleh gunakan kombinasi kompos/daun + NPK.

Kita setakat tanam pokok kacang bendi di rumah ni…tidak perlu teliti sangat perihal baja. Ladang lain lah kan.

Buat santai-santai sahaja sebab macam saya pernah cakap, bendi berbuah dengan lebat sekali sampai tak termakan oleh kita.


Perosak/Penyakit

Bendi moden yang ada sekarang ni boleh kata susah nak sakit. Bukan nak kata bebas penyakit/perosak, cuma kita tak perlu kawal lebih-lebih macam pokok tomato.

Ini mungkin angkara belalang. Saya lupa sembur neem spray.

Pada saya, jangan guna kimia buatan. Gunakan kaedah organik sahaja. Kita tanam kat rumah je, bukan ladang.

Salah satunya adalah tanaman lain berdekatan bendi. Nak senangkan cerita, ada dua iaitu tanaman berbau kuat dan pokok bunga.

Contoh pokok bunga zinnia.

Contoh tanaman berbau adalah selasih dan pudina. Sila tanam pudina dalam pasu ya, nanti merebak dengan tak terkawal pulak.

Contoh pokok bunga senang adalah bunga butang, bunga matahari, zinnia dan vinca. Fungsi pokok bunga adalah untuk menarik serangga untuk makan perosak dan juga tolong pendebungaan.

Seperti tanaman-tanaman lain, saya sembur neem spray setiap minggu. Atas daun, bawah daun. Ini boleh mencegah perosak kecil seperti aphid dan juga belalang/ulat makan daun.

Untuk beginner, beli sahaja yang dah siap dibancuh.

Untuk mengurangkan risiko fungus, elakkan daripada letak pasu di kawasan yang kurang peredaran udara macam sudut tembok batu atau berdekatan teduhan pokok besar. Letak tempat berangin.

Seperti terung, daun pokok bendi saya banyak menampakkan tanda-tanda penyakit semasa musim hujan. Namun begitu, jumlah hasil tidak terganggu sangat pun.

Apabila batang pokok dah tebal, masalah lintah dan siput nampaknya minimal walaupun pada musim hujan. Mungkin dah tak sedap kot pada dia. Cuma perlu jaga-jaga masa peringkat anak pokok lah sebab masih lembut lagi. Sebab tu saya suka semai dalam rumah dulu – siput (dan tupai) suka makan anak pokok bendi.


Potong/Pangkas

Anda pun tahu rupa pokok bendi kan. Tinggi. Ketinggian pokok bendi convenient jugak, kita senang nak petik hasil.

Namun begitu, kalau tinggi sangat, tumbang pulak kan. Penyokong pun kalau tinggi-tinggi pun tak stabil jugak.

Tujuan potong/pangkas adalah untuk keluarkan cabang supaya pokok bendi lebih stabil. Secara teorinya hasil bendi pun jadi lebih…tapi bab itu saya tak kisah sangat. Tak termakan.

Lepas pangkas, keluar cabang macam ni lah. Stabil sikit pokok bendi.

Bab potong pangkas ni, pada saya ikut masing-masing nak buat bila. Saya selalu buat apabila tinggi pokok bendi dah sampai paras bahu.

Pangkas batang utama pokok bendi dalam 1/3 daripada jumlah ketinggian asal. Pastikan ada daun di bawah paras pangkasan. Ada dalam 3-4 daun yang tinggal pun dah cukup.

Apa akan jadi? Selepas seminggu dua, kita boleh nampak pokok bendi keluarkan cabang baru di bawah paras pangkasan. Pokok kacang bendi pun boleh kata lebih stabil berbanding sebelumnya.


Tuai Hasil

Kacang bendi ni selalunya dalam umur 2 bulan sudah berbunga. Saya pun tak ingat, tapi mungkin dalam seminggu selepas bunga kembang, kita boleh petik kacang bendi pakai gunting/sekateur.

Bendi tu warna hijau muda, cuma masalah lighting sikit.

Nak tengok bila boleh petik bendi, pada saya, tengok warna. Kalau nampak kacang bendi berwarna hijau muda dan lebih kurang besar tapak tangan, boleh la petik. Nampak pendek sedikit, tapi lembut.

Ini nak jadi “tua” dah, tapi masih sesuai lagi untuk asam pedas.

Apabila dah hijau pekat sedikit, bendi mula jadi keras. Kena celur/rebus/masak lama sikit. Saya kurang suka yang dah hijau pekat, tekstur yang mematikan mood nak makan.

Nampak tak beza warna? Belah kiri lembut dan sedap, belah kanan keras.


Kesimpulan

Pokok bendi senang ditanam. Pasu 8 inci atau lebih. Tanam 2 pokok bendi sahaja pun dah terlebih cukup untuk satu rumah.

…saya tak ada idea dah nak tulis apa kat sini.

Terima kasih sudi membaca!

[Dalam Pasu] 🥒 Cara Saya Tanam Pokok Timun Jepun

Pengenalan

Timun adalah antara sayur yang paling senang nak dimakan, macam bayam brazil. Tak perlu masak, basuh saja. Potong nipis-nipis, memanjang, menebal, potong empat, potong lapan, potong kiub.

Takyah potong pun tak apa, gigit je terus!

Saya paling suka timun dalam sushi dan juga bersama satay. Satu lagi hidangan timun mudah yang saya suka buat adalah sandwich timun: roti (kalau boleh, bakar), mentega dan hirisan nipis timun.

Hasil timun banyak sangat…buat sandwich pun jadi lah.

Selain itu, kadangkala saya bagi hirisan timun sebagai treat kepada ikan peliharaan herbivor seperti ikan bandaraya. Kepit dengan pemberat (contohnya sepit besi lebih) dan tenggelamkan dalam kolam/akuarium. Keesokan paginya, tinggal kulit sahaja.

Cara tanam pokok timun lebih kurang sahaja tak kira jenis. Tetapi untuk artikel ini, saya ingin fokus pada timun Jepun sahaja. Nak tanam timun lain pun boleh ikut artikel ni, tiada masalah.

Ini timun Belanda (Dutch cucumber). Cara sama, cuma kecil berbanding timun Jepun. Saya rasa jenis ni lebih sesuai untuk dibuat jeruk macam dalam Big Mac tu.

Pada saya, dalam banyak-banyak jenis pokok timun yang boleh ditanam di rumah…timun Jepun lah saya rasa paling berbaloi. Pendapat saya sahaja.

Tengok di pasaraya. Bandingkan timun Jepun (hijau tua solid) dengan timun biasa (belang hijau muda hijau tua). Tengok harga 1kg timun Jepun dengan harga 1kg timun biasa.

Timun biasa (7 inci) vs timun Jepun (12 inci).

Antara kelebihan tanam pokok timun Jepun yang saya tengok, kalau bandingkan dengan timun lain:

  1. Buahnya panjang-panjang. Hasil berukuran 8 inci hingga 12 inci itu perkara biasa. Timun biasa macam yang dapat dengan satay selalunya dalam 5-8 inci sahaja.
  2. Isi lebih sedap, kurang “masam” dan kurang lendir . Saya tak tahu lah nak cakap macamana, kena rasa sendiri.
  3. Daripada pengalaman saya, buah lebih lebat. Yang ini mungkin ikut kebun masing-masing lah. Lain kebun lain hasil kan.
Ini laptop 13 inci. Maaf tak centered.

Jadi…nak tanam pokok timun ini, pada saya, kena tahu 3 perkara:

Pertama, pokok timun adalah tumbuhan menjalar yang pandai memanjat sendiri. Kita kena sediakan sokongan (trellis). Ada macam-macam jenis, ikut atas kreativiti masing-masing. Saya suka pakai jaring nylon ikat pada besi slotted angle. Ringkas sahaja.

Saya buat tegak je, sebab tak cukup ruang untuk “terowong timun”.

Kedua, pokok timun dalam sebulan setengah sudah mula berbuah dan boleh kutip hasil…dalam jumlah yang banyak dan bertubi-tubi.

Ini mungkin mendatangkan masalah “tak termakan wehh”. Oleh itu, kalau tanam di rumah, maksimum dua sahaja pokok timun…kecuali kalau teknik polybag gantung, itu berbuah sikit-sikit.

Kat rumah tak berbaloi buat teknik gantung. Saya nak tunjuk saja.

Ketiga, pokok timun merupakan tumbuhan yang sangat sekejap sahaja jangka hayat dia. Daripada pengalaman saya, umur 3-4 bulan dah mula mati. Boleh cabut pokok timun dan campak ke dalam longgokan kompos untuk dijadikan baja.

Ok lah saya dah tak ada idea nak tulis panjang-panjang pengenalan. Mari kita teruskan.


Gambar Semangat

Seperti biasa lah kan. Mari saya tunjukkan gambar hasil dahulu sebagai bahan api pembakar semangat.

Lagi perbandingan saiz timun biasa vs timun Jepun.
Hasil daripada 2 pokok dalam 2 pasu berumur 2 bulan, jangkamasa 2 hari.
Kalau tanam dalam tanah/garden bed, lebat macam ni lah berbuah. Seronok tapi tak termakan. Hasil pokok timun dalam pasu dah cukup sebenarnya.
Itu iPhone 5 kot (tinggi dalam 5 inci). Lupa dah, lama sangat gambar ni.
Campuran hasil timun Belanda dan Jepun (2 pokok, 2 hari).


Semai Benih

Biasalah tanaman popular kan, timun ada macam-macam jenis. Jenis pendek termasuk timun Cina dan timun Belanda (menggerutu sikit).

Selain timun Jepun, ada juga timun panjang jenis lain contohnya Persian cucumber dan English cucumber.

Untuk timun Jepun, saya suka benih keluaran Baba Smart Grow. Dalam sepaket dapat berpuluh-puluh. Boleh simpan buat semai untuk setahun. Tak perlu guna semua terus.

Pada saya, untuk permulaan, tanam satu atau dua pokok timun Jepun dahulu. Benih timun Jepun jenama Baba ni, daripada pengalaman saya, memang hampir 100% akan bercambah.

Semai lebih sedikit, dalam 3-4 biji benih. Maksudnya ada anak benih kita perlu buang nanti. Semasa ambil anak benih dari paket, pastikan tangan kering ya. Rosak pulak benih yang tak guna lagi tu.

Untuk permulaan, saya tidak galakkan tabur terus benih ke atas tanah (tak kira lah atas tanah kebun atau tanah dalam pasu). Saya sarankan semai asing dahulu.

Membazir satu hal, satu lagi adalah kemungkinan benih dibawa lari oleh serangga. Kadang-kadang boleh terpelanting akibat hujan lebat tiba-tiba. Anak benih kecil ada risiko dimakan oleh siput.

Semai terus di tanah kalau benih nak expire. Letak banyak untuk kurangkan risiko. Lepas tu pilih satu sahaja pokok pemenang, yang lain gunting.

Jadi untuk artikel timun Jepun ni…saya ingin tunjuk teknik semai pakai kapas muka. Ini bukanlah satu-satunya cara semai, cuma saya nak tunjukkan sahaja contoh teknik semai yang lain sikit.

Untuk cara semai yang lain, sila rujuk artikel bendi dan terung.

Ini pakai sarang telur. Letak atas dulang cetek berisi air (siram-dari-bawah).

Mula-mula, isikan dulang cetek atau piring cetek dengan air. Ini saya pakai dulang yang dapat dengan pasu panjang plastik dari kedai Mr DIY. Yang buat tadah air siraman lebih tu.

Pakai air paip sahaja, tak perlu canggih. Ini hanyalah variasi untuk teknik “siram-dari-bawah” macam saya guna untuk semai benih terung dan bendi. Letak banyak supaya tidak cepat kering.

Susunkan kapas muka dalam dulang. Kapas muka petak kecik tu. Saya gunakan jenama Premier, tetapi itu tak penting pun. Yang penting air terserap, tidak cepat koyak, dan akar boleh tembus.

Apabila dah kapas muka dah nampak basah, susun biji benih timun Jepun atas kapas. Satu kapas muka, satu biji benih. Senang nak pindah-tanam nanti.

Selepas sehari dua. Tak perlu letak banyak macam ni. 3-4 dah cukup.
Nak keluar “daun” kotiledon dah tu. Yang merah tu benih Baba.

Buat masa sekarang, tidak perlu letakkan dulang/piring di tempat yang menerima cahaya matahari. Namun begitu, lebih bagus kalau boleh letak di tepi tingkap (menghadap barat kalau boleh).

Selalunya dalam sehari dua kita sudah boleh nampak akar keluar dari dalam benih. Hari ketiga atau keempat kita boleh nampak dua “daun” pertama (kotiledon).

Contoh dua “daun” pertama (kotiledon). Ini pakai sarang telur.

Keluar lambat sedikit tak apa…mungkin 5 hari. Tetapi kalau dah seminggu tak nampak apa-apa lagi, kemungkinan besar benih sudah tak elok. Beli sahaja benih lain.

Kapas muka tiada nutrien. Oleh itu, selepas dalam seminggu, kita perlu pindahkan ke tanah. Awal sedikit berbanding teknik semai dalam pasu plastik kecil atau sarang telur.

Sama sahaja teknik dulang siram-dari-bawah. Cuma pakai sarang telur. Potong sikit lubang di bawah supaya air mudah terserap.

Oleh itu, kalau rasa cara kapas muka ni tidak sesuai dengan anda, boleh sahaja gunakan cara lain. Saya cuma nak tunjuk contoh sahaja.

Sebenarnya kebelakangan ini, saya sendiri gunakan teknik pasu semaian kecil seperti dalam artikel bendi utuk semai benih timun Jepun ni.

Contoh pasu semaian kecil. Pakai coco peat (sabut kelapa_ + kompos.

Pasu kecil boleh biar lama sikit sebelum pindah-tanam. Tapi pastikan dapat cahaya matahari selepas seminggu (tingkap barat atau luar rumah). Kalau boleh, teruskan siram-dari-bawah pakai dulang.


Tanam (Pindah-Tanam)

Anak benih timun ni, saya selalu pindah-tanam awal (dalam seminggu). Tidak tunggu daun sebenar pun. Keluar kotiledon pun sudah cukup.

Boleh pindah-tanam dalam pasu besar atau tanah dah ni.

Kalau nak lambat sedikit, tunggu sehingga keluar satu daun sebenar. Lepas tu terus pindah-tanam.

Nampak tak beza kotiledon dan daun sebenar?

Kenapa saya buat begitu? Pokok timun (tak kira la timun Jepun ke Belanda ke British ke Persian ke) merupakan pokok tinggi berjangka hayat pendek. Kita perlu “latih” akar awal-awal untuk kejar masa.

Ambik contoh sawi, walaupun jangka hayat lagi pendek, pokoknya kecil sahaja. Tidak perlu “latih” akar sangat. Biarkan dalam dulang semaian (seed tray) dua tiga minggu pun tak apa.

Pokok timun kan tinggi, jadi akar pun kena panjang dan besar. Oleh itu, awal-awal kita tunjukkan ruang untuk akar pokok timun membesar untuk cari bekalan nutrien.

Boleh terus tanam dalam garden bed atau tanah, tiada masalah. Kalau tanam banyak, pastikan jarak lebih kurang 1 kaki.

Ini saya letak dekat sangat (6 inci kot). Jarakkan lagi.

Kalau nak tanam dalam pasu, pastikan lebar sekurang-kurangnya 10 hingga 12 inci. Dalam pun lebih kurang…tetapi lagi dalam lagi bagus (macam pasu besar tinggi warna hitam tu).

Pasu ni 12 inci (1 kaki).

Untuk tanah dalam pasu, pakai lah tanah campuran mana-mana pun. Contohnya 8-in-1. Tak perlu pakai yang canggih-canggih.

Yang penting, jangan pakai tanah sekeliling rumah. Campur dalam 30-50% tak apa. Tanah rumah boleh mampat dalam pasu dan lemaskan akar. Kalau tanam terus atas tanah rumah tak apa.

Antara tanah feveret saya. Pakai tanah lain pun boleh.

Kalau pakai teknik semai atas kapas muka, boleh tanam terus dengan kapas sekali. Kapas tu jangan buat stail lampin (lambat akar nak keluar). Tanam flat sahaja kapas tu dalam tanah, atau cabut.

Nampak tak kapas? Ini saya tanam dalam garden bed.

Batang anak benih timun bagi dalam sedikit ya. Seperti pokok tomato, akar akan keluar dari bahagian batang yang tertanam. Lagi dalam, lagi banyak akar boleh keluar, lagi bagus.

Tanam sehingga kotiledon dan daun hampir-hampir mencecah tanah. Belakang pokok, cucuk satu penyokong pendek (contohnya potongan buluh). Buat “hoop” sekeliling anak pokok timun pakai garden twist tie dan ikat pada batang penyokong.

Jangan lupa letak penyokong di belakang anak pokok timun.

Kemudian, taburkan baja kompos tebal-tebal di sekeliling anak pokok timun. Baja organik lemah seperti kompos memberikan nutrien peringkat awal yang tidak buat anak pokok “terkejut”.

Ini kompos sawit. Kompos tahi kambing pun boleh. Daun kering pun boleh.

Untuk beginner, elakkan dahulu baja kimia seperti NPK semasa pindah-tanam. Kalau terlebih nutrien, anak pokok timun boleh jadi melecur dan kemungkinan boleh mati terus.

Kalau boleh, selepas letakkan baja kompos, letakkan pula sungkupan (mulch) seperti sabut kelapa atau serpihan kisaran kayu. Mulch tolong jaga suhu tanah dan melambatkan tanah jadi kering. Selain tu, mulch akan mereput dan jadi baja tambahan. Convenient.

Contoh sabut kelapa (coco peat/coir) sebagai mulch.

Dah setel semua tu, boleh lah siram. Untuk siraman kali pertama, buat lama sikit. Biar sampai air naik pun tak apa.

Contoh siram selepas pindah-tanam. Itu anak pokok bunga matahari.

Kita nak pastikan nutrien dari baja kompos masuk dalam tanah, dan juga bagi lampu hijau kepada akar anak pokok timun untuk membesar dengan lebih cepat.

Akhir sekali, semburkan neem spray. Ini ikhtiar untuk halau serangga-serangga perosak yang suka makan anak pokok timun.

Contoh neem spray selepas pindah-tanam anak sawi.

Sembur bagi kena atas bawah daun. Kalau pindah-tanam semasa matahari tengah terik (waktu tengahari), tunggu sehingga senja/malam baru sembur.

Sembur masa matahari terik nanti tergoreng pulak anak pokok timun akibat kandungan neem oil. Waktu pagi/senja/malam tak apa.

Struktur Penyokong (Trellis)

Seperti saya cakap dalam bahagian Pengenalan, pokok timun merupakan pokok menjalar yang pandai memanjat sendiri. Dia ada keluarkan “tangan” untuk pegang dan panjat.

Tendril ni akan lilit pada apa-apa struktur.

Struktur penyokong tidak perlu buat awal-awal. Semai dahulu benih. Beberapa minggu selepas pindah-tanam baru bina struktur penyokong. Sementara tu, batang penyokong pendek yang kita cucuk belakang anak pokok timun tu dah cukup.

Dia lilit sini dulu. Dalam 3 minggu baru capai tinggi yang perlukan struktur.

Pada saya, struktur penyokong (ada orang panggil para, junjung, apa semua saya pun tak tahu dah) atau trellis ni kita buat seringkas yang boleh.

Kalau ada pagar rumah stail jaring, letak saja pasu pokok timun sebelah pagar rumah dan biar dia penuhkan jaring pagar tu.

Ini condong pastu mendatar. Pakai bahan lebihan sahaja (paip + buluh). Tinggi dalam 6 kaki.

Pokok timun boleh memanjat struktur yang condong ↗, tegak ↑ dan mendatar → (sebagai “atap”).

Pokok timun Jepun saya boleh sahaja panjat walaupun tegak macam tu, tidak perlu condong.

Buat seringkas yang boleh. Ini tegak terus (tinggi 9 kaki).

Untuk mudahkan pokok panjat, pakai jaring nylon. Ikat pakai cable tie pada rangka besi atau kayu (paip PVC mungkin tidak cukup kukuh). Bila pokok mati nanti pun senang nak tarik.

Cara paling senang, beli sahaja rangka besi jenis terowong dari Lazada atau Shopee. Cuma perlu pasang jaring nylon sahaja. Senang cerita. Nanti timun pun berbuah atas kepala kita, seronok petik.

Boleh juga buat bentuk A seperti khemah. Contohnya beli batang buluh panjang dan ikat jaring. Atau pun bentuk terowong petak macam kontena. Asalkan ada jaring.

Kalau tiada ruang macam saya, boleh buat menegak. Gunakan besi slotted angle sebagai rangka, dan ikatkan jaring nylon menggunakan cable tie. Besi itu saya tukul dalam 1 kaki dalam tanah, dan tebuk “pemegang” di tembok batu.

Besi slotted angle boleh beli kat kedai hardware. Pakai cable tie untuk ikat jaring nylon.

Besi slotted angle ini boleh melending kalau tinggi-tinggi. Kita kena sandarkan (atau ikat atau tebuk) pada tempat lebih kukuh seperti tembok batu, tiang kayu ke. Ikut rumah masing-masing la kan.

Kalau nak tinggi, kena ada “pemegang” supaya kukuh. Sandarkan saja ke dinding pun ok dah (kira jadi condong sikit lah).

Pada saya, bahagian membina struktur ini lah yang seronok. Kita ikut kreativiti masing-masing dan gunakan bahan apa yang ada. Gantung sahaja jaring nylon di dinding pun boleh.

Saya pernah nampak ada rumah yang gantung jaring macam atap dan biarkan daun pokok timun dan petola jadi teduhan. Timun-timun bergantungan atas kepala. Cantik sangat.


Matahari

Kalau baca artikel-artikel dari negara empat musim, boleh kata kebanyakan akan kata “pokok timun perlukan matahari penuh” – itu betul untuk negara dia yang mempunyai UV index yang rendah.

Lebih kurang macam pokok tomato. Kawasan dia, ya, kena matahari penuh. Cuaca negara kita, kalau tanam pokok tomato di kawasan matahari penuh, gugur la bunga dia sebab panas sangat.

Struktur tinggi lebih banyak matahari tapi susah sikit nak petik.

Untuk kita di Asia Tenggara ni…tak perlu matahari penuh pun. Kalau boleh, matahari penuh. Bukan tak boleh matahari penuh macam pokok tomato.

Cuma kalau tak ada kawasan matahari penuh (5-6 jam atau lebih), tidak apa.

Matahari tengahari.

Pastikan daun-daun bahagian atas yang paling banyak kena cahaya matahari. Daun-daun bawah boleh buang sahaja.

Daripada pengalaman saya, matahari belah pagi pun dah cukup. Saya pernah tanam di kawasan yang dapat cahaya matahari dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari sahaja. Dalam 3 jam cahaya matahari lembut, dan sejam cahaya matahari terik.

Nampak layu sedikit semasa panas tak apa.

Jumlah hasil ternyata kurang sedikit, tetapi masih cukup. Kalau bandingkan hasil pokok timun yang saya tanam di kawasan yang dapat matahari dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, memang yang 6 jam matahari tu lebih banyak.

Matahari pagi.

Jadi kalau rumah anda ada kawasan kosong yang dapat matahari dalam 4-6 jam, dah cukup. Nak tanam di balkoni pun boleh. Ya, hasil kurang sedikit…tetapi macam saya cakap, 2 pokok timun pun tak termakan. Kalau rasa hasil tak cukup, tanam banyak lagi next time.


Potong Daun Bawah

Pokok timun mempunyai daun-daun yang lebar dan besar. Lagi besar daripada tapak tangan kita. Ini bagus untuk memaksimakan cahaya matahari yang diterima untuk proses fotosintesis.

Yang tak bagusnya, daun-daun ni mungkin berebut nutrien (dan air). Ini boleh buat pokok timun banyak fokus pada maintenance daun sahaja. Maksudnya lambat tinggi/panjang dan lambat berbunga.

Kalau banyak sangat daun, boleh layu sebab tak cukup air dalam pasu.

Lebih-lebih lagi kalau tanam dalam pasu. Kalau tanam dalam tanah atau garden bed tak la nampak sangat.

Daun belah bawah macam ni, buang. No mercy. Bunga boleh biarkan.

Disebabkan pokok timun ni mempunyai jangka hayat yang pendek… kalau boleh, kita kena main belanjawan nutrien sedikit. Kalau malas pun tak apa, cuma hasil kurang puas hati lah.

Cara main belanjawan nutrien untuk pokok timun senang sahaja: selalu buang daun bahagian bawah. Biarkan dalam 5-10 daun sahaja di bahagian atas sekali sebagai wakil untuk fotosintesis.

Daun atas banyak ni pun dah cukup.

Daun-daun yang dibuang tadi boleh letakkan di pangkal pokok timun, biarkan reput jadi baja (macam kanibal pulak).

Biarkan reput. Baja percuma.

Dengan cara ni, pokok timun akan lebih cepat membesar. Makin tinggi/panjang, makin banyak tempat untuk bunga keluar, makin banyak hasil timun.

Bahagian bawah nak botak macam ni. Boleh buat lagi kemas. Saya pemalas.

Kalau tanam dalam pasu, boleh juga potong cabang. Saya tak buat pun. Kita panggil ni sistem single stem. Cabang-cabang pokok timun selalunya akan berbunga dan berbuah juga seperti batang utama.

Biarkan batang utama sahaja. Jujurnya saya sendiri jarang buat.

Untuk tanaman timun Jepun dalam pasu, nutrien kemungkinan tak cukup untuk tampung cabang tambahan dan hasil timun Jepun mungkin kurang panjang. Terpulang lah itu penting atau tak.

Nampak ada cabang baru yang keluar dari batang utama, potong dan letakkan di pangkal pokok…atau pun boleh tanam semula dalam pasu semaian (buang bunga/putik dahulu). Nanti jadi pokok timun baru. Tak perlu semai benih.

Sekali lagi saya cakap: belanjawan nutrien untuk pokok timun ini lebih kepada tanaman dalam pasu. Masalah ruang akar sahaja. Pada saya, kalau tanam atas tanah atau garden bed, tak lah perlu sangat.

Pendebungaan

Seperti pokok-pokok berbuah yang lain seperti betik, mangga, terung, timun, dan sebagainya…pokok timun perlu berbunga dulu.

Secara ringkasannya, pendebungaan bermaksud pollen (debunga) dalam bunga jantan dan betina pokok timun ni saling ziarah-menziarahi, baru buah timun akan keluar.

Pokok timun ada kedua-dua bunga jantan dan bunga betina. Maksudnya satu pokok sahaja pun boleh berbuah.

Saya pakai cara organik iaitu tarik serangga pollinator seperti lebah/kelulut. Ini cara paling senang.

Lebah kelulut ni antara serangga pollinator paling membantu untuk kebun.

Secara ringkasnya ada dua cara utama untuk debunga untuk saling ziarah-menziarahi ni: serangga (seperti lebah) dan angin/udara.

Lebah masuk bunga timun untuk cari madu, debunga melekat pada bulu lebah dan tumpang pergi ke bunga timun yang lain.

Kalau kawasan rumah kita kurang lebah (contohnya), pendebungaan kurang. Apabila pendebungaan kurang, buah timun pun kurang.

Cara untuk tarik lebah (dan serangga pollinator lain) adalah tanam banyak pokok bunga. Contoh bunga yang senang adalah bunga butang, bunga matahari, dan zinnia.

Bunga matahari jenis kecil, bukan jenis buat kuaci. Banyak nektar (bahan buat madu) ni, geng-geng lebah suka!

Saya juga tanam pokok bunga air mata pengantin yang “berkongsi” jaring dengan timun. Lebah/kelulut datang kenduri bunga air mata pengantin dan singgah juga di bunga pokok saya yang lain seperti cili, tomato, bendi, terung.

Bunga sayur berbuah lain pun boleh tolong tarik lebah. Ini bunga terung.

Kalau kurang bunga dan kurang angin, boleh ketuk-ketuk sikit batang pokok timun pakai jari. Buat lah seminggu sekali, kira sampai 10 ke. Sekurang-kurangnya debunga berterbangan la jugak.


Siram

Timun banyak pakai air dan jadual siraman perlu sekata.

Batang pokok boleh “terbelah” kalau jadual siram tak menentu (timer saya rosak).

Kalau siram manual, pada saya siram sahaja dalam setengah minit. Lebih sikit pun tak apa. Yang penting, tanah cukup air semasa cahaya matahari ada supaya pokok boleh fotosintesis.

Saya lebih sarankan pakai micro-drip irrigation. Tak ada timer pun tak apa, asalkan siram pada masa yang lebih kurang sama setiap hari.

Kalau tekanan air kuat, biarkan dalam 10 minit pun dah cukup. Pokok saya banyak (tekanan air tak cukup), jadi saya biarkan sahaja micro-drip irrigation tu menitik dalam 30 minit setiap hari. Lebih air tak apa, pasu kan ada lubang di bawah.

Tak perlu kuat macam ni pun tak apa. Titis-titis pun dah cukup.


Baja

Untuk jadual pembajaan, 2 minggu sekali dah cukup kalau tanam di rumah. Kalau rasa rajin, boleh juga baja seminggu sekali…tetapi kurangkan sedikit jumlah kalau pakai baja kimia seperti NPK.

Secara kasarnya, buah timun tidak perlukan nitrogen (N dalam NPK) sangat sebab bukannya sayur daun. Tetapi untuk kebanyakan orang, saya sarankan pakai sahaja NPK seimbang. Tak perlu rumitkan.

Kalau tengok bahagian Pindah-Tanam tadi, masa mula-mula kita pakai baja organik. Ini supaya anak pokok timun tidak terkejut dan mungkin layu akibat terlampau banyak nutrien.

Antara contoh baja organik yang boleh digunakan:

  • Daun kering + sabut kelapa (coco peat/coir)
  • Kompos sawit
  • Tahi kambing (atau kompos tahi kambing)
  • Kompos tahi lembu (atau dah diproses jadi pellet)
  • Kompos tahi ayam (atau dah diproses jadi pellet)

Nak pakai baja organik sampai pokok mati pun boleh, tetapi seminggu sekali pastikan lapisan sentiasa tebal sekeliling pokok.

Ini contoh kompos tahi kambing.

Kalau rasa yakin, boleh sahaja taburkan NPK seimbang yang lemah sedikit. Contohnya nombor NPK 5:5:5. Tabur jarak sikit dari akar.

Selepas dah berbunga, boleh perkenalkan NPK seimbang yang kuat sedikit contohnya NPK 15:15:15. Letak dalam 3 cubit mesra jarak sedikit dari akar.

Kalau boleh, letakkan baja blood meal untuk bekalan nutrien Phosphorus lebih untuk bunga pokok timun. Kalau tak ada, tak apa.

Ingat, jarak sikit dari akar.

Teruskan letak lapisan baja organik seperti masa mula-mula pindah-tanam setiap 2 minggu sekali. Bezanya kali ini ada tambahan baja NPK pula. Itu sahaja.

Untuk kebanyakan orang, pada saya repeat sahaja macam di atas setiap dua minggu sampai lah pokok mati. Kita bukannya kena maksimumkan hasil macam tanam pokok timun di ladang.

(Langkah bawah adalah optional)

Apabila dah nampak pokok timun mula berbuah, boleh lah tukar kepada NPK penggalak buah yang banyak Potassium (K) seperti 12:12:17. Sama saja 3 cubit mesra, jauh sikit dari akar, setiap 2 minggu bersama lapisan baja organik.

Baja cecair pun boleh, contohnya NPK 7:17:35. AB pun boleh. Ini pada saya gunakan kalau dah biasa tanam pokok timun. Awal-awal pakai jenis tabur je dulu.

Ini saya gunakan NPK 15:3:20 sebab nak habiskan. Nombor Phosphorus kurang kan, jadi saya tambahkan baja bone meal (maaf tak nampak) untuk phosphorus.


Perosak/Penyakit

Pada saya…tak perlu fikir sangat lah penyakit dan perosak pokok timun ni. Selalunya masalah paling selalu saya dapat adalah kumbang dan belalang.

Kumbang makan daun. Ini melon beetle rasanya, saya tanam honeydew sebelah.

Cara pencegahan? Neem spray setiap minggu dan tanam pokok bunga (contohnya bunga matahari). Tak perlu buat lebih-lebih sebab jangka hayat pokok timun ni singkat saja.

Kalau tanam di kawasan kurang peredaran udara, pokok timun boleh dapat serangan fungus. Jadi jangan letak pasu pokok di tempat yang angin tak lalu. Contohnya sudut tembok batu atau dinding.

Fungus (pokok honeydew, keluarga timun).

Kadangkala siput pun boleh pergi pekena batang pokok timun. Daripada pemerhatian saya, siput hanya target pokok timun yang dah lemah/berpenyakit. Yang sihat rasanya dia buat taktau je.

Batang pokok kena makan siput.

Tetapi sebagai pencegahan, tabur sahaja lah racun siput.


Tuai Hasil

Selalunya selepas bunga yang nampak macam baby timun (bunga betina) tu dah “melekat”, kita boleh expect untuk boleh petik timun tu dalam seminggu lebih. Sekejap saja!

Bunga hujung tu nampak “layu” tetapi tak gugur. Maksudnya buah timun akan mula membesar. Betul atau kebetulan saja, saya tak tahu.

Dalam sehari dua lepas bunga “melekat”, kita dah boleh nampak bentuk timun.

Maaf blur pulak.

Timun berbuah tidak serentak jadi apabila dah start musim tuai (dalam sebulan setengah), kita kena selalu perhati mana yang perlu petik.

Selalunya kita nampak macam buah timun tu tengah “printing“. Dia bukan membesar dengan sekata. Dia akan menggemuk dari atas dahulu. Dalam seminggu siap lah. Jadi tak perlu panik ya.

Ini bukan timun cacat, cuma in progress.

Pada saya, masa paling sesuai untuk tuai adalah semasa buah timun tu dah nampak saiz yang gemuk sekata tetapi masih banyak “duri”. Agak-agak je. Terlambat sikit tak apa.

Ini tua sikit. Masih boleh petik lagi.

Cara petik saya tak ada pendapat. Gunting je lah kot.

Gambar blur lagi. Aduhai.
Campuran hasil timun Belanda dan Jepun (2 pokok, 2 hari).


Kesimpulan

Pokok timun Jepun pada saya paling bagus sekali untuk ditanam di rumah. Kalau nak tanam dalam pasu, pastikan berukuran paling kurang 1 kaki (12 inci) – lagi besar lagi bagus.

Untuk permulaan, tanam satu atau dua pokok timun sahaja. Hasil terlebih cukup, lebih-lebih lagi kalau pendebungaan bagus.

[Dengan Tumbuhan] 🐟 Cara Asas Menjaga Ikan Laga

Saya ingin tulis tentang asas-asas cara penjagaan ikan laga (betta fish) dalam planted tank atau pun “akuarium bertumbuhan” (tak tahu apa nama betul dalam BM).

Contoh akuarium bertumbuhan. Saya tanam pokok cabomba susunan macam hutan.

Ada rakan kepada rakan saya menyifatkan planted tank ni macam berkebun dalam air. Betul jugak.

Pengenalan

Kebanyakan daripada kita memang kenal dengan ikan laga (betta). Boleh kata ikan hiasan top 10 paling popular (seperti ikan guppy dan ikan emas) dan boleh kata dijual di mana-mana kedai ikan hiasan.

Ini jenis plakat iaitu ekor/sirip pendek.

Ikan laga merupakan ikan tropika yang memang berasal dari bahagian dunia kita. Orang di kawasan negara empat musim memerlukan heater untuk bela ikan laga – kita tak payah pun.

Nak kata ikan laga ini senang jaga…boleh lah, tetapi masih kena ada ilmu asas sedikit. Untuk memudahkan lagi penjagaan, kita letak tumbuhan air (akuatik) sebagai penapis air tambahan.

Ikan laga suka lepak bawah kiambang.

3 Perkara Permulaan

Dah sedia untuk belajar cara menjaga ikan laga? Sebagai permulaan, mari kita fokus pada 3 topik:

  • Bekas air
  • Penjagaan air
  • Pemakanan

Ketiga-tiga topik ini adalah sangat bergantung pada satu sama lain. Kalau belum ada ikan laga pertama, saya sarankan habiskan baca semua. Skip-skip sahaja. Perenggan pun pendek-pendek.

Ini boleh mengurangkan risiko ikan laga pertama anda mati selepas hanya seminggu dua. Nanti sayu dan tawar hati bila tengok ikan laga terbujur kaku, walaupun tidak sengaja.

Contohnya saya pada permulaannya (bertahun dulu) cuma simpan ikan laga dalam akuarium plastik kecik yang RM2 tu. Tiada pam, tiada tanaman. Lepas seminggu, mati ikan tu.

Bagi makanan punya lah banyak, dan yang tak habis terbiar larut dalam air. Nazak lah ikan tu selepas beberapa hari akibat keracunan ammonia. “Terbakar” insang dia.

Tumbuhan hidup boleh tolong tapis air ikan laga.

Bukan nak takutkan, cuma nak menjimatkan masa dan tenaga anda belajar selok-belok cara menjaga ikan laga…dan taknak anda patah hati macam saya dulu (bertahun-tahun merajuk!) hanya kerana tak cukup ilmu.

Bekas Air Untuk Ikan Laga

Akuarium atau Kolam?

Contoh terdekat bekas air adalah akuarium.

Saya panggil “bekas isi air” sebab ikan laga ni kita boleh simpan di bermacam-macam tempat. Saya simpan dalam kolam plastik hitam 3 kaki dan akuarium 1.5 kaki hingga 3 kaki.

Kolam boleh tengok dari atas je lah.

Tempayan pun boleh. Kolah mandi dah tak guna? Tangki air lama? Nak korek kolam di halaman? Pasu air terjun? Boleh letak ikan laga untuk makan jentik-jentik. Contoh sahaja.

Daripada pengalaman saya, akuarium paling puas hati untuk bela ikan laga. Kita boleh tengok dari tepi, seolah-olah kita menyelam. Bukan tengok dari atas saja macam kolam. Lain feel dia.

Macam kita ada sekali dalam air dengan ikan laga.

Saiz/Isipadu

Sebenarnya ikan laga boleh hidup saja dalam lebih kurang isipadu baldi biasa, iaitu dalam 3 hingga 5 gelen (dalam 10 hingga 20 liter). Akuarium kiub 1 kaki, secara teknikalnya, dah cukup. Tapi…

…saya sarankan minimum 10 gelen (dalam 30-40 liter) untuk isipadu air. Maksudnya akuarium sepanjang 1.5 kaki atau 45 cm.

Sebenarnya lepas tambah hiasan (tanah, batu, gua, tumbuhan, kayu, etc) mungkin dalam 30 liter atau 8 gelen sahaja.

Tiada saiz/isipadu maksimum. Saya ada bela ikan laga dalam kolam plastik (hampir 100 liter), akuarium sepanjang 2.5 kaki (hampir 100 liter) dan 3 kaki (hampir 200 liter).

Sebab minimum 10 gelen adalah lebih kepada keperikemanusiaan lah. Bagi ruang lebih sikit untuk ikan laga bermain-main. Cuba orang kurung kita dalam bilik saiz tandas sepanjang hayat.

Selain itu, secara umumnya, lebih besar saiz akuarium, lebih senang nak jaga air. Kalau menjaga ikan laga dalam balang kecil, mungkin kena tukar air 2-3 kali seminggu. Kalau akuarium 1.5 kaki dengan tumbuhan mungkin seminggu sekali sahaja.

Akuarium 2.5 kaki saya cuma tukar air setiap 2 minggu. Akuarium 3 kaki bertemakan hutan tebal (pakai pokok cabomba) saya cuma tukar air sebulan sekali.

Akuarium “hutan” cabomba macam ni saya tukar sebulan sekali sahaja.

Kalau saya boleh pusing balik, saya akan mula dengan akuarium sepanjang 2 kaki atau 60 cm. Isipadu dalam 15 gelen atau dalam 50-60 liter. Pada saya, saiz ini just nice sebab:

  • Tidak terlalu besar sehingga susah untuk alih-alih
  • Tukar air dalam sebaldi kecil saja
  • Kimia dalam air lebih stabil berbanding yang lagi kecil
  • Lebih ruang untuk ikan laga explore
  • Lebih ruang untuk hiasan aquascape dan tankmates

Bermula saiz akuarium sepanjang 2.5 kaki (dalam 100 liter) pun dah jadi susah kalau kena alih-alih, walaupun dah buang air. Bila dah letak tanah akuarium dan hiasan, jadi berat gila sebab air dah terserap.

Jadi kesimpulannya – pada saya, untuk beginner, elok lah akuarium sepanjang 45 cm (1.5 kaki) hingga 60 cm (2 kaki).

Kalau dah ketagih, upgrade lah.

Lapik/Penutup

Pastikan lapik dengan polisterin atau yoga mat! Lapik ni bertujuan untuk meratakan berat akuarium.

Maksudnya risiko akuarium retak dan pecah (!) berkurangan dengan drastik. Penat-penat kita setup, tetiba meletup dan banjir lantai. Ini sangat penting ya, sila lapik.

Ini yoga mat setebal 8 mm.

Ada kedai yang bagi polisterin dah siap potong dengan akuarium, ada yang tak bagi. Saya lebih gemar pakai yoga mat warna hitam. Tebal dalam 8mm hingga 10mm dah cukup.

Pada saya, penutup tidak perlu. Kalau ikan laga kita selesa duduk dalam akuarium tu, dia tak lompat. Tetapi kalau risau jugak, anda boleh letakkan tumbuhan terapung untuk halang lompatan.

Contoh: kolam plastik saya dengan tumbuhan terapung.

Penjagaan Air Ikan Laga

Saya ringkaskan kepada perihal klorin/kloramin dan ammonia sahaja. Benda lain seperti pH, GH, KH, etc pada saya tidak perlu tahu lagi. Buat tambah pening pulak.

Penyediaan Air

Buang Klorin

Sistem bekalan air perbandaran mengandungi chlorine dan chloramine (bukan nama ubat) untuk bunuh kuman dalam air yang boleh buat kita sakit. Ini adalah perkara yang bagus.

However, untuk ikan pulak, chlorine/chloramine ini ibarat api. Boleh “terbakar” insang. Bayangkan macam kita hirup udara neraka.

Saya rasa kalau sudah ada penapis besar di luar rumah, bahan-bahan ini sudah hilang. Sama juga dengan penapis Coway atau Cuckoo.

Pada saya, letakkan sahaja cecair water conditioner sama ada penapis air ada di rumah atau tidak.

Untuk mula-mula nak menjaga ikan laga, saya sarankan pakai Seachem Prime. Ini antara yang paling bagus, tetapi mahal sikit.

Ini Seachem Prime botol 100 ml. Maaf dah kemek.

Satu botol 100 ml (harga dalam RM30-40) cukup lah untuk 3-4 bulan, jadi pada saya berbaloi saja. Setengah sudu teh kecik sudah cukup setiap kali guna.

Biar plastik ikan terapung dulu dalam 15 minit sebelum lepaskan ikan.
Kawal Bahan Kimia Ammonia

Seachem Prime boleh tolong kawal ammonia (dari kencing, berak, makanan) yang sangat berbahaya untuk ikan. Ini berguna untuk bulan pertama.

Kalau nak letak ikan laga terus, letakkan Seachem Prime setiap hari (atau dua hari) untuk sebulan.

Pastikan ada tumbuhan hidup. Paling senang sekali adalah jenis terapung. Asalkan tolong serap ammonia.

Tumbuhan hidup mungkin soal hidup dan mati ikan laga untuk bulan pertama.

Kenapa? Secara kasarnya, pada peringkat awal akuarium/kolam, paras ammonia akan naik. Selepas 1-2 bulan – kiranya ekosistem dalam akuarium/kolam dah mula “stabil” – bakteria berguna dalam filter mungkin dah cukup untuk kawal paras ammonia.

Itu lah ringkasan nitrogen cycle untuk hobi ikan. Kalau ada ikan semasa beberapa minggu pertama, kita panggil fish-in cycling.

Oleh itu, awal-awal sila lah pakai Seachem Prime dan tumbuhan hidup untuk kawal paras ammonia.

Kalau nak bagi ekosistem “stabil” cepat, boleh mintak sedikit span atau filter media (batu pun boleh) daripada orang yang dah lama bela ikan. Kita nak import bakteria berguna dalam tu.

Seachem Prime ni…ada bau special sedikit. Jangan terkejut apabila pertama kali bukak, memang bau dia macam tu.

Sebenarnya yang murah pun dah cukup untuk buang klorin, contohnya jenama Nutrafin, Aquadine dan Aquanice. Apabila akuarium sudah berusia dalam 2-3 bulan (ekosistem dalam tu dah start stabil), boleh je tukar.

Alga tetiba muncul bermaksud akuarium/kolam dah mula “matang”.

Contohnya, sekarang sebab akuarium dan kolam saya dah lama stabil, saya hanya gunakan produk Nutrafin Aquaplus setiap kali tukar air (seminggu sekali). Paras ammonia sudah terkawal.

Garam Akuarium

Tak perlu pun, tapi saya letak sahaja dalam 3 sudu besar. Kemudian 1 sudu setiap kali tukar air setiap minggu. Sila pakai aquarium salt ya, bukan garam yang biasa kita buat makan tu.

Saya pun tak berapa arif bab aquarium salt ni. Saya letak sahaja sebab orang kata boleh kurangkan stress ikan laga (dan ikan lain).

Saya juga nampak alga lebih terkawal selepas letak garam akuarium. Mungkin betul, mungkin kebetulan.

Daun Ketapang

Sebenarnya saya dah lama tak guna daun ketapang (indian almond leaves). Namun begitu, saya beritahu saja lah kelebihan, kalau-kalau nak guna.

Sangat bagus kalau ada daun ketapang, cuma saya tak suka warna air jadi kekuningan.

Kita boleh letakkan daun ketapang dalam air ikan laga sebagai antibiotik dan anti parasit/fungus secara semulajadi. Memang mujarab. Ikan laga sihat. Nak pakai pati pun boleh.

Daun ketapang akan keluarkan pewarna (tannin) yang buat air jadi warna macam air teh O. Ada orang suka. Orang panggil ni “blackwater aquarium“. Boleh Google.

Rendam dalam baldi dulu semalaman. Biar pewarna lebihan tu keluar supaya air akuarium tak gelap sangat nanti. Kemudian letakkan daun sahaja dalam air ikan laga. Cara macam ni mungkin kurangkan keberkesanan antibiotik daun tu.

Tapis Air

Penapisan air dalam pam penapis ada tiga jenis, iaitu:

  1. Mekanikal: pakai span, kapas, pasir halus, etc. Ini lebih untuk perangkap debu, bahan reput, habuk, bulu kucing, etc.
  2. Biologi: menggunakan bakteria berguna yang “makan” ammonia. Span, filter media ceramic/plastik, etc.
  3. Kimia: contohnya activated carbon yang warna hitam tu.

Saya beri dulu senarai (secara kasar) kenapa air untuk ikan laga perlu pam penapis:

  1. Turunkan tahap ammonia (daripada najis ikan contohnya) ke 0.
  2. Jernihkan air, buang kotoran dan debu yang buat air keruh.
  3. Larutkan oksigen dalam air. Tak semestinya buat buih – air terjun pun dah boleh. Asalkan permukaan air terkacau.
Ini adalah sejenis internal filter jenama Fluval.

Nak tahu apa lagi penapis yang berkesan untuk air ikan laga? Tumbuhan-tumbuhan akuatik. Bukan hiasan semata-mata! Paling senang adalah tumbuhan terapung.

Ini kita panggil red root floaters.

Air boleh nampak keruh tetapi dikira “bersih” untuk ikan laga kerana ammonia adalah pada tahap 0. Ikan laga boleh keracunan dan mati kalau tahap ammonia naik walaupun air jernih.

Sebab tu contohnya kalau kita letak ikan laga dalam balang kecil tanpa pam atau tanaman, tahan beberapa hari sahaja kalau tidak selalu tukar air. Keracunan ammonia dan juga kekurangan oksigen.

Boleh pakai API water test kit. Ini ammonia dah naik sikit dari 0 ppm, kena tukar.

Sistem tapis air untuk ikan laga saya sarankan pakai dua benda sekaligus:

  • Pam penapis elektrik (filter pump)
  • Tumbuhan akuatik hidup

Jenis filter ini ikut atas kita. Ada jenis sangkut, ada yang letak dalam, ada jenis letak kat luar (canister dan sump), ada jenis sponge yang keluarkan buih. Ada jenis kaca, ada jenis plastik.

Ini pam sangkut (hang-on-back) letak pokok pothos. Maaf ada bulu kucing.

Sebagai permulaan: kalau akuarium, saya cadangkan beli pam penapis jenis sangkut (hang-on-back/HOB filter). Saya rasa ini paling sesuai untuk beginner sebab:

  • Sangkut saja, tak perlu setup lebih-lebih
  • Tak perlu ruang dalam akuarium
  • Air “terjun” – bagus untuk larutkan oksigen dalam air
  • Senyap berbanding sponge filter (air pump bising!)
Air terjun boleh tolong larutkan oksigen dalam air.

Contohnya untuk akuarium panjang 1.5 hingga 2 kaki, boleh lah cuba Fluval C2 dan Dophin H300. Sobo WP-628H pun ada.

Penapis sangkut ni pada saya terlebih power tak apa, jangan kurang. Air terjun kalau terlebih kuat, kita boleh tadah pakai span atau potongan botol plastik untuk kurangkan arus.

Kalau ada tumbuhan terapung, kemungkinan air terjun tu akan tenggelamkan tumbuhan tu. Jadi boleh buat “pagar” guna air tube. Terpulanglah nak letak dalam atau luar pagar.

Contoh “pagar” untuk tumbuhan terapung pakai air tube.

Kalau internal filter kena hati-hati sedikit, sebab mungkin arus air melintang terlampau deras. Selalunya boleh adjust kederasan, dan boleh tanam pokok depan filter untuk kurangkan arus.

Ikan laga tidak suka arus air melintang yang deras. Ada yang akan gigit ekor kalau deras sangat (terjadi pada ikan laga saya). Kalau sudah terbeli atau lebih suka internal filter, halakan muncung air ke atas kalau boleh…ataupun boleh buat hutan tebal pakai cabomba.

Dalam pam penapis, selain span, boleh letak filter media sebagai rumah untuk bakteria berguna. Selain itu, kita boleh letak pokok pothos dalam tu untuk serap lagi nitrate dalam air.

Bakteria berguna yang kawal ammonia banyak tinggal dalam span.

Untuk lain-lain seperti kolam plastik atau pasu, boleh lah pakai internal filter ataupun sponge filter.

Saya lebih suka internal power filter kerana senyap. Lekatkan sahaja ke dinding kolam. Contoh internal filter untuk bekas air kurang daripada 2 kaki adalah Fluval U1 dan Sobo WP1120F.

Itu ikan platy.

Penapis jenis dalaman ini ada yang boleh keluarkan buih untuk lebih oksigen, contohnya Fluval U2 saya (dalam akuarium 2.5 kaki). Disebabkan ikan laga tidak suka arus deras, saya tanam banyak pokok cabomba depan muncung keluar air supaya air slow sikit.

Sponge filter seronok sebab banyak buih, tetapi kena pakai pam udara. Saya kurang suka, bising! Berdengung-dengung. Tetapi ada orang ok sahaja. Untuk pakai sponge filter, kena ada:

  1. Pam udara (air pump)
  2. Tiub udara (air tube)
  3. Sponge filter itu sendiri
Nak buih, boleh pakai sponge filter atau air stone. Sambung dengan air pump.

Tukar Air

Sebab kenapa kena tukar air adalah lebih kurang sahaja dengan tapis air: buang ammonia/nitrate/nitrite dan bahan reput dalam air.

Walaupun ammonia sudah 0, nitrate dan nitrite (dan lain seperti metal) pula yang terkumpul. Nutrien dalam air pun sudah berkurangan dan boleh digantikan semula dengan air paip.

Nak senang, pakai vakum air. Boleh sedut bahan reput sekali.

Tukar air tidak perlu banyak-banyak. Kalau terlalu banyak tukar air sekaligus, ikan laga mungkin rasa terkejut dan stress.

Di sini saya ingin selitkan faedah menjaga ikan laga bersama tumbuhan akuatik: tidak perlu selalu tukar air. Hanya 20% hingga 30% (boleh 50% kalau air kotor sangat) seminggu sudah cukup.

Kalau akuarium kecil tiada tumbuhan mungkin kena tukar air 2 hingga 3 kali seminggu. Jenuh tu.

Untuk akuarium ada tumbuhan, saya tukar air agak-agak dalam satu pertiga (33%) setiap minggu sahaja. Yang penuh dengan tumbuhan, saya tukar 2-4 minggu sekali sahaja ikut mood.

Hutan cabomba.

Bukanlah nak kata tumbuhan air membolehkan kita tidak perlu tukar air, cuma meluaskan jarak masa sahaja.

Antara akibat tidak tukar air (keracunan ammonia atau penyakit):

  • Ikan laga terbaring dan tercungap-cungap
  • Sisik jadi tercacak macam landak (dropsy) – tanda nak mati
  • Hujung ekor/sirip nampak macam mereput (fin rot)
Letak dulu air paip dalam baldi dan titiskan water conditioner untuk buang klorin.

Cara tukar air senang sahaja. Tidak perlu tangkap dan keluarkan ikan laga dari akuarium atau kolam.

Kalau letak air kotor dalam bekas penyiram, boleh buat baja sayur. Kira aquaponics la.
  1. Sedut air menggunakan siphon, vakum air atau botol air. Tadah air dalam baldi.
  2. Keluarkan bahan penapis (span, filter media) dari pam penapis dan kacau-kacau dalam air tadahan tadi. Masukkan semula ke dalam pam penapis.
  3. Tadah air paip dalam baldi. Titikkan water conditioner (Seachem Prime, Nutrafin Aquaplus, etc).
  4. Isi air baru perlahan-lahan ke dalam akuarium/kolam. Lagi senang kalau pakai bekas penyiram atau vakum air.

Mula-mula memang rasa macam beban sikit. Sebab tak biasa kan. Tapi lepas sebulan dua kita rasa benda biasa dah, macam sapu lantai.

Setiap satu akuarium/kolam selalunya saya perlukan dalam 5 hingga 10 minit sahaja. Tak sampai setengah jam untuk semua sekali, dan hanya sekali seminggu je pun.

Pakai botol air pun boleh, tapi jenuh la.

Sekejap sahaja untuk jaga kebahagian ikan laga kesayangan.

Air Keruh atau Hijau

Selalunya keruh coklat/kelabu yang disebabkan debu, habuk, selut dan sebagainya kita boleh tunggu sahaja beberapa hari untuk mendap dan disedut oleh pam penapis. Kalau baru letak tanah memang sah la air akan keruh untuk sehari dua. Tunggu sahaja.

Kalau ada tanah/pasir, memang akan kelabu lepas pertama kali isi air.

Boleh tukar 50% air beberapa jam selepas pertama kali isi air. Atau pun kalau penat, tunggu sahaja dalam 2-3 hari.

Kalau dah tunggu 3 hari tetapi masih nampak kotor, air masih berdebu, boleh lah tukar air (jangan lupa water conditioner!) sebanyak 50%.

Yang buat warna air jadi keruh hijau macam air tebu itu kita panggil phytoplankton iaitu sejenis alga. Daripada pengalaman saya, itu disebabkan oleh cahaya berlebihan. Selalunya berpunca daripada cahaya matahari (mungkin dari tingkap).

Selalunya jalan penyelesaiannya mudah sahaja iaitu kurangkan cahaya. Antaranya adalah:

  • Kalau dekat dengan tingkap, alih akuarium/kolam ke tempat yang tertutup sedikit. Ataupun sentiasa tutup langsir.
  • Mungkin lampu akuarium on terlampau lama. Selalunya 8 hingga 10 jam dah cukup untuk sehari.
  • Mungkin lampu akuarium terlampau cerah. Boleh letakkan tumbuhan terapung seperti red root floaters atau salvinia untuk kurangkan cahaya tembus masuk air.
  • Kalau tak boleh jugak, boleh letak “sabun” Aquadine Algae Block. Ini mungkin bunuh tumbuhan terapung.
  • Boleh juga cuba “UV light” untuk akuarium

Pemakanan Ikan Laga

Bab makan ikan laga ni…ada pelbagai pendapat banyak mana untuk bagi ikan laga makan. Saya paling setuju pendapat jumlah makanan ikan laga sebesar bijik mata dia.

Secara kasarnya, ikan laga makan banyak kandungan protein. Jentik-jentik pun dia makan.

Untuk permulaan, tidak perlu berikan makanan hidup seperti baby brine shrimp, daphnia dan moina (kutu air) kepada ikan laga. Kena tambah equipment pulak lagi.

Apa yang saya sarankan untuk beginner adalah berikan makanan bijik (pellets) dengan kandungan protein tinggi. Ada banyak jenis dan jenama, tetapi pilihan hati saya adalah jenama Hikari.

Saya paling suka yang kanan tu (Hikari Vibra Bites).

Saya beritahu tiga jenis:

  • Hikari Vibra Bites kalau ada ikan lain seperti neon tetra
  • Hikari Betta Bio Gold kalau ada ikan laga sahaja
  • Hikari Micro Pellets (kurang suka, susah sikit nak ukur)

Jadi, berapa kali nak bagi makan ikan laga sehari?

3-5 ketul sekaligus sehari, atau seketul 3-5 kali sehari (Vibra Bites atau Betta Bio Gold). Sehari seminggu “puasakan” dia.

Jadual pemakanan untuk ikan-ikan laga saya adalah:

  • 3 ketul sahaja, sekali sehari setiap Isnin hingga Sabtu
  • puasa pada hari Ahad setiap minggu
Maaf blur, terpaksa zoom. Susah betul nak tangkap gambar, laju dia ngap.

Nampak sikittt sahaja, tapi makanan ikan laga selalunya akan mengembang dalam perut. Ikan laga tidak boleh banyak makan. Kalau bagi banyak sangat makanan:

  • ikan laga boleh sembelit (tahi tergantung)
  • boleh mati akibat bloating
  • ammonia dalam air cepat naik

Walaupun ikan laga nampak macam mintak lebih makanan seperti kebuluran sangat, jangan bagi.

Saya dah bunuh 2 ekor ikan laga akibat banyak sangat bagi makan (sebab kesian).

Itu naluri semulajadi untuk makan banyak-banyak selagi ada – nenek moyang ikan laga kat sawah padi mana ada jadual makan.

Ok lah, kadang-kadang nak bagi lebih sebijik dua pun mungkin boleh. Kalau nampak perut busung sangat sampai tercungap atau tahi tergantung pada ikan laga, maksudnya terlebih makan.

Untuk akuarium ikan laga saya yang ada 20 ikan neon tetra, saya bagi 3 ketul untuk ikan laga dahulu. Ini di permukaan air.

Kemudian masukkan dalam air secubit Vibra Bites (mungkin belas-belas ketul) untuk neon tetra. Tenggelam turun ke tanah. Kadang-kadang saya nampak ikan laga curi. Bertuah betul.

Tetapi untuk selamat, limit kepada 3-5 ketul sahaja sehari. Tak kisah sekali, dua kali, atau tiga, lima kali sehari.

Kalau nak pergi bercuti atau outstation, boleh sahaja tak bagi makan dalam seminggu dua. Ikan laga boleh je survive. Tapi jangan selalu lah buat macam tu. Boleh cari “auto fish feeder” kalau perlu.

Hiasan

Cara Asas

Di sini saya bagi cara asas sahaja. Ini ikut hati masing-masing lah kan. Lepas ni cari lah video aquascaping kat Youtube atau Tiktok.

Tahu tak antara pemenang nombor satu pertandingan aquascaping sedunia adalah orang Malaysia? Nama dia Josh Sim.

Contoh saya buat simple sahaja. Tak semestinya penuh dengan pokok.

Langkah-langkah untuk akuarium dengan tumbuhan:

  1. Letakkan benda berat seperti tanah/pasir/batu dahulu. Susun hiasan lain seperti batu dan kayu driftwood.
  2. Isi air paip dalam penyiram air atau baldi dan titiskan water conditioner/anti chlorine.
  3. Letak air secara lembut (tadah dengan tangan atau span) ke dalam akuarium. Keruh sedikit tak apa. Dalam 1-3 hari, air akan kembali jernih.
Susun dulu, baru letak air.

Substrate (Tanah, Pasir, Batu Halus)

Fluval Stratum adalah kegemaran saya. Ada juga brand lain.
  • Aquasoil seperti Fluval Stratum
  • Pasir (pasir sungai, pasir filter kolam renang)
  • Batu halus (aquarium gravel)

Tujuan utama saya galakkan letak substrate adalah…untuk bagi tak nampak sangat taik ikan kat lantai akuarium/kolam.

Substrate ni seeloknya kita buat tinggi di belakang, rendah di depan. Kita nak main perspektif sikit.

Pada saya, untuk akuarium bertumbuhan, aquasoil memang digalakkan. Tidak semestinya kena letak penuh di dasar.

Aquasoil dah ada nutrien, jadi tak perlu pening pasal baja untuk masa permulaan. Nak buat hutan Cabomba, bagus pakai aquasoil.

Hutan Cabomba lagi. Depan tu potongan pokok Rotala baru tanam.

Boleh juga letak aquasoil dalam pasu kecik. Asalkan ada tanah untuk bercucuk tanam. Letak dalam pasu senang sikit nak ubah dekor.

Aquasoil tak perlu basuh, nanti terlepas nutrien. Curah je terus.

Kalau nak pakai pasir pun boleh, tapi pasir selalu tak ada nutrien. Letak baja root tab sebelum letak pasir (kalau nak menanam lah).

Saya sarankan pakai pasir silica filter kolam renang (silica sand/swimming pool filter sand) untuk dasar. Basuh dulu dalam baldi – bilas dalam 2-3 kali dah cukup.

Jangan pakai pasir yang buat bancuh simen ya.

Contoh swimming pool sand (tersesat sikit aquasoil) dalam kolam ikan guppy jantan.

Nak akuarium bertumbuhan yang paling senang tapi cantik:

  1. Pasir swimming pool sebagai dasar (tinggi di belakang, rendah di depan). Kalau boleh campur batu sungai sikit.
  2. Tumbuhan melekat kat kayu seperti Anubias dan Java Fern. Tak perlu tanam, taruk je terus.
  3. Tumbuhan terapung seperti kiambang, Red Root Floaters dan Salvinia. Pastikan ada lampu akuarium ya.

Nak buatkan pasir nampak lebih cantik dan natural, taburkan pula pasir sungai atas pasir swimming pool tadi. Kalau boleh, beli. Gali dari sungai sendiri ada risiko penyakit.

Hardscape (Kayu dan Batu Besar)

Saya tidak suka buat hardscape tapi beritahu je lah, mungkin anda suka kan.

Untuk batu besar untuk buat bukit, gunung, gua, dan sebagainya boleh gunakan:

  • Dragon stone (nampak macam kayu berlubang)
  • Seiryuu stone (nampak macam arang kelabu)

Kalau kena pilih, pada saya gunakan dragon stone dulu. Dia tak ubah parameter dalam air. Seiryuu boleh ubah tahap kalsium dan pH dalam air. Pastikan basuh dahulu ya sebelum masukkan.

Kalau besar sangat, boleh ketuk untuk pecahkan. Kalau nak buat struktur pakai batu tu (contoh gua atau bukit), boleh gam pakai superglue atau gam gajah. Gam dulu sebelum masuk air.

Kayu hiasan akuarium yang saya rasa paling senang untuk beginner adalah “spider wood“. Ada juga jenis lain, cari sahaja “driftwood“.

Semua tu boleh cari di Lazada atau Shopee.

Lain-Lain

Batu sungai yang selalu buat hiasan kebun tu pun boleh pakai. Beli sahaja di nursery biasa.

Batu sungai + pasir filter kolam renang + batu akuarium dari Mr DIY.

Lego memang boleh letak dalam akuarium…tapi bucu tajam sikit, mungkin boleh koyakkan ekor laga. Saya bantai saja letak. Cuma nak bagi amaran awal-awal.

Ini gelung pemberat yang dapat sekali dengan tumbuhan.

Dengar cerita rumah Squidward banyak buat ikan laga terperangkap. Tak tahu lah.

Tumbuhan Air (Akuatik)

Kelebihan

Di sini saya ingin selitkan lagi tentang faedah tumbuhan air/akuatik. Contohnya buat hutan pokok Cabomba dalam air dan letak banyak kiambang. Antara kelebihan tumbuhan akuatik:

  • Serap bahan kimia (tak perlu tukar air 2-3x seminggu)
  • Banyak celahan untuk ikan laga bermain
  • Bagi ikan laga rasa at home
  • Bagi ikan laga tempat untuk menyorok dan tidur
  • Kawalan alga
Cantik kan hutan cabomba dari atas? Itu ikan guppy betina.

Contoh untuk kawalan alga: Nutrien akan diserap oleh tumbuhan akuatik hidup dan saki-baki nutrien selalunya tidak cukup untuk alga serap. Maksudnya jumlah alga turun kerana tak cukup makan.

Keperluan

Cahaya

Cahaya matahari mungkin terlampau kuat sehingga boleh buat air jadi hijau. Kalau boleh, elakkan terkena cahaya matahari dari tingkap. Pakai lampu untuk akuarium.

Ada jenis letak dalam air, ada jenis sangkut yang kecik, ada jenis sangkut yang panjang. Jenis gantung dari siling pun ada.

Lampu sangkut jenis panjang.

Nak mudah, cari yang ada timer. Kalau tak ada timer, boleh je beli timer yang pasang kat plug tu. Atau pun TP-Link Smart Plug.

Contoh lampu akuarium sangkut kecik. Dalam tu ikan guppy jantan.

Boleh juga pakai mentol E27 yang dah dibuka penutup plastik. Beli pemegang bulb E27 yang ada plug dan leher yang boleh bengkok-bengkok. Cabut penutup dia. Kopak pakai pisau.

Pakai mentol warna Cool White/Daylight dalam 9 watt hingga 13 watt. Biar dalam 6 inci atas permukaan air.

Reflection mentol E27 biasa yang dah cabut penutup plastik dia.

6 hingga 8 jam sehari sudah cukup (sebab tu saya sebut pasal timer). 12 jam pun boleh kalau nak cuba, tapi itu maksimum.

Tidak semestinya lampu on pagi sampai petang. Boleh je, contohnya, pukul 3 petang sehingga 11 malam.

Kalau cahaya lama sangat, mungkin air akan jadi hijau, ikan laga jadi stress, tumbuhan tak sihat, alga banyak keluar. Sila rujuk bahagian “Air Keruh atau Hijau” di atas.

Baja

Contoh. Dari kiri: baja macro (NPK), micro dan liquid carbon.

Berak dan kencing ikan boleh jadi baja. Ada juga baja cecair micro (nutrien tambahan seperti iron dan zinc) dan macro (NPK).

Untuk permulaan, saya sarankan pakai baja cecair micro sahaja dulu seperti Fluval Gro+. Titik sedikit dalam seminggu sekali sudah cukup.

Contoh baja micro (Fluval Gro+).

Untuk beginner, najis ikan sudah cukup untuk gantikan baja macro. Nutrien dalam aquasoil pun sudah cukup untuk beberapa bulan pertama.

Kalau boleh, letak sekali ikan neon tetra atau corydora untuk cukupkan najis sebagai baja. Kalau akuarium/kolam besar sikit (macam 2.5 kaki ke atas) boleh letak ikan platy. Tu kuat berak.

Apabila dah berpengalaman, boleh la mula gunakan baja macro. Jangan pakai baja NPK biasa yang untuk pokok dalam tanah tu ya!

Karbon

Untuk beginner, saya sarankan pakai Seachem Flourish Excel sahaja untuk karbon. Ada juga liquid carbon jenama lain.

Separuh penutup setiap 2-3 hari dah cukup.

Tujuan karbon dalam akuarium/kolam:

  • pengawal alga paling berkesan
  • tumbesaran lagi cepat dan sihat (bagus untuk rumput karpet)
  • pokok merah akan jadi merah menyala

Sistem tong gas CO2 sedikit complicated dan tidak berbaloi untuk beginner. Buat tak tahu sahaja dulu.

Oh ya, penapis “activated carbon” tu lain ya dengan liquid carbon. Activated carbon lebih sebagai penyerap bahan kimia, bukan penambah kandungan karbon dalam air.

Alga

Kadang-kadang saya biar je sikit.

Alga ada bermacam-macam. Sebenarnya alga ni ada juga kebaikan kalau sikit-sikit. Contohnya dia tolong serap nutrien berlebihan, dan beri oksigen kepada ikan. Kalau sikit-sikit lah.

Kalau alga jenis hijau seperti alga rambut, maksudnya at least dalam akuarium tu boleh kata sihat jugak lah. Ekosistem dah stabil.

Pada saya, buang dalam 80% setiap minggu dan biarkan sikit-sikit. Kalau cepat sangat bertambah alga tu, mungkin bermaksud:

  • tak cukup karbon- boleh letakkan Seachem Flourish Excel…atau pun sistem CO2
  • terlebih cahaya
  • terlebih bagi makan
  • banyak sangat bahan reput (kena vakum)
Ini banyak sangat! Akibat letak tepi tingkap.

Tumbuhan Jenis Terapung

Antara yang popular dalam hobi ikan:

  • Kiambang
  • Red root floaters
  • Salvinia
  • Frogbit
  • Keladi bunting (kalau kolam luar)

Amaran: elakkan duckweed. Kawalan sangat susah.

Kelebihan tumbuhan terapung:

  1. Paling senang – letak sahaja.
  2. Ikan laga suka buat jadi payung.
  3. Murah dan senang didapati. Nursery biasa pun ada jual.
  4. Banyak serap bahan kimia.
  5. Halang ikan lompat (ini jarang kalau ikan laga tak stress).

Kekurangan:

  1. Cepat membiak. Kena buang sikit setiap 1-2 minggu. Boleh buat baja untuk tanaman di kebun.
  2. Cahaya lampu kena block sikit, lebih-lebih lagi kiambang. Tumbuhan bawah mungkin tak dapat cukup cahaya. Red root floaters tak block sangat.
  3. Kadang-kadang akar gugur. Kena kutip sebelum reput.
Ini Salvinia kalau cukup cahaya matahari.
Ikan laga berteduh bawah Salvinia. Kecik sebab lampu akuarium saja.
Merah kan akar? Sebab tu kita panggil Red Root Floaters.
Ikan laga suka bermain celah-celah akar kiambang.
Keladi bunting perlu banyak matahari. Kalau kolam di luar sesuai lah.

Tumbuhan Jenis Cengkam

Akar dia cengkam pada kayu atau batu, macam orkid. Tak boleh tanam dalam aquasoil atau pasir, nanti terbantut atau mati.

Untuk beginner, saya cadangkan Java Fern dan Anubias. Sebabnya adalah low maintenance dan boleh membesar dalam lampu malap – maksudnya boleh letak banyak-banyak kiambang.

Ikan laga pun ada yang suka tidur atas daun Anubias.

Selalunya kita beli yang dah diikat pada kayu pakai tali pancing. Kita boleh potong akar dan gam (atau selit) pada dragon/seiryuu stone.

Antara yang popular:

  • Java Fern
  • Anubias
  • Java Moss (boleh gam pada kayu untuk buat “pokok”)
  • Bucaphelandra (selalunya selit celah hardscape)
Contoh Java Fern jenis daun kecik.
Belakang tu adalah Anubias. Nampak tak lekat pada kayu?

Tumbuhan Jenis Tanam

Cabomba/Limnophila (kegemaran)

Low-maintenance dan senang. Jenis hijau tidak perlukan cahaya yang kuat. Beli satu ikat sahaja dulu, dalam sebulan dua boleh buat hutan.

Ada jenis hijau dan merah. Beli yang hijau sahaja dulu. Yang merah susah sikit. Apabila dah tinggi, potong dan tanam balik potongan untuk dapatkan “hutan”.

Hutan cabomba lagi.

Amazon Sword

Sama juga low maintenance dan senang. Tidak perlukan cahaya yang kuat, tetapi kalau lampu malap sangat mungkin lambat besar dan warna jadi gelap.

Pokok besar belakang hutan Cabomba tu adalah Amazon Sword.

Hydrilla/Elodea/Egeria

Yang ni boleh juga biar terapung. Ataupun selit sahaja hujung pokok bawah batu dan biarkan membesar. Sangat membantu serap kimia.

Rotala

Ada jenis hijau dan merah (seperti H’ra). Kalau nak yang merah tu jadi merah betul, kena main karbon sikit.

Rotala H’ra belakang Java Fern.

Vallisneria & Sagittaria

Dua-dua ni rupa macam lalang. Mungkin tidak sesuai untuk akuarium kecik. Sesuai sebagai latar belakang.

Cryptocoryne (Crypts)

Yang ni nampak lebih kurang macam Amazon Sword, tapi kecik sikit.

Rumput Karpet

Selalunya rumput karpet kalau tak ada sistem CO2, kita kena tunggu beberapa bulan untuk penuh. Boleh letak Seachem Flourish Excel kalau nak cepat sikit. Cahaya tak boleh malap.

  • Monte Carlo
  • Staurogyne Repens
  • Marsilea

Rakan Tangki (Tankmates)

Tak Perlu Pun

Memang ramai yang dah tahu kan. Ikan laga suka menyendiri.

Kita letak tankmates ni hanya untuk akuarium/kolam nampak lebih meriah dan “hidup”. Kata hiasan kan.

Kalau memang nakkk sangat, letak amano shrimp dulu. At least dia tolong bersihkan alga.

Asalkan ada ruang untuk menyendiri (contohnya celah-celah tumbuhan hidup) dan tidak sesak, ikan laga tidak lah sampai mengamuk bunuh semua tankmates.

Oleh itu, saya sarankan akuarium sepanjang 1.5 kaki dan ke atas kalau nak letak udang. 2 kaki dan ke atas kalau nak letak ikan lain.

Boleh Cuba

Siput

Ini nak taknak memang akan ada. Satu hari tiba-tiba nampak siput kat kaca. Kemungkinan besar anak dia menumpang (atau ada telur siput) kat bawah daun tumbuhan yang kita beli.

Selalunya untuk beginner, ada:

  • Nerite snail
  • Malaysian trumpet snail
  • Mystery snail

Udang Air Tawar

Ada ikan laga yang makan udang. Ada yang tak. Ikan-ikan laga saya mula-mula sahaja makan, lepas tu bosan dan dah tak kacau dah.

Udang mempunyai bioload (jumlah berak/kencing) yang sangat rendah. Biar beranak sampai 100+ ekor pun tak apa.

Contoh udang Neocaridina warna kuning.

Kalau untuk beginner, saya sarankan dua sahaja:

  • Amano (rajin bersihkan alga)
  • Neocaridina seperti Red Cherry Shrimp (cantik, banyak warna)
Contoh udang Amano. Banyak berjasa bersihkan akuarium.

Oh ya, Neocaridina ni, kalau boleh, pilih satu warna sahaja untuk satu akuarium. Kalau bercampur warna, anak-anak dia mungkin akan jadi berwarna pudar/kelabu.

Yang ni Neocaridina Red Cherry Shrimp. Tengah mengandung tu.

Ada juga udang lain seperti ghost shrimp, bamboo shrimp, Sulawesi shrimp dan lobster air tawar jenis kecik.

Udang Neocaridina senang untuk bertambah jumlah kalau kita sediakan gua atau hutan untuk menyorok.

— Mulai dari bawah, saya sarankan sekurang-kurangnya akuarium 2 x 1 x 1 kaki (50-60 liter) —

Neon Tetra

Ikan tetra (seperti neon, cardinal, dan ember) pada saya, adalah ikan yang paling rendah sekali risiko untuk letak bersama ikan laga.

Itu pun tak jamin, tapi saya tak pernah dapat masalah setakat ni.

Neon tetra perlu berkumpulan. Sekurang-kurangnya 6 ekor.

Ikan laga jantan boleh sahaja hidup dengan neon tetra.

Tak kuat berak dan kencing (bioload rendah). Maksudnya tidak perlu tukar jadual tukar air mingguan.

Lagi banyak, lagi cantik…tapi sesuaikan dengan saiz akuarium/kolam lah. Akuarium sepanjang 1.5 kaki mungkin muat 6 sahaja, 2 kaki mungkin boleh 10 hingga 12 ekor. Dalam 2.5 kaki saya letak 20.

Corydora

Macam ikan keli versi comel dan mini. Kalau boleh sekurang-kurangnya 5 ekor. Yang ni boleh menolong habiskan makanan yang tak habis, contohnya baki pellet kita bagi neon tetra.

Platy

Macam ikan emas kecil. Peramah. Sekurang-kurangnya 5 ekor. Macam-macam warna ada.

Senang beranak jadi fikir masak-masak dulu sebelum beli. Dia makan anak, tetapi mesti ada 2-3 yang survive sampai ke besar.

Contoh platy warna kuning.

Guppy Betina

Guppy betina ini kurang cantik berbanding guppy jantan. Tak nampak macam ikan laga – maksudnya ikan laga kita tak cari gaduh.

Macam platy, senang beranak.

Kita tak campur dengan guppy jantan pun kemungkinan dia boleh beranak jugak sebab mungkin dah mengawan kat tempat penternakan.

Guppy perlu mengawan sekali sahaja untuk beranak banyak kali sehingga 4-6 bulan. Mujurlah dia suka makan anak.

Ini guppy betina jenis ekor mosaic. Atas batu tu taik dia.

Tidak Digalakkan

Guppy Jantan

Ikan laga jantan boleh salah anggap yang guppy jantan ni adalah ikan laga jantan yang lain. Mungkin akan bergaduh hingga mati.

Contoh guppy jantan corak tuxedo. Nampak macam ikan laga kan?
Ekor besar beralun-alun akan buat ikan laga marah.

Ikan Laga Betina + Jantan

Kalau nak breeding pun, selalunya kita biar berkhalwat sekejap sahaja (mungkin dalam semalaman).

Kalau biarkan lama-lama, kemungkinan ikan laga jantan akan cuba halau dan dera ikan laga betina…atau bunuh terus.

Kalau nak ikan laga betina sahaja, boleh dalam 6-8 ekor sekaligus kalau banyak tumbuhan dan tempat menyorok. Kena masuk serentak, tak boleh beli one by one.

Pada saya, kumpul pengalaman melalui ikan laga jantan dahulu. Dah tau selok-belok, baru cuba akuarium/kolam ikan laga betina.

Tiger Barb

Setakat ni, memang tiger barb lah ikan peliharaan yang paling saya benci dengan sepenuh hati.

Ikan gangster bajet piranha. Sesama sendiri pun nak bergaduh. Banyak ikan saya habis kena attack sampai mati. Elakkan.

Yang belang-belang tu. Ada juga yang warna hijau dan oren.

Masa mula-mula memang nampak comel, baik dan mesra. Tengok lah lepas dua, tiga minggu. Naik tocang. Semua ikan dia kacau.

Ada orang kata kalau sekawan besar (dalam 16-20+) mungkin dia tak kacau ikan lain. Daripada pengalaman saya, sama je.

Jangan beli tiger barb. JANGAN BELI TIGER BARB.

Ikan Emas/Koi

Ikan emas dan koi (sama keluarga) kuat berak dan kencing – ammonia cepat naik. Perlukan akuarium atau kolam besar (dalam 100 liter atau lebih) – itu jenis fancy. Koi/carp dan ikan emas jenis comet (rupa macam koi) perlukan kolam yang lagi besar.

Yang bulat tu adalah pearlscale goldfish – sini panggil ikan emas ping pong je.

Ekor fancy goldfish macam langsir melambai-lambai mungkin boleh buat ikan laga jadi agresif. Makanan pun lain. Tak perlu susahkan diri.

Ikan Bandaraya Biasa

Seperti ikan emas, kuat berak/kencing dan perlukan akuarium atau kolam yang besar. Saya bela 3 ikan bandaraya dalam kolam 500 liter.

Ikan bandaraya tak membersihkan sangat pun. Udang Amano lagi bagus bab bersih-membersih ni.

Masa beli memang lah saiz macam ibu jari sahaja. Tunggu lah lepas beberapa bulan dan setahun – dia akan membesar sampai 1 kaki lebih (30+ cm). Lagi besar pun ada.

Tak muat nanti kalau akuarium takat sekaki dua.

Sebagai reference, pasu tu 1 kaki.

Terima Kasih

Ini artikel terpanjang yang pernah saya tulis. Memang saya minat hobi bela ikan. Rasanya taknak dah tulis panjang-panjang macam ni.

Kalau anda baca sampai habis walaupun skip-skip, terima kasih ya.

10 Tanaman Separuh Teduh: Kangkung, Daun Sup, Bayam Brazil, dll

Pengenalan

Perihal Matahari

Jom ulangkaji kejap. Untuk tanaman, kesemuanya perlukan matahari, air, dan nutrien. Cuma lain pokok, lain keperluan lah kan.

Air dan nutrien kita boleh kawal. Matahari tak boleh kawal.

Nak senangkan cerita…
separuh teduh” seeloknya kawasan yang dapat matahari pagi (timur) yang terlindung daripada matahari petang (barat). Dapat tengahari sikit tak apa.

Sebab tu saya galakkan beginner untuk tanam dalam pasu supaya boleh alih-alih cari kawasan yang sesuai jumlah cahaya matahari.

Pokok buah seperti mangga dan limau memang nak matahari lama-lama. Sama seperti kebanyakan pokok bunga, lagi banyak dapat cahaya matahari, lagi meriah lah pertunjukan bunga dia.

Sayur berdaun (seperti sawi) dan berbuah (seperti tomato) mungkin boleh kurang sikit matahari. Malahan bunga tomato akan gugur kalau banyak sangat matahari (masalah suhu, bukan cahaya).

Tak semua kawasan sekeliling rumah kita dapat matahari sepenuhnya. Contohnya pada waktu pagi dapat matahari, tetapi petang tak dapat sebab terhalang oleh dinding rumah.

Kita semua tahu kan, matahari pagi pancar dari timur, dan matahari petang pancar dari barat. Mungkin dalam pukul 11:30 pagi hingga 1:30 petang, matahari terpacak tegak atas kepala kita.

Apa yang saya nak cakap adalah selain waktu tengahari, pancaran matahari adalah senget. Matahari bukan macam lampu siling kan.

Kita kat garisan Khatulistiwa (tengah bumi) memang ketara lah nampak “kesengetan” pancaran matahari ni.

Disebabkan pancaran matahari adalah “senget”, nak tanam pokok cili dalam rumah pun boleh! Asalkan letak di tingkap menghadap barat (barat daya atau barat laut).

Di rumah saya ada kawasan yang dapat matahari dari 11 pagi hingga 3:30 petang sahaja. Ini masih boleh dapat tanam sawi/cili/tomato sebab matahari tengahari dan petang terik, kira cukup makan lah.

Ada juga kawasan yang hanya dapat matahari dari 8 pagi hingga 11:30 pagi sahaja. Matahari pagi adalah matahari lembut. Di sini lebih elok letak tanaman separuh teduh (saya letak kangkung).

Kalau nak tanam di kawasan baru, hari cuti boleh perhatikan pergerakan cahaya matahari dulu kat situ. Pukul 9, pukul 11, pukul 1, pukul 3, pukul 5, pukul 7.

Tengok cahaya matahari tu terkena kat mana. Sehari dua dah boleh nampak pattern dah.

Ok lah mari teruskan.

Kangkung

Kalau tanya saya “nak cuba berkebun, tanam apa ya”, saya akan jawab “kangkung” tanpa fikir panjang. Kangkung adalah antara tanaman sayur paling senang sekali.

Kangkung lah yang buat saya ketagih dengan hobi bercucuk tanam ni. Nak pakai keratan kangkung yang beli dari pasaraya pun boleh. Cucuk sahaja dalam media semaian seperti Baba Seedling Soil.

Untuk cara tanam kangkung ni…saya lebih suka semai dari benih.

Cucuk je benih kat tanah mana-mana, nanti nampak lah keluar kotiledon dia dalam 3-4 hari. Kadang-kadang seminggu baru keluar.

Lepas tu ikut lah nak pindah-tanam dalam container seperti pasu (lagi besar lagi bagus) atau garden bed. Kangkung ni menjalar, dan selepas beberapa bulan akan merebak dengan agresif.

Nak tanam kat kawasan tanah pun boleh je. Walaupun merebak dengan cepat, kangkung senang untuk kawal.

Kalau cabut semua pokok kangkung termasuk akar, dia akur dan tak tumbuh balik dah. Kangkung tak degil macam pegaga dan pudina.

Bayam Brazil

Dulu pernah viral pasal bayam brazil. Pada saya memang patut pun viral, sebab sangat senang cara tanam bayam brazil ni.

Nak biakkan bayam brazil mudah sangat, tanam keratan je.

Saya pernah terbiarkan keratan bayam brazil selama 3 hari. Kering layu dah. Terlupa nak tanam. Saya try cucuk, dalam 1-2 hari terus segar balik seperti asal.

Untuk biakkan, cucuk keratan dalam seed tray berisi tanah campuran kompos. Letak dalam multipurpose tray berisi air supaya tanah sentiasa serap air dari bawah. Pakai pasu pun boleh.

Dalam seminggu dua keluar lah akar dan boleh pindah-tanam. Tanah halaman ke, pasu/polybag ke, garden bed ke, ikut lah.

Bayam brazil elok tanam dalam pasu cetek yang lebar. Nak lagi banyak, boleh gunakan menara vertical gardening. Saya kurang suka buat macam tu sebab buruk nak buat micro-drip irrigation.

Bayam brazil (atas) bersama ketumbar jawa.

Ketumbar Jawa

Herba kegemaran saya. Ketumbar jawa ni rasa ketumbar biasa, cuma lebih kuat rasa dia. Satu daun dah cukup untuk sedapkan masakan.

Hampir setiap masakan saya letakkan daun ketumbar jawa (carik-carik). Malas nak masak, buat nasik goreng pakai telur, serbuk cili, bawang putih, dan daun ketumbar jawa pun dah sedap.

Daun ketumbar jawa makin besar dan lebat kalau tanam kat tempat yang dapat matahari pagi dan terteduh semasa petang.

Nak biakkan pakai benih pun boleh. Tetapi pada saya lebih mudah kalau beli 1 pasu ketumbar jawa dari nursery atau online dan bahagikan akar.

Lepas dah tanam, lama-kelamaan pokok ketumbar jawa akan keluarkan anak kecil baru di tepi. Boleh cabut sahaja anak dia (sekali dengan akar) dan tanam kat tempat lain.

Kalau pokok ketumbar jawa keluar satu batang tinggi macam nak berbunga, sila potong batang bunga tu cepat-cepat.

Kalau biarkan ketumbar jawa berbunga (tak lawa pun), nanti dia jadi kurang subur sebab banyak fokuskan tenaga untuk buat benih.

Daun Sup

Kebanyakan tanaman lain dalam artikel ni, kita biakkan guna keratan. Daun sup, saya lebih suka mulakan dari benih.

Pada saya, tidak berbaloi pakai seed tray. Semai terus benih dalam pasu berisi tanah campuran kompos dan siram.

Selepas 2-3 minggu, “nipiskan” jumlah pokok daun sup. Buang yang pendek atau kecil. Biarkan yang besar dan tinggi sahaja dalam pasu.

Kalau tak buang pokok pendek/kecil, nanti berebut nutrien dan air. Nanti semua jadi lambat membesar. Jadi kena “kejam” sikit.

Daun sup ni sensitif sikit dengan matahari petang. Oleh itu, letak menghadap timur sahaja kalau boleh. Kalau dah tak boleh elak matahari petang dari barat, gunakan shade cloth.

Kesum

Saya suka tanam daun kesum untuk masak asam pedas.

Daun kesum pun sangat senang untuk biakkan. Beli saja daun kesum dari pasaraya dan ambik keratan sepanjang lebih kurang ibu jari.

Cucukkan dalam potting mix kemudian letak pasu di tepi tingkap timur. Atau pun letak di bawah pokok besar.

Kalau boleh, pakai teknik siram-dari-bawah. Letakkan pasu dalam dulang dan isi air dalam dulang supaya terserap dari bawah.

Selasih

Daun selasih saya suka gunakan dalam masakan berkuah, contohnya spaghetti bolognese. Selasih adalah sejenis basil, oleh itu sedap je buat jadi ramuan untuk masak sos pasta.

Dalam Bahasa Inggeris kita panggil “Thai basil”. Saya pernah buat pesto pakai selasih (sepatutnya basil biasa), sedap.

Pokok selasih pun lebih kurang daun kesum kalau nak biakkan. Cucuk keratan dalam tanah terus.

Keratan pokok selasih lah saya rasa antara paling senang sekali. Tak perlu pasu atau tanah special apa-apa.

Saya suka potong sahaja batang selasih yang sedia ada dan cucuk di tanah mana-mana. Memang daun akan nampak layu.

Kita siram saja keratan yang dah tanam tu tiap-tiap hari, dia akan jadi pokok selasih yang baru. Mungkin seminggu, mungkin dua.

Saya suka tanam selasih merata-rata di kebun (kongsi pasu pokok lain, atau atas tanah). Bagus untuk halau serangga perosak.

Pokok selasih pun lebih kurang macam ketumbar jawa, potong bunga dia cepat-cepat untuk kurangkan risiko pokok mati.

Halia

Masakan kita memang banyak pakai halia kan. Sambal pun kadang-kadang pakai halia.

Kadang-kadang kalau perut kembung pun boleh buat teh halia. Halia Bentong saya rasa paling untung kita tanam. Senang je cari di pasaraya.

Pada saya, halia ini “lambat” sedikit. Berbulan-bulan baru nampak hasil. Jadi saya sarankan tanam di kawasan yang kita tak selalu lalu supaya kita tak geram tengok kenapa tak tumbuh-tumbuh.

Daun Kucai & Bawang

Saya suka tabur daun kucai yang dah potong kecik-kecik sebagai garnish pada masakan yang dah siap.

Kucai pun keluarga daun bawang jugak. Pada saya, untuk long-term, lebih bagus tanam daun kucai daripada tanam bawang besar untuk daun.

Tetapi untuk projek nak cepat hasil dapat daun bawang, boleh cuba tanam bawang besar dulu. Tanam terus bawang tu dalam tu. Bawang Bombay boleh, bawang merah kecik tu pun boleh, bawang putih pun boleh. Pasu/polybag boleh, tanah pun boleh.

Kadang-kadang kalau nampak bawang yang dah keluar daun kat pasaraya, saya beli dan tanam.

Saya juga suka belah dua bawang sebelum tanam. Nampak macam cepat sikit keluar daun. Tapi nak tanam sebijik terus pun boleh.

Pudina/Mint

Pudina adalah mint. Tak kisah lah peppermint ke spearmint ke, saya panggil pudina je. Catnip pun kira sejenis mint.

Pudina ni saya suka tambah dalam air teh 0. Jadi berangin, syok bila teguk. Perah pulak limau dalam tu, dan tambah ais.

Saya juga suka letak pudina dalam masakan. Selain tu, bau pokok pudina tolong halau serangga perosak.

Saya nak cakap awal-awal:

POKOK PUDINA TANAM DALAM PASU SAHAJA!

Beli 1 pasu kecil pudina dari nursery atau online pun dah cukup untuk sepanjang hayat kita. Nak biakkan, pakai keratan dari situ.

Pudina pun senang sangat, macam selasih. Ambik sahaja keratan sepanjang ibu jari dan cucuk terus keratan dalam pasu.

Dalam beberapa minggu, penuh lah pasu tu kalau siram tiap-tiap hari. Kalau hari hujan tak perlu lah siram kan.

Pokok pudina merebak dengan agresif. Senang untuk hilang kawalan, jadi TANAM DALAM PASU SAHAJA!

Seperti pokok pegaga, kalau dah “terlepas” kat kawasan tanah mana-mana, anggap sajalah pudina sudah conquer kawasan tu.

Daun Salad

Ini saya kurang minat sebab kurang makan…jadi maaf tak ada gambar.

Daun salad atau lettuce ni saya cadangkan semai benih keluaran Green World. Ini kerana tak semua jenis daun salad boleh ditanam di negara kita. Cari benih tempatan.

Ada jenis Butterhead, Loose Leaf, Green Galaxy (yang biasa buat ulam rasanya).

Cara semai dan penjagaan lebih kurang sahaja dengan sayur sawi. Boleh rujuk artikel tu. Bezanya cuma kurangkan matahari – sebenarnya masalah suhu, bukan cahaya matahari tu sendiri.

Bonus: Tanaman Hiasan

Lantana

Nak tunjuk saya tanam bunga lantana bersama halia.

Ini pokok bunga kegemaran saya. Bunga kecil-kecil tetapi banyak bergugus gitu, dan ada kombinasi warna yang menarik. Contohnya bunga kombinasi warna oren-pink macam gambar atas.

Yang kita banyak buat hiasan adalah jenis lantana camara. Kat nursery saya tengok murah sahaja, dalam RM8-10.

Walaupun jenis berbunga banyak, tetapi saya nampak pokok lantana lebih suka duduk bawah teduhan pokok besar.

Kalau letak di tempat panas sangat, mungkin akan layu dan mati. Kalau kita letak di tempat separuh teduh, lama-kelamaan batang dia akan jadi kayu dan jadi sangat senang untuk dijaga.

Keladi

Ini memang obvious kan, semua orang tahu. Keladi hiasan ada banyak jenis seperti caladium, anthurium, aglaonema…apa lagi ntah.

Kalau nak jenis ada “bunga” boleh cari anthurium. Aglaonema tu adalah keladi hiasan yang daun berwarna-warni tu.

Sunset Bell

Antara pokok bunga yang banyak keluar bunga di tempat separuh teduh adalah Sunset Bell, Hydrangea (Bunga Siti Zubaidah), Impatiens, dan beberapa jenis pokok Begonia.

Pada saya, Sunset Bell adalah paling senang sekali.

Malangnya nak mencari pokok bunga Sunset bell ni ikut nasib. Tengok nursery ada stok ke tak, atau pun tengok keluarga/sahabat yang ada boleh la mintak sikit (1 keratan pun ok).

Dapat beli satu pasu kecil pun dah cukup. Nak biakkan senang saja, cucuk terus keratan dalam tanah. Malas buang daun pun takpe.

Lama-kelamaan berlambak-lambak keluar sampai tak tahu nak buat apa dan terpaksa buang…atau pun bagi orang lah.

Ati-Ati (Coleus)

Pokok ati-ati pun adalah antara pokok “bunga” separuh teduh kegemaran saya. Bunga dia macam padi je, tidaklah besar macam bunga raya ke bunga matahari ke.

Ati-ati pun daun dan batang berwarna-warni macam keladi hiasan.

Ada orang kata bunga ati-ati ni kena potong supaya pokok hidup lama, tetapi saya biarkan saja dan setakat ni tiada masalah pun.

Kawasan matahari pagi/lewat petang sahaja paling senang.

Tapi sebenarnya pokok ati-ati ini saya letak di kawasan yang dapat cahaya terik tengahari dan petang, cuma letak bumbung shade cloth halang 70% matahari. Subur je.

Nak biakkan pun sangat-sangat senang, macam sunset bell jugak. Pakai keratan. Ambik keratan dalam panjang jari telunjuk, dan cucuk dalam tanah dalam pasu semaian kecil.

Kalau boleh, pakai teknik siram-dari-bawah. Pasu kita cucuk keratan tu letak dalam dulang dan isikan air dalam dulang.

Pothos & Monstera

Dua-dua ni lebih kurang sahaja. Rupa macam pokok tiruan.

Pothos ni daun kecil berbanding monstera. Kalau nak pokok kecik, pilih pothos. Kalau nak pokok besar, boleh cari monstera.

Jenis monstera yang popular (deliciosa) daun berlubang atau “terbelah” secara semulajadi. Sangat menarik buat hiasan di dapur atau letak kat porch rumah berdekatan pintu masuk.

Kedua-duanya menjalar, tapi kita boleh pacakkan “menara” (rupa macam tiang cakar kucing…ala untuk cat tree tu) untuk dia panjat. Jadi nampak macam pokok kayu.

Nak biakkan senang sangat, potong keratan dan biarkan dalam air sampai keluar akar.

Yang best pasal pothos/monstera ni adalah…takde tanah pun takpe!

Letak permanent dalam balang berisi air pun dia ok je. Kalau boleh, pakai air akuarium/kolam ikan sebab larutan najis ikan adalah baja.

Saya juga gemar letak keratan pothos dalam filter sangkut kat akuarium untuk bersihkan air ikan laga. Secara kasarnya, akar dia akan serap larutan najis dan lebihan makanan ikan sebagai baja – maksudnya tak perlu tukar air selalu.

Peace Lily

Peace lily ni antara yang paling tak kisah pasal matahari. Letak dalam bilik gelap pun dia masih akan hidup, tapi mungkin tak ada bunga.

Nak biakkan senang sahaja, bahagi akar. Mungkin setiap 6 bulan kena bahagi akar sebab pasu penuh sangat.

Pokok peace lily ni pun kira pokok teduh yang berbunga seperti Sunset Bell di atas. Bunga dia putih bentuk jagung macam keladi Agleonema.

Memang betul peace lily boleh bersihkan udara, tetapi jumlah udara yang dibersihkan tu sangat kecil.

Hydrangea (Bunga Siti Zubaidah)

Pokok bunga hydrangea ini pada saya adalah susah sedikit untuk beginner. Boleh cuba pokok ati-ati dulu.

Bila dah biasa jaga pokok ati-ati, saya rasa boleh saja jaga pokok hydrangea. Susah sikittt saja banding ati-ati.

Hydrangea ini berasal dari kawasan empat musim. Maksudnya UV index (kekuatan matahari) yang rendah berbanding UV index kita di kawasan Khatulistiwa ni.

Oleh itu, letak di kawasan yang dapat matahari pagi sahaja dan siram air yang banyak. Baja organik sahaja seperti tahi kambing.

Nak biakkan lebih kurang sahaja, pakai keratan. Guna teknik siram-dari-bawah macam pokok ati-ati.

Selamat Mencuba

Sebagai penutup, saya nak cakap pasal penjagaan.

Cara penjagaan tanaman-tanaman di bawah lebih kurang sama saja, jadi saya nak tulis sekali sahaja kat sini.

Siram setiap hari. Kalau boleh pakai micro-drip irrigation dengan garden timer, takyah nak bersusah siram satu-satu.

Untuk cegah serangga perosak, sembur neem spray setiap hujung minggu. Waktu pagi atau lewat petang sahaja ya.

Baja 2 minggu sekali. Gilirkan baja kompos dengan baja NPK tabur.

Contohnya minggu 1 letak baja kompos tebal-tebal, kemudian minggu 3 taburkan baja NPK seimbang (seperti 15:15:15). Kemudian minggu 5 baja kompos semula, and so on.